Rabu, 2 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bergotong-royong basmi aedes

Posted: 01 May 2012 02:19 PM PDT

PETALING JAYA: Bagi mewujudkan kawasan persekitaran yang bersih dan bebas penyakit, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petaling Jaya Selatan 2 (PJS2) dan Persatuan Penduduk PJS2 bersama beberapa agensi lain menganjurkan Majlis Gotong-Royong Kempen Antiaedes 1 Malaysia 2012, di sini, semalam.

Pengerusi KRT PJS2, Kamaruddin Bazid berkata, inisiatif ini diambil selepas melihat peningkatan demam denggi di kawasan terbabit dan memberikan kesedaran mengenai penyakit itu.


Katanya, lima kes dicatatkan pada April lalu berbanding dua kes pada Mac dan satu kes pada Februari.

Justeru pihaknya memanggil agensi yang terbabit program pembasmian aedes untuk memberikan penerangan kepada penduduk.


"Bukan saja di PJS2 menunjukkan peningkatan demam denggi, namun di seluruh PJS. Melalui statistik dikeluarkan mendapati 24 kes dilaporkan di seluruh kawasan PJS untuk April dan ini menunjukkan peningkatan berbanding bulan-bulan sebelumnya.


"Kami di kawasan PJS2 sentiasa menitikberatkan isu kebersihan dan ini membuatkan kami menyahut seruan kerajaan untuk membasmi penyakit terbabit. "Selain itu, program seperti ini dapat memperkukuh dan mengeratkan hubungan kekeluargaan di kalangan penduduk," katanya selepas majlis perasmian program itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.


Upah samseng halau cikgu

Posted: 01 May 2012 01:55 PM PDT

PETALING JAYA: Seorang guru wanita yang mengajar di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Damansara di sini, mendakwa hidup dalam trauma dan ketakutan selepas diganggu serta diugut sekumpulan samseng yang dipercayai diupah ibu bapa pelajar yang tidak berpuas hati mangsa mengajar di sekolah berkenaan.

Menurut sumber, guru berkenaan yang berusia 40 tahun menerima lima ugutan sejak 10 April lalu dan ugutan terbaru diterima ketika berada di tempat letak kereta rumahnya, jam 10 pagi, Sabtu lalu.


"Ketika kejadian itu, mangsa yang menuju keretanya dihampiri seorang lelaki tidak dikenali dan memarahinya kerana masih mengajar di sekolah itu walaupun beberapa kali diberi amaran supaya berpindah.

"Lelaki terbabit yang juga orang sama mengganggunya sebelum ini mengugut dengan mengeluarkan perkataan 'esok akan mati jika kau berdegil' dan berpindah dari sekolah berkenaan," katanya, semalam.


Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara. Sumber berkata, sekumpulan samseng terbabit turut mengekori guru berkenaan ke mana saja mangsa pergi termasuk membuat gangguan di rumah pada waktu malam apabila pintu rumah diketuk berulang kali.


"Siri gangguan terhadap mangsa bermula selepas isu penggunaan bahasa Melayu di sekolah berkenaan ditimbulkan segelintir ibu bapa pelajar yang tidak sependapat dengan pentadbiran sekolah pada hujung tahun lalu.

"Mangsa yang mengajar subjek Bahasa Melayu menyediakan kertas ujian pelajar dalam bahasa itu dan tindakan itu menyebabkan ibu bapa pelajar terbabit tidak berpuas hati. "Mangsa yang tidak tahan dengan gangguan itu membuat laporan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Utama dan memohon untuk ditukarkan sekolah lain kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadapnya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan