Ahad, 1 Julai 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 13 flat

Posted:

Lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 13 flat

01/07/2012 9:21pm

PETALING JAYA – Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah flat di Pelangi Damansara, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki berumur 32 tahun itu terjatuh kira-kira pukul 11.30 pagi.

Lelaki yang pernah ditahan polis itu tinggal bersama ibunya yang berumur 54 tahun, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat tiga anggota polis berpakaian preman yang pernah menahan lelaki itu sebelum ini, di kawasan perumahan itu.

Arjunaidi berkata, ibu lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Utama berhubung kematian anaknya dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Polis menyiasat kes ini sebagai mati mengejut dan akan menyiasat punca sebenar dia jatuh sama ada terjatuh atau cuba melarikan diri," katanya sambil menegaskan bahawa kehadiran anggota polis berkenaan di kawasan perumahan itu tiada kaitan dengan lelaki terbabit.

Arjunaidi bagaimanapun enggan menyatakan kesalahan yang membabitkan lelaki itu sebelum ini. – BERNAMA

Polis buru geng parang serang pusat hiburan

Posted:

Polis buru geng parang serang pusat hiburan

01/07/2012 9:03pm

GEORGETOWN – Polis sedang mengesan sekumpulan suspek berumur lingkungan 20-an dipercayai terlibat dalam kejadian serangan bersenjata terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Larut, pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian 12 tengah malam itu, lima hingga enam lelaki bersenjatakan parang dikatakan meluru masuk ke dalam premis dan memecahkan beberapa rak botol minuman serta merosakkan barangan dalam pusat hiburan berkenaan.

"Difahamkan pemilik kedai itu baru dua hari mengambil alih perniagaan di situ dan polis percaya serangan itu bertujuan menakutkan pengunjung kelab berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kong Meng berkata, suspek cepat-cepat meninggalkan tempat tersebut selepas mengetahui kehadiran polis dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu. – BERNAMA

Ahmad Fazrul juarai kategori CP130 di Muar

Posted:

Ahmad Fazrul juarai kategori CP130 di Muar

01/07/2012 9:02pm

MUAR – Ahmad Fazrul Sham muncul juara kategori utama CP130 pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di litar Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Pelumba pasukan Yamaha Faito Motobert Racing yang berusia 27 tahun itu menguasai saingan sejak awal perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa 10 minit 25.313 saat.

Memberikannya saingan sengit ialah pelumba Honda Harian Metro Y-teq SCk Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman, 28, yang menduduki tempat kedua dengan masa 10:26.313s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan Yamaha Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline, Mohd. Zamri Baba, 29, dengan masa 10:26.520s.

Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd. Noor, 24, dari Petronas Syntium Moto Yamaha AHM Racing muncul juara dengan masa 8:24.714s setelah mendahului pelumba M-Seki Liberty Honda Racing, Mohd Emir Firdaus Hasan, 20, yang masa 8:36.352s.

Pelumba muda, Mohd Adib Rosley, 18, dari Motul Yamaha YY Pang Racing berada di tempat ketiga dengan catatan masa 8:36.688s. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan