Kosmo Online - Negara |
Posted: Janda tua kaya rugi RM5 juta
KUALA LUMPUR - Demi cinta terhadap seorang 'Jeneral Tentera Amerika Syarikat' yang dikenali menerusi internet, seorang janda tua sanggup menjual harta dan menyerahkan wang miliknya yang kesemuanya berjumlah RM5 juta kepada kekasihnya itu yang merupakan ahli sindiket penipuan. Ibu tunggal warga tempatan berusia 63 tahun itu mengenali suspek pada 2010 menerusi satu ruangan sembang sebelum mangsa dijerat dengan kata-kata manis warga asing itu yang dipercayai didalangi oleh warga negara Afrika. Mangsa yang memiliki sebuah firma audit di ibu negara dipercayai turut tergoda dengan ahli sindiket itu selepas suspek menunjukkan gambar-gambar wajahnya yang kacak dan mendakwa berusia 50-an. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, dalam perkenalan itu, suspek mengambil kesempatan menawarkan peluang pelaburan di luar negara kononnya menjanjikan pulangan berlipat ganda. Mangsa yang teruja untuk mendapat kekayaan segera telah menyerahkan wang walaupun tidak pernah menemui suspek. "Kesemua wang tersebut dimasukkan secara berperingkat sebanyak 30 kali ke dalam beberapa akaun sebelum wang itu dipindahkan ke akaun sindiket," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. Menurut Izany, kali terakhir mangsa membuat transaksi sebanyak RM50,000 ke dalam akaun suspek adalah pada Ahad lalu. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | |
PTPTN kekalkan caj satu peratus Posted: PTPTN kekalkan caj satu peratusOleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF WAJAH ceria sekumpulan pelajar tahun pertama Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas menerima cek wang pendahuluan PTPTN di kampus UiTM Shah Alam semalam. SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan meneruskan pelaksanaan caj perkhidmatan satu peratus untuk peminjam selagi kerajaan belum membuat keputusan untuk menghapuskannya. Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, caj itu penting untuk PTPTN membiayai operasi serta menampung kos perluasan pentadbiran dengan pembukaan cawangan baru di Pahang, Melaka, Sabah dan Sarawak. "Kami telah mengemukakan cadangan memansuhkan caj itu kepada kerajaan. Selagi belum ada keputusan, bayaran satu peratus itu akan dikekalkan," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan pemansuhan caj perkhidmatan itu ketika berdebat dengan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli di sini malam kelmarin. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | |
Budak hilang dipercayai dibaham buaya Posted: Budak hilang dipercayai dibaham buayaOleh SOPI SAMAILE SEORANG penduduk rumah panjang menunjukkan lokasi Peter Heerema mandi di tepi Sungai Linggang sebelum hilang dipercayai dibaham buaya di Engkilili, dekat Sri Aman, Sarawak kelmarin. SRI AMAN – Operasi mencari dan menyelamat seorang budak lelaki yang dipercayai diserang buaya di Sungai Linggang, Engkilili dekat sini lewat petang kelmarin terpaksa diteruskan selepas mayatnya yang timbul seketika hilang semula dihanyutkan arus. Mayat Peter Heerema Sadan, 13, pada mulanya dilihat terapung pada pukul 6.55 petang semalam, namun gara-gara takutkan buaya yang banyak menghuni sungai itu, penduduk setempat sekadar membiarkannya sahaja sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat. Sewaktu menunggu, mayat mangsa kembali hilang dihanyutkan arus dan gagal ditemui sehingga operasi mencari diteruskan pada pukul 8 malam. Sumber polis memberitahu, sebelum itu mereka telah dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan oleh penduduk kampung. "Kami akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat sehingga mayat mangsa dijumpai," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Dalam kejadian petang kelmarin, Peter Heerema dan adiknya, Clement Bayang Man, 11, pergi ke tebing sungai yang jaraknya hanya lima meter dari kawasan rumah panjang mereka untuk mandi-manda. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan