Sabtu, 12 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tiga ibu rayu anak pulang

Posted: 11 May 2012 03:00 PM PDT

KUALA LUMPUR: Bersempena Hari Ibu, Ahad ini, tiga ibu merayu agar anak perempuan masing-masing pulang ke pangkuan keluarga selepas melarikan diri dari rumah.

Bagi mereka, kepulangan anak tersayang itu adalah paling bermakna sempena hari berkenaan.


Seorang suri rumah, Che Nolia Hassan, 54, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik tidak pulang ke rumah di Rawang, sejak Julai tahun lalu.

Beliau berkata, anaknya yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, Noor Haffiza Ibnu Hajar, 24, disedari hilang kira-kira jam 9 pagi dipercayai lari mengikut teman lelaki dengan menaiki kereta Proton GEN 2 yang sudah menunggu berhampiran rumahnya.


"Ada seorang saksi iaitu pengawal keselamatan di kawasan perumahan melaporkan ternampak Noor Haffiza mengikut dua lelaki dalam kereta berkenaan. Sebelum kejadian, kami tidak bertengkar dan anak saya itu berkelakuan seperti biasa menyebabkan saya sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa.


"Namun, saya terkejut apabila mendapati biliknya kosong manakala pakaiannya tiada dalam almari ketika mahu mengajaknya bersarapan sebelum diberitahu pengawal keselamatan yang ternampak anak saya bersama dua lelaki," katanya pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Seorang lagi suri rumah, Yong Mai Hoe, 44, turut melaporkan anak perempuannya, Kong Wei Yan, 16, lari mengikut teman lelakinya yang dipercayai warga Nigeria dikenali sebagai Prince, Selasa lalu.


"Saya khuatir anak tunggal saya ditipu lelaki kulit hitam yang baru dikenalinya selama lapan bulan itu dan dipaksa melacur dalam sindiket pelacuran membabitkan gadis bawah umur," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu malang, Lee Eng Leng, 45, berharap anak perempuannya, Toh Poh Kiew, 20, pulang ke rumah selepas keluar rumah pada Disember tahun lalu kerana merajuk akibat tidak dapat melanjutkan pelajaran berikutan masalah kewangan dihadapi keluarga.


Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata, pihaknya menerima enam laporan kes sama sejak awal tahun ini membabitkan gadis berusia 20 tahun ke bawah.


"Oleh itu, kami merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis berkenaan boleh menghubungi kami di talian 03- 2203388," katanya.




Suspek ketujuh kes culik Nayati direman 14 hari

Posted: 11 May 2012 03:00 PM PDT

KUALA LUMPUR: Suspek ketujuh kes culik kanak-kanak Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dicekup di Banting, Selangor kelmarin ditahan reman selama 14 hari bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek berusia 24 tahun dan berasal dari Cheras itu ditahan reman sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes penculikan Nayati.


Menurutnya, lelaki berkenaan adalah suspek ketujuh daripada lapan orang yang dipercayai terbabit dalam kes culik Nayati, yang dilarikan pada 27 April lalu sebelum dibebaskan pada 3 Mei lalu selepas keluarga mangsa membayar wang tebusan bernilai ratusan ribu ringgit.

"Polis bagaimanapun tidak menemui wang tebusan daripada suspek itu ketika tangkapan dibuat pada jam 1.25 petang kelmarin namun siasatan lanjut akan terus dilakukan.


"Kami meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki suspek terakhir yang berada di luar negara," katanya ketika dihubungi, semalam.


Pada 10 Mei lalu, Harian Metro melaporkan enam daripada lapan penculik termasuk seorang wanita berusia antara 19 dan 40 tahun ditahan dan dua lagi dalang kes culik diburu polis.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan