KUALA LUMPUR: Satu lagi kejadian cubaan menculik berlaku di sekitar ibu kota kelmarin, menjadikannya kes culik keenam sepanjang tahun ini dengan dua daripada mangsa dilarikan kumpulan penculik termasuk kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar.
Dalam kebanyakan kes, kumpulan penculik menggunakan van dan empat daripada enam kes itu membabitkan van putih.
Dalam kejadian terbaru jam 3.30 petang kelmarin, seorang remaja lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rajan, 14, lolos daripada cubaan menculiknya apabila dia nekad menggigit tangan seorang daripada enam lelaki yang ketika itu menekup mulutnya.
Kejadian berlaku ketika Rajan yang pulang dari sekolah baru turun dari bas awam di perhentian bas di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam, di sini, dan berjalan untuk ke rumahnya kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
"Sebaik turun daripada bas, saya berjalan ke rumah menggunakan lorong bahagian belakang blok bangunan kedai berdekatan rumah sebelum ternampak seorang lelaki berambut panjang berdiri berdekatan perhentian bas.
"Tidak lama kemudian, lelaki itu mengekori saya sebelum sebuah van putih yang diletakkan 200 meter dari perhentian bas bergerak menghampiri saya.
"Tiba-tiba lelaki berambut panjang itu menerpa ke arah saya dan menekup mulut dari arah belakang. Dia kemudian memegang tali beg sekolah dan menarik saya ke arah van putih," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
IPOH: Menubuhkan askar sukarelawan siber diterajui belia mempertahankan sistem komputer negara daripada ancaman penggodam luar antara resolusi dicapai pada Malaysian Cyber Conference (MCC) 2012 yang dihadiri 110 peserta terdiri daripada belia dan pengamal siber, di sini.
Pengarah Projek MCC, Afnan Afiq Alias berkata, isu keselamatan siber khususnya laman web rasmi kerajaan harus diambil perhatian berikutan kes penggodaman yang semakin serius.
"Dengan adanya sukarelawan siber, ancaman seperti ini dapat ditangani dengan lebih pantas di samping membantu agensi keselamatan siber menangkis serangan penggodam berniat jahat," katanya.
Menurutnya kepakaran penggodam sering dipandang negatif berikutan tindakan beberapa pihak yang sering melakukan 'defacement' atau mengubah paparan utama laman web kerajaan.
"Pada pandangan saya, mereka sebenarnya hanya mahu mendedahkan kelemahan sistem keselamatan laman terbabit dan tidak mengganggu data yang disimpan. "Bayangkan jika pihak luar yang melakukan penggodaman dan menyalahgunakan data sulit yang disimpan," katanya ketika ditemui.
Justeru, katanya, penubuhan pasukan ini perlu untuk membantu agensi kerajaan memantau keselamatan laman web mereka terutama yang menyimpan data sensitif.
Afnan memberi contoh kejadian godam membabitkan laman sebuah agensi penguat kuasa, baru-baru ini dengan data seperti pendapatan mengikut negeri didedahkan penggodam tidak bertanggungjawab.
"Saya menyeru belia khususnya yang mempunyai kepakaran godam menyertai MCC dan menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan sistem keselamatan siber negara," katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi (ITYM), Khaireel Azlee Abdul Aziz yang juga antara tulang belakang MCC menjelaskan, tanggungjawab sukarelawan siber bukan sekadar menjadi benteng malah membentuk polisi membabitkan teknologi Komunikasi informasi (ICT) dan belia.
"Golongan ini dapat membantu kerajaan dengan memberikan maklum balas, cadangan serta kehendak mereka memudahkan proses penggubalan polisi," katanya.
Turut diadakan dalam program berkenaan, forum yang membincangkan fenomena godam serta implikasinya terhadap masyarakat selain perbincangan bersama mengenai kaedah keselamatan siber.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan