Khamis, 31 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


SSM perkenal insentif baharu kurangkan beban peniaga

Posted: 31 May 2012 05:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memperkenalkan pakej baharu, Pakej Insentif Pendaftaran dan Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan SSM 2012, untuk mengurangkan beban kos pendaftaran yang dihadapi oleh peniaga kecil dan penjaja.

Perlaksanaan pakej itu melibatkan pengurangan fi bagi pendaftaran perniagaan baharu, pembaharuan pendaftaran perniagaan dan diskaun kompaun yang dikenakan bagi pendaftaran baharu lewat dan pembaharuan pendaftaran lewat yang dikeluarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956).

"Bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan tahunan pendaftaran untuk pemilik tunggal dan perkongsian dikenakan bayaran RM50 untuk tempoh pendaftaran selama 5 tahun secara sekali gus berbanding dengan jumlah fi RM150 atau RM300 yang dikenakan sekarang.

"Bayaran kompaun semua bagi pendaftaran lewat dan pembaharuan pendaftaran lewat dikurangkan sebanyak 50 peratus. Perlaksanaan pakej ini akan berkuat kuasa bagi tempoh 1 Jun sehingga 31 Disember tahun ini," kata SSM dalam kenyataannya hari ini.


SMM berkata pakej insentif itu tidak termasuk bayaran RM10 yang dikenakan bagi maklumat perniagaan yang dibekalkan selepas proses pendaftaran perniagaan selesai.


Pakej insentif itu akan memberi faedah kepada seramai 1.2 juta pemilik perniagaan, peniaga kecil dan penjaja.

"Atas sebab-sebab teknikal, bagi menikmati pakej insentif ini, pemohon hanya boleh melakukan urusan pendaftaran perniagaan dan pembaharuan pendaftaran serta pembayaran kompaun di mana-mana kaunter SSM di seluruh negara," kata SSM. - Bernama




Lelaki nyaris maut kereta terjunam dari jalan bertingkat

Posted: 31 May 2012 04:09 AM PDT

GEORGE TOWN: Seorang lelaki nyaris maut apabila pacuan empat roda yang dipandunya terjunam dari jalan bertingkat berhampiran bulatan Tunku Kudin menghala ke Bayan Lepas, di sini hari ini.

Jurucakap bahagian trafik negeri berkata, dalam kejadian jam 2.40 petang, pemandu berusia 20-an itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh besi pembahagi jalan sebelum terjunam ke laluan bawah Jalan Sultan Azlan Shah.

"Semasa kejadian, hujan renyai dan lelaki itu pula memandu laju, mujurlah tiada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut ketika itu," katanya kepada pemberita.

Sebuah jentera bomba turut dikejarkan ke tempat kejadian dan anggota penyelamat terpaksa memotong sebahagian kereta berkenaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan