Ahad, 20 Mei 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Syarikat jualan langsung promosi skim piramid diserbu

Posted:

Syarikat jualan langsung promosi skim piramid diserbu

Syarikat jualan langsung promosi skim piramid diserbu

20/05/2012 8:12pm

KAJANG — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu sebuah syarikat jualan langsung yang disyaki mempromosi dan menjalankan skim piramid di sebuah hotel dekat sini, hari ini.

Dalam serbuan selama satu jam itu, keadaan menjadi kecoh seketika apabila segelintir peserta tidak berpuas hati kerana sesi pembentangan promosi skim piramid yang sedang dijalankan penganjur, terhenti.

Pengarah Penguatkuasa, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan aduan orang ramai yang didakwa ditipu selepas menyertai skim tersebut.

"Kita syak ada unsur-unsur skim piramid yang diamalkan oleh syarikat ini dan ia sangat meragukan melalui iklan dan risalah yang diedarkan kepada orang ramai.

"Kita percaya skim ini beroperasi dengan menggunakan platform sebuah syarikat yang memiliki lesen jualan langsung dan perniagaan mereka lebih menjurus kepada merekrut peserta berbanding jualan produk," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata KPDNKK turut merekod data kira-kira 200 peserta hadir, yang rata-rata mereka tidak mengetahui skim tersebut sebenarnya salah dari segi undang-undang.

Mohd. Roslan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah laptop dan mengambil keterangan daripada penganjur.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Serbuan itu yang bermula pukul 4 petang, disertai 20 pegawai penguatkuasa KPDNKK.— BERNAMA

Warga emas maut dihempap pintu jeriji besi

Posted:

Warga emas maut dihempap pintu jeriji besi

Warga emas maut dihempap pintu jeriji besi

20/05/2012 8:11pm

SABAK BERNAM — Seorang wanita warga emas maut dihempap jeriji besi pintu rumah yang tumbang setelah dilanggar kereta yang dipandu cucu lelakinya dalam kejadian di Taman Ria, Sekinchan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt. Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, cucu kepada warga emas berusia 80 tahun itu mahu memulakan perjalanannya ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta jenis Proton Persona miliknya.

"Cucu mangsa tidak menyedari gear keretanya berada dalam keadaan mengundur dan menekan minyak menyebabkan ia melanggar pintu jeriji besi rumah berkenaan sebelum ia tumbang menghempap warga emas terbabit.

"Warga emas malang itu mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dekat sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian kereta berkenaan diletakkan dalam keadaan bahagian belakang menghadap ke arah rumah keluarga mangsa dan ketika kejadian beberapa anggota keluarga termasuk suami dan anak perempuan mangsa berada di dalam rumah berkenaan.— BERNAMA

Wartawan kesal sikap penyokong ketika final Piala FA

Posted:

Wartawan kesal sikap penyokong ketika final Piala FA

Wartawan kesal sikap penyokong ketika final Piala FA

20/05/2012 8:09pm

KUALA LUMPUR — Wartawan yang membuat liputan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam, kesal dengan sikap biadap segelintir penyokong "The Red Warriors".

Wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Dayne Azmin berkata, beliau sangat kecewa melihat sikap penyokong Kelantan itu yang tidak profesional dengan membaling botol minuman dan bekas makanan ke arah tempat media di aras dua stadium berkenaan.

"Pada separuh masa pertama, penyokong Kelantan membaling botol air sehingga terkena skrin laptop saya. Mereka kemudian bertindak lebih agresif dengan membaling bekas penyembur rambut ketika meraikan gol (oleh Mohammed Ghaddar) sehingga hampir terkena kepala namun saya sempat tepis.

"Bagi saya, tindakan seumpama itu merupakan suatu perkara yang tidak matang dan jelas tidak mencerminkan semangat kesukanan yang sebenar," katanya.

Muhammad Dayne berkata, beliau pernah mengadukan mengenai isu keselamatan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, namun badan induk bola sepak negara itu menyatakan perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab Perbadanan Stadium Malaysia.

Wartawan Berita Harian, Mohd. Fitrie Muhamad pula berkata, beliau hampir terkena bekas makanan yang dibaling dari aras tiga stadium itu.

"Mereka sebagai penonton harus bersikap profesional ketika memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dan bukannya mencampakkan sebarang objek kepada kami walhal mereka tahu kami sedang membuat liputan perlawanan," katanya.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa ketika dihubungi berkata, beliau kesal dengan kejadian itu kerana pegawai FAM sendiri memberi jaminan kepadanya mengenai soal keselamatan terhadap media, semasa beliau mengikuti lawatan ke stadium tersebut pada Selasa lepas.

"Penyokong bola sepak tidak sewajarnya menjadikan petugas media sebagai sasaran kemarahan kerana mereka perlu tahu bahawa kita mempunyai tugas untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau meminta FAM menilai kembali prosedur keselamatan bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

"Saya akan kumpulkan semua pendapat daripada petugas media yang terlibat sewaktu perlawanan tersebut sebelum menghantar surat kepada FAM untuk tindakan lanjut daripada mereka," katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan muncul juara selepas menumpaskan Sime Darby 1-0.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan