Selasa, 29 Mei 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


21 lagi projek baru NKEA

Posted: 28 May 2012 02:44 PM PDT

MukaDepan

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan 21 lagi projek baru di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dijangka melonjak Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM4.59 bilion menjelang 2020.

Projek itu membabitkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM20.46 bilion dan mewujudkan 39,918 pekerjaan dalam tempoh berkenaan.

Projek itu terangkum di bawah NKEA Pertanian, Perkhidmatan Perniagaan, Pendidikan, Penjagaan Kesihatan, Pemborongan dan Peruncitan, Elektrikal dan Elektronik serta Greater KL/Klang Valley. Perdana Menteri berkata, bagi NKEA Pertanian, tiga syarikat komited untuk melabur RM456.69 juta yang akan mewujudkan 2,539 pekerjaan, selain meningkatkan keselamatan makanan kebangsaan.

Bagi Perkhidmatan Perniagaan, tujuh syarikat melabur RM2.4 bilion yang mewujudkan 10,909 pekerjaan dalam bidang seperti membina dan membaik pulih kapal, kejuruteraan reka bentuk, pusat data serta pusat perkhidmatan global.

"Pendidikan kekal menjadi enjin pertumbuhan utama untuk masa depan dan kita mesti terus melabur dalam bidang ini.

"Projek AWLU, Heriot Watt University Malaysia dan Kolej Universiti KDU akan membawa amalan terbaik dari seluruh dunia, termasuk institusi terkemuka di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
"Pelaburan keseluruhan mereka RM535.58 juta akan mewujudkan 660 pekerjaan," katanya berucap pada majlis Laporan Terkini Program Transformasi Ekonomi (ETP) pertama bagi 2012, di sini, semalam.

Sejak dilancarkan Oktober 2010, 72 projek ETP dilaksanakan membabitkan pelaburan berjumlah RM188 bilion yang mewujudkan 331,741 peluang pekerjaan baru, selain menyumbang PNK RM129 bilion menjelang 2020.

Pada majlis sama, Najib yang juga Menteri Kewangan turut menghuraikan pencapaian terkini enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) berasaskan 51 dasar dicadangkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara serta menyampaikan dua teras utama ETP, iaitu fokus dan daya saing.

Pencapaian itu, termasuk Akta Gaji Minimum yang baru diwartakan dan tambahan lima rakan kongsi untuk program MyProCert di bawah SRI Pembangunan Modal Insan.

Di bawah SRI Persaingan, Standard dan Liberalisasi pula, Tribunal Rayuan Persaingan ditubuhkan, perkembangan 12 Standard Malaysia (MS) membabitkan Diod Pemancar Cahaya dipercepat dan liberalisasi sembilan subsektor.

Di bawah SRI Kewangan Awam, Najib berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) melaksanakan beberapa inisiatif menambah baik pentadbiran serta pematuhan cukai.

Usaha itu membuahkan tambahan kutipan cukai RM192.8 juta pada suku pertama 2012 oleh LHDN dan KDRM, melangkaui sasaran RM191.4 juta.

"Setahun setengah sudah berlalu sejak saya melancarkan ETP. April lalu, kami menerbitkan Laporan Tahunan ETP yang pertama dan saya bangga pencapaian 23 peratus melepasi sasaran ditetapkan.

"Ini disebabkan pertumbuhan ekonomi negara menggalakkan sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu.

"Pada suku pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat peningkatan sebanyak 4.7 peratus, melebihi jangkaan umum.

"Bagaimanapun, perjalanan masih jauh harus ditempuhi untuk kita nyatakan bahawa `misi kita sudah selesai dengan jayanya'.

"Dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, inilah masanya untuk kita mengorak langkah dengan lebih tegas dan pantas supaya destinasi yang kita impikan menjadi kenyataan," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan