849 projek surau - RM87.1 juta
KUALA LUMPUR: Mulai bulan depan, 4,374 sekolah di seluruh negara akan menerima bantuan khas RM987.1 juta secara berperingkat.
Daripada jumlah itu, RM900 juta untuk Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah yang dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun.
Peruntukan itu diagih kepada 1,744 sekolah kebangsaan (SK)/sekolah menengah kebangsaan (SMK) membabitkan RM500 juta, dan masing-masing RM100 juta kepada 817 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), 369 SJK Tamil (SJKT), 428 sekolah mubaligh dan 167 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
Baki RM87.1 juta adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar terkandung dalam Bajet 2012 untuk dibelanjakan tahun ini, membabitkan 849 projek pembinaan dan naik taraf surau sekolah di seluruh negara. Peruntukan ini bagi mengganti 24 surau lama dan menaik taraf 565 surau lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Katanya, kerajaan memberi segala bentuk bantuan bersesuaian kepada sekolah berdasarkan kemampuan semasa, termasuk RM2.8 bilion bagi membiayai 21 jenis bantuan persekolahan dan pendidikan kepada 5.4 juta pelajar.
"Kerajaan perlu melaksanakan agenda memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai komitmen kepada masyarakat majoriti supaya sekolah aliran perdana mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.
Namun, ini tidak bermakna kerajaan mengabaikan sekolah bantuan seperti SJKC, SJKT, sekolah mubaligh dan SABK kerana setiap sekolah ada peranan penting dalam merealisasikan agenda membangunkan modal insan negara.
Tahun lalu, Muhyiddin berkata, kementerian menyediakan peruntukan pembangunan RM126.16 juta kepada sekolah bantuan kerajaan pelbagai aliran mengikut permohonan sekolah terbabit serta keperluan terdesak. Tahun ini usaha itu diteruskan dengan bantuan khas RM400 juta.
Sepanjang 2010 dan 2011, kementerian mengeluarkan belanja mengurus untuk keseluruhan SJKC sebanyak RM2.89 bilion dan RM1.04 bilion bagi SJKT.
"Untuk itu, dua tahun lalu, saya mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara dan ia sudah siap.
"Daripada lebih 10,000 sekolah, hampir 600 sekolah dalam keadaan cukup parah. Justeru, projek penambahbaikan sekolah seperti ini, terutama di Sabah dan Sarawak, kita hendak menentukan mereka mendapat peruntukan mencukupi.
"Kita tidak dapat menampung semua sekolah daif itu dalam tempoh singkat, tetapi usahakan pada tahun akan datang," katanya.
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen
Jainal Sulai
harap bantuan tahuna sekolah agama rakyat per kapita bagi negeri sabah juga akan dpt disalurkan dgn seberapa segera. t kasih
ahmat sapie
Harap penyampaian bantuan ini tidak berlaku ketirisan. Hanya menguntungkan kontruktor.Pilih kontruktor yg benar-benar cemerlang. Kita belajar dari peristiwa binaan makmal komputer sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan