Berita Harian: Nasional |
Mesra, bersih faktor pikat pelancong: PM Posted: 31 May 2012 01:39 PM PDT Nasional SERDANG: Kemesraan pegawai imigresen, pemandu teksi yang tidak bermuram dan merungut ditambah dengan kemudahan tandas yang cukup bersih akan menjadi antara faktor penarik pelancong ke negara ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelancongan sangat berkait rapat dengan persepsi dan pengalaman manusia. "Negara boleh melakukan pelbagai promosi dan pemasaran menarik tetapi mereka yang melalui pengalaman melawat sama ada untuk tujuan perniagaan atau berseronok haruslah merasai pengalaman indah mengenai Malaysia. "Tiada yang lebih teruk selain pelawat yang balik ke negara mereka dan merungut mengenai kita. Justeru, semua ekosistem meliputi penggiat pelancongan, kakitangan kerajaan dan semua rakyat perlu berada pada 'gear penuh' dan memberikan servis terbaik dalam sektor ini" katanya.Semua ini katanya, akan menjadikan Malaysia pengeluar utama pelancongan global dan terus menjadi destinasi pelaburan, perdagangan dan percutian pilihan masyarakat luar. Beliau berucap pada Pameran Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITE) 2012 di sini, semalam. Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Selain itu katanya, rakyat perlu memastikan negara bebas daripada sebarang perbuatan ganas dan menghormati undang-undang bagi menjaga kestabilan negara.
Katanya, melaluinya juga MITE mewujudkan landasan dan rangkaian kerjasama dari segi pembangunan perkhidmatan sokongan, tambah nilai dan perkongsian idea bagi menggalakkan sektor pelancongan. MITE 2012 berlangsung empat hari menyasarkan 600,000 pengunjung dan menghimpunkan lebih 600 pempamer dari 33 negara serta 120 pembeli khusus dari seluruh dunia.
|
Posted: 31 May 2012 01:38 PM PDT Nasional KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan siasatan dibuat terhadap Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali yang didakwa memiliki aset dan harta melebihi pendapatan penjawat awam, antara 1995 dan 1997.Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata arahan dikeluarkan berdasarkan kertas laporan siasatan yang dibuka pada 2009 terhadap bekas Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri itu. "Kertas siasatan itu disambung semula berdasarkan maklumat tambahan yang terbaru dan ia disiasat untuk memastikan kebenaran dakwaan itu," katanya kepada pemberita di sini semalam. Beliau berkata, mereka yang terbabit dalam siasatan, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dipanggil untuk diambil keterangan.Katanya, cabaran utama untuk menyiasat kes itu adalah mencari bukti kukuh kerana kes berlaku pada 1995 dan sudah agak lama. Pengendali portal MalaysiaToday, Raja Petra Kamaruddin mendakwa mendapat maklumat mengenai salah guna kuasa oleh Anwar untuk menghalang siasatan terhadap Azmin daripada seorang bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang menyerahkan dokumen sulit itu di London, bulan lalu. Raja Petra mendakwa berdasarkan dokumen itu, BPR mempunyai bukti Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek.
"Pada ketika ini adalah salah bagi penjawat awam yang memiliki aset melebihi pendapatan dan diragui punca hasilnya mengikut Seksyen 36 Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya. Beliau bagaimanapun berkata, kes itu berlaku pada 1995 dan pada ketika itu undang-undang terpakai adalah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang tidak mempunyai peruntukan undang-undang sekarang. Katanya, mengikut undang-undang 1961, kesalahan seperti itu hanya memperuntukkan tindakan tatatertib oleh jabatan. Hadenan berkata, bagaimanapun panel penilaian mendapati adalah wajar satu siasatan dijalankan bagi memastikan kebenaran dalam dakwaan itu. Beliau berkata, SPRM juga akan memanggil bekas Ketua Pengarah BPR (ketika itu), Datuk Shafee Yahaya, manakala pegawai penyiasat kes itu sudah meninggal dunia. – BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan