Khamis, 17 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penggunaan kad mendarat bagi pelawat asing dimansuh mulai 1 Jun

Posted: 17 May 2012 03:45 AM PDT

PUTRAJAYA: Setiap pelawat asing hanya perlu membawa pasport dan tidak lagi perlu mengisi borang untuk memasuki negara ini apabila penggunaan Kad Mendarat Imigresen (IMM.26) dimansuhkan mulai 1 Jun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, penggunaan kad itu didapati tidak lagi sesuai pada masa ini kerana Jabatan Imigresen Malaysia telah memperkenalkan sistem merekod biometrik setiap pelawat asing melalui Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Nasional (NERS).

"Sistem NERS yang diperkenalkan pada 1 Jun 2011 berupaya merekod dan menyimpan data pelawat asing, dengan demikian ia telah memenuhi keperluan Kementerian Pelancongan untuk merekod data pelancong asing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahmood berkata, keputusan yang dicapai melalui perbincangan antara Jabatan Imigresen, KDN dan Kementerian Pelancongan itu tidak akan menjejaskan keselamatan negara malahan ia berupaya membantu dan memudahcara proses ketibaan pelawat di Malaysia dan menyingkatkan waktu berurusan di pintu masuk negara.


Sehubungan itu orang ramai dipohon supaya merujuk terus ke Jabatan Imigresen melalui talian 1-800-22-6969 dan emel ke alamat pro@imi.gov.my jika terdapat sebarang kekeliruan dan pertanyaan, katanya.


Sementara itu dalam kenyataan berasingan, KDN memaklumkan bahawa pelancaran Skuad Muda KDN yang dijadual Sabtu ini di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia (MAeps) Serdang ditangguh ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Skuad itu diadakan bagi memberi lebih banyak peluang kepada golongan berumur antara 18 hingga 25 tahun menyertai aktiviti kesukarelaan. - Bernama




Pembinaan hospital baru Dungun diharap dapat atasi kesesakan

Posted: 17 May 2012 02:35 AM PDT

MARANG: Pembinaan hospital baru Dungun yang boleh memuatkan 200 katil diharap dapat mengatasi masalah kesesakan yang begitu kritikal di wad hospital sedia ada di daerah itu sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pembinaan hospital itu yang menelan belanja RM300 juta, akan dilaksanakan dalam dua fasa.

"Fasa pertama akan menyediakan 108 katil manakala fasa kedua akan memuatkan 92 katil dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

"Kerajaan pusat pada dasarnya bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan hospital baru Dungun ini dan kerja pecah tanah dijangka bermula Ogos ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival Kesihatan di dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.


Hospital Dungun dengan kapasiti 92 buah katil sekarang, tidak lagi mampu menampung kesesakan luar biasa di hospital itu berikutan pertambahan bilangan penduduk di daerah itu yang mencecah hampir 170,000 orang, katanya. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan