Sabtu, 19 Mei 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Kes penipuan perkhidmatan catat aduan tertinggi

Posted:

Kes penipuan perkhidmatan catat aduan tertinggi

Kes penipuan perkhidmatan catat aduan tertinggi

19/05/2012 8:38pm

KUCHING – Kes penipuan perkhidmatan mencatatkan aduan tertinggi dengan 2,417 kes daripada 11,271 kes kepenggunaan yang dilaporkan di seluruh negara kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, dua lagi kes yang turut menerima banyak aduan ialah kes penipuan harga sebanyak 1,617 kes dan penyelewengan jualan langsung sebanyak 731 kes.

"Biasanya kes-kes penipuan perkhidmatan melibatkan aduan terhadap produk kecantikan dan untuk melangsingkan badan selain kes penipuan harga terhadap barang tiruan serta kes peraduan gores dan menang yang menggunakan lesen Jualan Langsung," katanya.

Selangor mencatatkan aduan kes kepenggunaan tertinggi dengan 2,417 kes, manakala yang terendah Labuan dengan 44 kes, katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kemuncak bulan pengguna kebangsaan peringkat negeri Sarawak di Kuching Central hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga 30 April tahun ini pula, beliau berkata, sebanyak 3,604 kes dilaporkan kepada kementerian dengan kes penipuan perkhidmatan masih mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,275 kes diikuti penipuan harga (488) dan jualan langsung (238). – BERNAMA

Sekolah vokasional jadi kolej vokasional 2013

Posted:

Sekolah vokasional jadi kolej vokasional 2013

Sekolah vokasional jadi kolej vokasional 2013

19/05/2012 9:18pm

NILAI – Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2013, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, pada masa ini, sebanyak 15 sekolah vokasional yang mewakili setiap negeri telah dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak sebagai program rintis yang bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.

"Secara keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran, pelajar tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita ubah persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, di sini hari ini.

Katanya, penaiktarafan itu yang merupakan sebahagian daripada usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara, akan dilaksana secara berperingkat-peringkat selain guru diberi latihan dan penambahan alat kelengkapan kursus.

Kurikulum vokasional juga akan dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baharu seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar, katanya.

Katanya, pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia. – BERNAMA

Maidam bantu Nurussyahamah dalami al-Quran

Posted:

Maidam bantu Nurussyahamah dalami al-Quran

Maidam bantu Nurussyahamah dalami al-Quran

19/05/2012 8:33pm

BESUT – Kerajaan negeri Terengganu akan membiayai pengajian al-Quran untuk juara program realiti Adik-Adikku Musim Ke-3, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi di Institut Al-Quran, Padang Midin, Kuala Terengganu, mulai bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman berkata, pengajian itu akan membolehkan Nurussyahamah, 13, menjadi qariah terbaik mewakili Terengganu ke tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Maidam telah meluluskan peruntukan khas kepada Nurussyahamah yang merupakan pemenang tempat ketiga Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa 2011 yang diadakan di Doha, Qatar.

"Beliau akan dibimbing oleh guru khas meliputi bidang tarannum, qiraat, lughah dan fasohah sebagai persediaan untuk menjadi wakil negeri ke tilawah al-Quran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek pendahuluan RM2,000 daripada Maidam untuk perbelanjaan pengurusan Nurussyahamah di institut itu, di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jerteh di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Wataniah Jerteh itu dan adiknya Nuruzzawanah Yamni, 9, akan mewakili Terengganu dalam Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Sekolah Menengah Teknik Kuantan mulai 25 hingga 28 Disember nanti. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan