Jumaat, 25 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Protes jalan rosak teruk

Posted: 24 May 2012 02:37 PM PDT

KLANG: Penduduk di perumahan Aman Perdana, Meru, di sini, semalam, melakukan protes aman berikutan tidak puas hati dengan keadaan jalan raya yang sangat teruk di situ dan meminta pihak berkenaan menyelesaikan masalah mereka sebab bimbang berlaku kemalangan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Aman Perdana, A Maniam, bersama 60 wakil penduduk taman perumahan itu menggesa syarikat pemaju kawasan perumahan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) memperbaiki jalan masuk ke rumah mereka secepat mungkin.


Maniam berkata, jalan itu sudah lama rosak dan tidak dibaiki.

"Jalan ini sudah ada sejak sebelum kawasan perumahan ini wujud, tetapi langsung tidak diselenggara walaupun banyak lubang, ia perlu dinaik taraf pemaju.


"Saya sudah tinggal di sini sejak 2007. Ramai penduduk lain sudah tidak tahan berhadapan jalan rosak teruk setiap kali mahu pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Katanya, dia yang memandu pacuan empat roda sudah dua kali menukar tayar kereta kerana pecah ketika melalui jalan itu.

"Selain itu, ramai lagi yang mengalami kerosakan pada kereta ketika melalui jalan itu.


"Jika hari kerja, jalan itu sesak menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu hampir tiga jam untuk melepasi jalan masuk ke taman perumahan yang rosak teruk itu," katanya.

Menurut Maniam, penduduk sudah bertemu pemaju kawasan itu beberapa kali, namun ia menemui jalan buntu.


"Apabila kami ingin berjumpa pemaju, mereka mengelak," katanya.


Maniam berkata, kali terakhir pihaknya berjumpa pemaju sekitar dua bulan lalu, namun masih tidak mendapat maklum balas.


35 nafi ali baba gerai

Posted: 24 May 2012 02:36 PM PDT

KUALA LUMPUR: Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Gasing Indah Fasa 1, Jalan Pantai Dalam, menafikan tuduhan mengatakan 35 peniaga yang menerima lesen untuk menggunakan kawasan lapang bekas tapak setinggan di Kampung Pasir Kiri, di sini, menjual serta menyewakan gerai mereka kepada peniaga asing.

Pengerusinya, Sazmi Mamat berkata, tindakan individu yang melakukan fitnah melalui twitter Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin itu boleh disifatkan mempunyai agenda jahat dan tidak senang dengan usaha persatuan penduduk untuk melahirkan lebih ramai peniaga kecil Bumiputera di kawasan terbabit.


Katanya, tidak mungkin gerai terbabit dijualkan kepada peniaga asing kerana syarat pengeluaran lesen oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menetapkan pemegangnya mesti warga Malaysia dan semua pemegang lesen adalah di kalangan ahli persatuan penduduk.

Menurutnya, semua 35 peniaga di kawasan itu menerima surat akuan lesen penjaja pada 5 April lalu yang disampaikan Raja Nong Chik dan mereka sudah menghadiri kursus peniaga-peniaga kecil Wilayah Persekutuan anjuran DBKL.


"Saya sangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan gerai ini dijual atau disewakan kepada peniaga asing kerana gerai terbabit belum beroperasi. Mungkin mereka hanya ternampak pekerja asing yang melakukan pembinaan di gerai terbabit dan membuat fitnah kononnya gerai itu milik warga asing.


"Jangan sehinggakan isu periuk nasi peniaga hendak dijadikan isu politik dan inisiatif mewujudkan gerai ini adalah menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai peniaga Bumiputera di Lembah Klang," katanya yang hadir di Balai Berita, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang daripada pemilik lesen gerai terbabit, Salisah Mat Desa, 45, mahu pihak berkenaan tidak lagi menabur fitnah bertujuan merosakkan niat murni persatuan dan DBKL untuk membantu penduduk menjalankan perniagaan di kawasan terbabit.


Katanya, kebenaran yang diberikan DBKL kepada 35 peniaga di kawasan itu sepatutnya diberikan penghargaan dan bukan memfitnah kononnya DBKL tidak melakukan pemeriksaan di kawasan terbabit sehingga menyebabkannya dipenuhi peniaga asing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan