Sabtu, 12 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Serangan kamikaze

Posted: 11 May 2012 02:52 PM PDT

ALOR GAJAH: "Sebaik membuka pintu bilik, saya nampak seorang lelaki sebelum dia membaling pemotong besi yang mengenai kepala menyebabkan saya melepaskan sedas tembakan ke arah kaki kirinya," kata mangsa samun bersenjata, Mohd Shamir Fauzi, 28.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di Pantai Belimbing, Durian Tunggal, dekat sini, rumah didiami Mohd Shamir bersama isteri, Azarita Abd Rahim, 28, ibunya Nory Md Noor, 58, serta anak tunggal mereka, Muhammad Reza Fauzi, 2, dipecah masuk tiga lelaki bersenjatakan parang, pisau dan pemotong besi.

Bagaimanapun, cubaan ketiga-tiga suspek untuk menyamun rumah berkenaan gagal apabila seorang daripada mereka cedera di kaki kiri dan seorang lagi cedera di perut akibat terkena tembakan senapang patah dilepaskan Mohd Shamir yang turut cedera di dahi.

Seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 yang ditembak di kaki, berjaya ditahan polis kira-kira 100 meter dari rumah mangsa dalam keadaan mengerang kesakitan manakala rakannya yang cedera di perut serta seorang lagi sempat melarikan diri.


Mohd Shamir berkata, sejurus dia melepaskan satu tembakan, seorang rakan penjenayah itu yang turut berada dalam rumah, menjerit sambil membaling basikal, kerusi dan pelbagai peralatan ke arah saya yang mengarahkan mereka menyerah diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Empat ‘polis’ samun RM58,000

Posted: 11 May 2012 02:47 PM PDT

KUALA LUMPUR: Berbekalkan lencana polis dan mendakwa pegawai siasatan dari Bukit Aman, empat lelaki tempatan nekad menyamun sebuah pejabat swasta di Menara Haw Par, di sini, jam 4 petang, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, keempat-empat suspek yang bersenjatakan pistol itu melarikan mata wang asing berjumlah AS$11,000 (RM33,000) dan wang tempatan, RM25,000 serta barangan berharga lain di pejabat berkenaan.


Bagi meyakinkan mangsa mereka pegawai polis, kumpulan lelaki itu mengarahkan pengarah syarikat dan semua stafnya menjalani ujian air kencing kerana mendakwa mereka ke pejabat itu atas arahan pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber polis berkata, pengarah syarikat berkenaan dipaksa membuka peti keselamatan sebelum melarikan wang bernilai lebih RM58,000 termasuk mata wang asing. Mereka turut merampas telefon bimbit dan komputer riba milik staf syarikat berkenaan.


"Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit turut mengugut meletakkan sepeket kecil serbuk putih dipercayai dadah di pejabat berkenaan sekiranya mangsa enggan bekerjasama dengan 'siasatan' mereka," katanya.


Sumber berkata, pengarah syarikat berkenaan yang tertipu dengan penyamaran suspek meminta kebenaran mereka untuk menghubungi peguam syarikat bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, kumpulan suspek naik angin selepas mangsa memaklumkan akan menghubungi peguam dan ketika itu, pengarah syarikat berkenaan baru tersedar mereka penjenayah dan bukan polis.


Katanya, akibat risau penyamaran mereka terbongkar, suspek menolak pengarah syarikat itu ke dalam pantri dan menguncinya dari luar sebelum melarikan diri.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan