Selasa, 29 Mei 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Belanjawan 2013 tumpu pertumbuhan berkualiti

Posted: 29 May 2012 03:07 PM PDT

Nasional

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Belanjawan 2013 akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini.

Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2013 akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan berkualiti dan seimbang serta kebajikan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan mendengar pandangan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembabitan rakyat secara menyeluruh dalam merangka belanjawan berkenaan. Katanya, kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk berinteraksi secara terus dengan sektor swasta, NGO dan industri bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan program dilakukan secara berkesan dan bersifat inklusif.

"Adalah penting untuk kita bersama-sama memberi pandangan dan mencadangkan langkah spesifik bagi mengatasi cabaran dan isu semasa, khususnya yang membabitkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya," katanya berucap pada pembukaan sesi Konsultansi Belanjawan 2013 bersama wakil NGO, pegawai kanan kerajaan dan swasta di Kementerian Kewangan, di sini, semalam.

Sesi perundingan belanjawan itu bertemakan 'Memacu Transformasi Ke Arah Negara Maju.'

Najib berkata dalam perundingan belanjawan itu, kerajaan menerima 84 memorandum daripada pelbagai pihak dan memberi jaminan akan mempertimbangkannya sebagai input dalam Belanjawan 2013.
Beliau berkata, sesi perundingan itu adalah proses berterusan yang akan turut membabitkan isu penting yang bakal dilaksanakan menerusi perbincangan kumpulan fokus yang lebih kecil kemudian.

"Malaysia kini dalam tahun ketiga perjalanan transformasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi. Kita sudah mencapai banyak perkara dalam tempoh pendek itu, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.

"Justeru, setiap belanjawan perlu menyumbang dan membawa kita lebih dekat ke arah mencapai Wawasan 2020," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu menyediakan peluang yang saksama untuk pendidikan dan sektor lain selain memastikan kualiti hidup rakyat yang lebih tinggi.

Katanya, usaha transformasi juga menunjukkan perkembangan positif yang mana pada tahun lalu, ekonomi berkembang 5.1 peratus disokong oleh permintaan domestik yang menyaksikan pelaburan swasta meningkat daripada RM95.9 bilion pada 2010 kepada RM111.8 bilion tahun lalu.


Penerbit buku Irshad ditahan

Posted: 29 May 2012 03:06 PM PDT

Nasional

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam menyerbu pejabat syarikat penerbitan ZI Publications, yang menterjemah dan menerbitkan buku tulisan Irshad Manji di Petaling Jaya.

Syarikat milik anak Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim itu diserbu jam 10.30 pagi dan 180 buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta yang sudah diterjemahkan ke bahasa Malaysia dirampas.

Pemangku Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, ketika dihubungi berkata, pihaknya turut menahan pengarah syarikat itu, Mohd Ezra Zaid dan membawanya ke Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam untuk disoal siasat. "Serbuan dibuat dengan membawa waran geledah dan dilakukan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995," katanya mengesahkan 20 penguat kuasa JAIS diketuai Pegawai Operasi, Hardi Mohd Sadali melakukan serbuan itu.
Mohd Shahzihan berkata, Mohd Ezra memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan.

Mohd Ezra yang turut menghantar mesej mengenai serbuan dan kehadirannya di JAIS melalui laman twitternya, kemudian dilihat keluar bersama peguamnya, Nizam Bashir dari pejabat JAIS, di sini, jam 3.15 petang selepas memberi keterangan selama dua jam.

Beliau kemudian dibawa ke Mahkamah Syariah Shah Alam untuk proses jaminan.
Penolong Pengarah Siasatan JAIS, Shahrom Maarof, ketika ditemui selepas prosiding jaminan tertutup di hadapan Hakim Syarie Shahrudin Selamat berkata, Mohd Ezra dibebaskan dengan jaminan RM1,800.
Jumaat lalu, penguat kuasa JAIS turut memeriksa sebuah kedai buku di Bukit Tinggi, Klang tetapi tiada buku berkenaan dijual di premis berkenaan.

Selain Mohd Ezra, Zaid juga memuatkan dalam laman twitternya mengenai serbuan dan penahanan Mohd Ezra.

Sementara itu, Mohd Ezra enggan mengulas lanjut mengenai serbuan dan penahanannya, sebaliknya memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan