Selasa, 22 Mei 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Jasa PM dikenang hingga mati

Posted: 22 May 2012 02:54 PM PDT

Nasional

Ibu tunggal tinggal di tokong masuk ke rumah baru nikmati hidup selesa

NIBONG TEBAL: "Kami berasa selesa dan selamat tinggal di rumah baru ini sejak 6 Mei lalu. Malah, saya masih terbayang wajah lembut Perdana Menteri ketika menyerahkan kunci kediaman ini 22 April lalu," kata ibu tunggal Teoh Yang King, 51.

Beliau bersama anak bongsu berusia 26 tahun serta tiga cucu kini tinggal di rumah lebih selesa berharga RM40,000 yang dibina daripada peruntukan Program Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di tapak rumah lama yang terbakar dengan bantuan Giat Mara.

Melalui langkah ini, tanggungjawab sosial dan ekonomi kerajaan membantu kehidupan rakyat dipenuhi. Namun, paling penting tanggungjawab moral membantu rakyat ditimpa kesusahan atau memerlukan bantuan kerana ia penanda masyarakat bertamadun. - Datuk Seri Najib Razak

"Sejak duduk di rumah ini, saya gembira kerana cucu seronok. Rumah serba lengkap ini dianggap tuah kami kerana hanya perlu bawa diri dan selagi saya bernyawa, rumah ini akan dijaga dengan baik, malah gambar Perdana Menteri yang terlekat di kit kecemasan, tidak akan ditanggalkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawi di sini, malam tadi.

Kisah penderitaan Yang King yang membawa keluarganya menumpang di tokong selama tiga bulan selepas rumahnya terbakar adalah antara kehidupan masyarakat menyentuh perasaan Najib.

Perdana Menteri terharu dengan kesusahan Yong King yang terpaksa menempuh pelbagai kesukaran mengharungi kehidupan bersama seorang anak dan tiga cucunya.

Penderitaan keluarga itu diketahui Najib selepas dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.
"Terharu saya apabila mendengar kisahnya sehingga terpaksa menumpang di tokong. Beliau tidak mampu mencari kediaman baru kerana tidak bekerja," kata Perdana Menteri dalam blognya 1Malaysia.com.my semalam.

Najib berkata, kerajaan melakukan terbaik untuk membantu Yang King dengan membina rumah baru di tapak rumah lama selain menggantikan barang yang musnah.

"Ini hanya satu contoh pada peringkat daerah bagaimana kerajaan saya bertekad membantu mereka yang memerlukan, manakala pada peringkat kebangsaan beberapa program dilaksana bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.

"Antaranya, pakej bantuan kewangan untuk isi rumah berpendapatan rendah, baucar buku, klinik dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang disediakan sebagai alternatif murah tanpa menjejaskan kualiti," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan gaji minimum dalam tempoh masa terdekat akan turut meningkatkan pendapatan lebih 400,000 pekerja.

"Melalui langkah ini, tanggungjawab sosial dan ekonomi kerajaan membantu kehidupan rakyat dipenuhi. Namun, paling penting tanggungjawab moral membantu rakyat ditimpa kesusahan atau memerlukan bantuan kerana ia penanda masyarakat bertamadun," katanya.


RM50j bangun Perumahan Rakyat

Posted: 22 May 2012 02:38 PM PDT

Nasional

JOHOR BAHRU: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan awal RM50 juta bagi pembangunan Perumahan Rakyat untuk menempatkan 1,400 keluarga setinggan dekat Skudai Kiri, di sini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebanyak RM3 juta lagi untuk menaik taraf pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat di sekitar kawasan Parlimen Pulai di sini.

"Peruntukan ini adalah sebahagian daripada RM100 juta yang akan disalurkan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membolehkan projek perumahan rakyat ini dapat dimulakan.

Peruntukan ini adalah sebahagian daripada RM100 juta yang akan disalurkan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

"Tiga tahun lalu, saya menghadiri majlis pecah tanah projek itu tetapi akibat beberapa masalah, ia tertangguh. Kali ini Menteri Besar Johor sendiri memberikan jaminan projek ini akan dimulakan secepat mungkin untuk penduduk setinggan Skudai Kiri," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Rakyat Parlimen Pulai Bersama Timbalan Perdana Menteri di Jalan Rawa, Taman Perling di sini. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut merasmikan Pusat Rawatan Biocas Ahli Parlimen Pulai yang menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada penduduk sekitar Parlimen berkenaan.

Sementara itu, ketika berucap pada Perhimpunan Timbalan Perdana Menteri bersama Kesatuan Sekerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) Johor di sini, Muhyiddin meminta kesatuan sekerja dan majikan berusaha meningkatkan kerjasama supaya pertikaian perusahaan dapat dikurangkan.
"Kesatuan sekerja harus memperkasakan lagi peranan dan hala tuju supaya proaktif dan bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan serta mengukuhkan persefahaman dengan majikan.

"Hasil persekitaran kerja yang kondusif ini akan pasti menyumbang kepada prestasi positif ekonomi negara, seterusnya melonjakkan usaha mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyerahkan peruntukan RM100 juta kepada Pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Kemahiran (PTPK) yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Ketika merasmikan Galeri Glulam, di sini pula, Muhyiddin berkata, kerajaan merancang menyediakan peruntukan berjumlah RM3 bilion bagi memperluaskan ladang hutan bagi mencapai sasaran 375,000 hektar menjelang 2020.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan