Sabtu, 26 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mimpi petanda malang

Posted: 25 May 2012 12:05 PM PDT

DUNGUN: "Saya tidak menyangka mimpi menakutkan termasuk cuba ditembak orang tidak dikenali sejak beberapa malam lalu membawa petanda malang," kata Che Hasan Che Ali, 52, yang rumahnya di Kampung Rajawali, Pulau Serai, di sini, hangus dalam kebakaran kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, dia bersama isteri dan lapan anak berusia lima hingga 22 tahun gagal menyelamatkan sebarang harta benda kerana api marak terlalu pantas.


Menurutnya, ketika kejadian dia sekeluarga tidur sebelum anaknya, Siti Nur Hajar, 22, mengejutkannya dan memaklumkan rumah mereka terbakar.

"Ketika tidur, saya terbau hangit, namun menyangkakan itu mainan mimpi. Bagaimanapun, saya bingkas bangun selepas anak memaklumkan bahagian dapur rumah terbakar," katanya.


Che Hasan berkata, dia yang ketakutan mengejutkan isteri dan anak yang lain sebelum mengarahkan mereka menyelamatkan diri.


Katanya, keadaan api yang marak menyebabkan dia gagal menyelamatkan rumah papannya itu sebelum keseluruhan rumahnya hangus dalam tempoh 15 minit.

"Kami tidak mampu berbuat apa-apa kecuali melaungkan azan sambil memohon kepada Allah agar menyelamatkan rumah kami.


"Jiran kami juga gagal dalam usaha mereka memadam kebakaran kerana api marak dengan cepat dan sebaik anggota bomba tiba, rumah kami sudah musnah," katanya.


Dua mesin ATM kena pecah

Posted: 25 May 2012 12:05 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua mesin juruwang automatik (ATM) dipecahkan dalam dua kejadian berasingan di sebuah pasar raya di Balakong manakala sebuah lagi di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti yang menyebabkan kerugian lebih RM320,000, semalam.

Dalam kejadian pertama di sebuah pasar raya Balakong , empat lelaki bersenjatakan mesin gerudi memecahkan mesin ATM sebelum melarikan wang tunai RM260,000 di dalamnya.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, pihaknya menerima maklumat awal daripada kakitangan pasar raya berkenaan yang menyedari kejadian itu sebaik mahu memulakan tugas jam 8.30 pagi.

Katanya, suspek dipercayai memasuki pasar raya berkenaan melalui pintu belakang sebelum menuju ke arah mesin berkenaan dan memecahkannya menggunakan gerudi.


"Siasatan awal mendapati kejadian itu dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan. Bagaimanapun, wajah keempat-empat suspek berkenaan tidak begitu jelas," katanya.


Katanya, setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menganalisis CCTV berkenaan dan memburu suspek.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Stesen LRT Universiti kira-kira jam 12.20 tengah hari pula, seorang kakitangan teknikal terkejut apabila mendapati sebuah mesin ATM yang diletakkan di kawasan itu dipecahkan ketika membuat pemeriksaan.


Kakitangan berkenaan, Rahim Nasir, 20-an, berkata, dia melakukan pemeriksaan ke atas mesin itu selepas mendapat aduan berhubung kerosakan mesin berkenaan.

"Sebaik saya membuka pintu utama mesin itu, saya dapati dinding batu yang menjadi pemisah antara mesin ATM dengan sebuah ATM bersebelahan berlubang manakala kotak wangnya pula hilang," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan