Ahad, 27 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pelatih PLKN pindah

Posted: 26 May 2012 03:41 PM PDT

KOTA BHARU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memindahkan 248 pelatih Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak ke tiga negeri berikutan kem terbabit diberikan notis sita oleh Mahkamah Tinggi Taiping, minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu akan dipindahkan esok ke tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.


Katanya, kem di tiga negeri itu dilihat mampu menampung kemasukan pelatih Kem Tangkas Kendiri kerana setiap satunya mempunyai tenaga pengajar dan kelengkapan mencukupi.

"Mereka akan bergerak ke kem baru masing-masing pada pagi Isnin ini (esok) dan ibu bapa dimaklumkan mengenai perpindahan itu.


"Jurulatih di Kem Tangkas juga akan dipindahkan ke beberapa kem lain yang dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata demikian selepas Kem PLKN Tangkas Kendiri dikeluarkan notis sita pada 22 Mei lalu kerana pengusaha kem gagal membayar hutang kepada sebuah syarikat pembekal.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, beliau kesal dengan segelintir syarikat pengusaha kem yang gagal menyelesaikan masalah dalaman mereka, termasuk isu hutang.


Cukai jalan tamat tempoh

Posted: 26 May 2012 03:40 PM PDT

GEORGETOWN: Bas membawa 44 jemaah tabligh warga Myanmar yang terjunam ke gaung di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, hingga mengorbankan seorang penumpang, didapati tidak mempunyai cukai jalan sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati cukai jalan bas sekolah disewa itu tamat tempoh sejak Mac lalu.


"Setakat ini, kita masih mengesan punca kemalangan dan menunggu pemilik bas yang disewa dari Kulim, Kedah itu untuk memberikan kerjasama.

"Punca kemalangan hanya akan diketahui selepas bas terbabit dikeluarkan dari gaung dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu bas terbabit mempunyai lima rekod kesalahan trafik kerana memandu melebihi had laju, namun hanya satu saman yang belum dibayarnya.


"Setakat ini, pemandu bas terbabit masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kita akan mengambil keterangan daripadanya selepas dia sembuh," katanya.

Dalam kejadian malam kelmarin, bas membawa jemaah tabligh ke Masjid Daerah Barat Daya, Sungai Rusa untuk program ijtimak yang diadakan selama tiga hari mulai semalam hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik dan terjunam ke gaung sedalam 10 meter.


Bumbung bas tercabut hingga menyebabkan beberapa penumpang tercampak keluar dan seorang daripada mereka dikenali sebagai Abdul Jatba, 47, maut selepas dipercayai dihempap bas hingga tangan kirinya terputus.

Setakat ini 13 mangsa, termasuk tiga parah, masih dirawat di HPP manakala bakinya dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar, manakala jenazah Abdul Jatba selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Rusa selepas solat Zohor, semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan