Harian Metro: Mutakhir |
Kebakaran musnahkan tujuh rumah papan, 35 orang hilang tempat tinggal Posted: 02 May 2012 04:31 AM PDT KOTA KINABALU: Kira-kira 35 orang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran pagi ini yang memusnahkan tujuh rumah papan di sebuah perkampungan air di Kampung Meruntum, Lok Kawi dekat sini hari ini. Kebakaran dipercayai berlaku sekitar pukul 8 pagi ini apabila kebanyakan penghuni rumah bersiap untuk keluar bekerja.
Pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.20 pagi dan lapan anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian dalam tempoh 10 minit. "Kami berjaya mengawal api kira-kira setengah jam kemudian dan keseluruhan operasi tamat sekitar 9.30 pagi," katanya apabila dihubungi.
|
Ampang, Kajang, Cheras dilanda banjir kilat Posted: 02 May 2012 04:03 AM PDT KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih daripada sejam melanda Lembah Klang menyebabkan tiga kawasan termasuk Ampang, Kajang dan Cheras dilanda banjir kilat dengan dua insiden pokok tumbang, hari ini. Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kajang berkata hujan lebat sejak 1 tengah hari di Kajang telah menyebabkan air naik mendadak kira-kira satu meter disebabkan longkang tersumbat, dan menjejaskan pekan itu seketika.
Dua jentera dari balai Kajang dengan lapan anggotanya membuat kerja pemantauan dan menyelamat mangsa banjir, katanya kepada Bernama di sini hari ini. "Namun keadaan banjir kilat semakin reda pada jam 4 petang ini selepas air mulai surut berikutan hujan turun renyai-renyai," katanya.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan pula berkata banjir kilat turut melanda kawasan berhampiran Balai Polis Salak Selatan, Cheras pada 2 petang tadi, dengan air naik kira-kira 1.5 meter. Katanya memandangkan hujan masih lagi lebat dijangka air akan lambat surut. "Kami telah menghantar dua jentera 14 anggota untuk memantau keadaan banjir di sana serta membuat tugasan menyelamat," katanya. Katanya banjir kilat turut melanda kawasan perumahan di Kampung Tasik Permai apabila air naik sedalam 0.4 meter sejak 2 petang ini, dan satu jentera bomba melibatkan tujuh anggota dihantar untuk memantau keadaan. Sementara terdapat dua kejadian pokok tumbang di Bulatan Sungai Besi, yang menghempap empat buah kenderaan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya dan menambah, bomba telah menghantar satu jentera untuk memotong pokok tersebut. Terdapat juga satu kes pokok tumbang di Flat Seri Johor di Jalan Tun Razak namun ia tidak menghempap sebarang kenderaan, dan kedua-dua insiden itu dilaporkan pada 2.15 petang tadi oleh orang awam, katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan