Nasional

JAMAL menyerahkan baju BERSIH 4.0 Cintakan Keamanan kepada A Samad Said di hadapan rumah Ambiga di Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara, semalam.
Wakili dua NGO tuntut ganti rugi, mohon maaf terbuka KUALA LUMPUR: Kira-kira 600 orang mewakili dua badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun berhampiran rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di sini, petang semalam, menuntutnya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kumpulan itu turut memohon Ambiga membayar ganti rugi dialami peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, berikutan perhimpunan BERSIH 2.0 pada tahun lalu dan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu. Kedua-dua kumpulan itu mewakili BERSIH 4.0 dan HALAU 1.0 berarak di sepanjang Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara, bermula jam 4 petang menuju ke kediaman bekas Presiden Majlis Peguam itu untuk menyerahkan nota tuntutan mereka.
Sebelum itu, BERSIH 4.0 mengumumkan membatalkan hasrat membuka gerai di Jalan Setiakasih 1 berikutan tindakan polis dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup laluan berkenaan.
Penganjur BERSIH 4.0 yang juga Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-Peniaga dan Penduduk Warga Kota (MBPPWK), Datuk Jamal Md Yunus, berkata nota tuntutan adalah untuk mendesak Ambiga memohon maaf secara terbuka, selain membayar kerugian dialami mereka.
"Kami mewakili 60 peniaga yang sudah membida tapak untuk membuka gerai di hadapan rumah Ambiga sebulat suara membatalkan hasrat itu demi menghormati undang-undang, namun mendesak agar beliau membayar ganti rugi dialami peniaga.
"Esok (hari ini), kami akan mengadakan perbincangan dengan lebih 100 peguam bagi memfailkan saman terhadap BERSIH dan Ambiga yang masih membisu terhadap tuntutan kami," katanya selepas menyerahkan tuntutan itu kepada Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said.
Terdahulu, HALAU 1.0 yang disertai Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBGIM) turut menyerahkan tuntutan kepada Samad meminta Ambiga memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakannya menganjurkan perhimpunan yang menyusahkan rakyat selain mencetuskan huru-hara.
Presiden HALAU 1.0, Sharul Nasron Kamaruddin, berkata pihaknya juga mendesak agar Ambiga meninggalkan negara ini sekiranya enggan memohon maaf secara terbuka.
"Ambiga adalah pengkhianat negara, dia menghasut dan mencetuskan keganasan serta demonstrasi jalanan hingga berlaku rusuhan, kemusnahan harta benda dan kecederaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata kedua-dua kumpulan mematuhi semua arahan polis ketika menyerahkan nota bantahan kepada Ambiga selain tidak cuba melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan kekecohan.
"Kami memberikan setiap kumpulan 10 minit bagi menyerahkan tuntutan masing-masing kepada Datuk Ambiga sebelum diarahkan bersurai jam 5.20 petang bagi memastikan kawasan Jalan Setiakasih terkawal dan tidak mengganggu aktiviti penduduk sekitar," katanya.
Beliau berkata, polis akan terus menjalankan kawalan dan rondaan di kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen
aiman
bercakap bila perlu,bersuara bila ditanya.sebelum kita menghina@pandang buruk pada seseorang cuma kita kenal diri kita sendiri dulu....1jari kita halakan pada org lain tapi kita lupa 4jari lagi menghala ke arah kita....
jiddin
Terima kasih A Samad Said.
Pedang Pejuang
Demo Bersih 3 itu tidak baik. Kita jangan jadi seperti mereka.
amamiza
Buat apa susah susah serbu rumah dia? Manusia sperti Ambiga, Irene Fernandez dan seumpamanya adakah mereka yang tak tahu nak buat apa kalau tak buat bising cari publisiti. Yang penting fahami dan kaji serta banteras apa yang mereka cuba cetuskan iaitu jadikan Malaysia seperti apa yang berlaku di Timur Tengah dan Negara Latin Amerika
Tiada ulasan:
Catat Ulasan