Selasa, 29 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tinggal duit beli baju raya

Posted: 29 May 2012 02:36 AM PDT

KUALA KUBU BHARU: "Saya tidak sangka pemberian RM400 oleh arwah suami awal pagi tadi untuk membeli baju raya tiga anak menjadi kenangan terakhir memilukan dalam keluarga kami," kata Maimunah Ahmad, 45 menceritakan perlakuan pelik suaminya, Abd Ghafar Lahakim, 52, sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 432.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berdekatan persimpangan keluar plaza tol Bukit Beruntung, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 6.15 pagi apabila mangsa dirempuh lori membawa papan yang terbabas sebelum dilanggar sebuah lori lain dari arah sama.


Menurutnya, mangsa keluar rumah di Kampung Sungai Behrang di Slim River menaiki motosikal Kawasaki berkuasa tinggi jam 5 pagi untuk bekerja sebagai pasukan polis bantuan di KL Monorel di Brickfields.

"Saya menasihati arwah supaya tidak perlu membelikan baju raya anak kerana masih mempunyai masa berbuat demikian. Arwah bertegas memberikan wang itu.


"Tidak sangka kelakuan pelik itu menandakan arwah meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini, semalam.


Beliau berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya pada jam 8.30 pagi semalam oleh anggota polis dari Balai Behrang, Tanjung Malim.

"Saya membawa tiga daripada sembilan anak saya ke HKKB untuk menuntut jenazah selepas bedah siasat selesai dilakukan.


"Arwah ada menyatakan hasrat membawa tiga anak kami bersiar-siar di ibu negara pada petang hari kejadian selepas selesai bekerja jam 7 malam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan kejadian masih dilakukan untuk mendapatkan maklumat kemalangan itu.


Katanya, pemandu lori yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh manakala seorang lagi pemandu lori belum dapat dikesan.


"Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lebih 20 kilometer selama lima jam di tempat kejadian. Ketika itu cuaca terang dan jalan kering.


"Siasatan awal mendapati lori papan hilang kawalan lalu terbabas sebelum dirempuh sebuah lori lagi yang juga terbabas lalu terbalik," katanya.


Norel berkata, mayat mangsa dibawa ke HKBB pada jam 9 pagi untuk bedah siasat.




Nenek, cucu maut bersama

Posted: 28 May 2012 11:49 AM PDT

SHAH ALAM: Kegembiraan seorang wanita warga emas bersama cucunya yang baru bertemu saudara mereka di Klang berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut sejurus van yang dinaiki terbabit kemalangan di Persimpangan Bertingkat Setia Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, V Muniamah, 63, dan cucu lelakinya, M Vasan, 7, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat tercampak lebih 10 meter.


Difahamkan, mayat Muniamah tercampak keluar dan terkena pada sebatang pokok tidak jauh dari tempat kejadian manakala mayat cucunya tercampak sebelum terkena pembahagi jalan.

Ketua Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, kemalangan maut berkenaan dipercayai berpunca daripada tayar hadapan van tiba-tiba pecah sebelum meletup.


Akibatnya, van yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan.


Katanya, pemandu van, V Muniandy, 43, yang juga anak lelaki mangsa dan dua lagi anak saudara lelakinya masing-masing berusia 12 dan 14 tahun tidak cedera.

"Sebelum kejadian, van terbabit dalam perjalanan dari Plaza Tol Bukit Raja menuju Plaza Tol Setia Alam, di sini.


"Setibanya di susur keluar arah Setia Alam, tayar depan kiri van pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu bergesel pembahagi jalan sebelah kanan," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan