Ahad, 15 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


1,022 unit rumah dibina di SPT

Posted:

1,022 unit rumah dibina di SPT

1,022 unit rumah dibina di SPT


Nor Mohamed


GEORGE TOWN 14 April - Sebanyak 1,022 unit rumah kos rendah dan sederhana akan dibina di Kampung Bagan Serai, Seberang Perai Tengah (SPT) oleh Jawatankuasa Pemandu Seberang Perai (JKPSP), yang akan dimulakan Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Kerajaan Pusat melalui Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) akan memperuntukkan pinjaman RM12.09 juta bagi memulakan projek tersebut.

"Majlis (MPBPP) telah meluluskan pembangunan di atas tanah di kampung berkenaan untuk 1,022 unit rumah kediaman.

"Pembinaan melibatkan 240 unit rumah kos rendah, 704 unit pangsapuri kos sederhana, 78 unit teres dan 11 unit rumah kedai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPBPP di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain pembinaan rumah di SPT, majlis itu juga memberi pinjaman RM2.15 juta untuk membina sebuah hotel bajet lima tingkat 45 bilik dilengkapi sebuah kafetaria dan spa di Mukim 12 Sungai Nibong, dekat sini.

Dalam perkembangan lain, Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, pelancongan merupakan industri penting di Pulau Pinang kerana ia sektor yang menjana pendapatan tinggi kepada negeri itu.

Jelas beliau , setiap tahun jumlah pelancong yang mengunjungi Pulau Pinang meningkat dengan pendapatan tahun lepas sahaja RM13 bilion.

"Bagi tahun 2009, jumlah pelancong ke Pulau Pinang adalah 5.96 juta orang dan ini meningkat kepada 5.99 juta pada 2010.

''Manakala bagi 2011 pula mencapai kepada 6.068 juta orang yang jelas menunjukkan pelancongan kekal sebagai industri yang begitu penting kepada Pulau Pinang," katanya.

Nor Mohamed berkata, pelbagai kaedah telah dirangka bagi menggalakkan lagi penglibatan bumiputera dalam industri penting ini antaranya menerusi cadangan pelaksanaan program promosi pelancongan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Beliau berkata, melalui program itu RM500,000 telah diperuntukkan untuk kemudahan inap desa di negeri itu selain menambah baik infrastruktur dan kemudahan yang sedia ada.

Katanya, sehingga kini negeri itu ada lebih 100 kemudahan inap desa di bahagian pulau dan juga di seberang dengan purata seramai 70 orang pelawat menginap di rumah berkenaan pada setiap bulan. - BERNAMA.

Isu bayaran lesen TOL pelantar ikan selesai

Posted:

Isu bayaran lesen TOL pelantar ikan selesai

Isu bayaran lesen TOL pelantar ikan selesai

IPOH 14 April - Isu kenaikan bayaran lesen menduduki sementara (TOL) sehingga 20 kali ganda yang dikenakan kepada pemilik pelantar ikan di negeri ini akhirnya selesai selepas campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Zambry berkata, sebaik dimaklumkan golongan nelayan mengenai perkara itu minggu lalu, beliau membuat siasatan dan mendapati pejabat-pejabat daerah dan tanah tersilap apabila menyamakan bayaran TOL untuk kategori pelantar ikan dan jeti komersial.

"Saya telah keluarkan surat pada Isnin lepas mengarahkan pejabat-pejabat tanah supaya memperbetulkan pengiraan yang salah dan kembali kepada pengiraan asal dengan segera.

"Saya juga telah memaklumkan pihak-pihak yang terlibat tidak perlu membuat bayaran sehingga pengiraan diperbetulkan dan dimaklumkan kepada mereka," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bungkusan 1Malaysia daripada Persatuan Penganut Tao Loke Yan Fook Ying kepada kira-kira 90 warga emas, di sini hari ini.

Difahamkan, isu tersebut sebelum ini dimainkan di dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina yang mendakwa berlaku kenaikan begitu tinggi untuk kadar bayaran TOL pelantar ikan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan nelayan.

Menurut Zambry, sebelum ini, kadar bayaran TOL dikenakan kepada pemilik pelantar ikan adalah antara RM700 dan RM1,500 setahun tetapi mereka dikehendaki membayar sehingga RM20,000 setahun oleh pejabat-pejabat daerah dan tanah baru-baru ini.

Katanya, kenaikan bayaran TOL yang mendadak itu boleh menjejaskan ribuan nelayan di Pangkor, Pantai Remis, Tanjung Piandang, Bagan Panchor, Hutan Melintang dan Kuala Kurau.

"Penduduk di Pangkor, Pantai Remis, Hutan Melintang, Kuala Kurau dan sebagainya tidak perlu risau dan resah dengan perkara ini kerana saya telah minta pengiraan asal dibuat balik," katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Zambry mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM25,000 kepada Persatuan Penganut Tao Loke Yan Fook Ying bagi melaksanakan aktivitinya.

TUDM, USAF rai 50 anak yatim, bina gelanggang badminton

Posted:

TUDM, USAF rai 50 anak yatim, bina gelanggang badminton

TUDM, USAF rai 50 anak yatim, bina gelanggang badminton

KULIM 14 April - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Program Jiwa Murni menyerahkan sumbangan gelanggang badminton dan meraikan kira-kira 50 orang anak yatim Pertubuhan Pembangunan Anak-Anak Yatim Bekas Perajurit Daerah Kulim, di sini semalam.

TUDM menganjurkan program itu bersama Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) sempena Eksesais Cope Taufan 2012 (CT12) yang berlangsung mulai 31 Mac lalu hingga 16 April ini.

Majlis penyerahan gelanggang berkenaan disempurnakan secara bersama Ketua Staf Operasi 1, Divisyen Udara, Brigadier Jeneral Abdul Mutalib Abdul Wahab; Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigadier Jeneral Mohd. Sabre Hussein.

Turut serta wakil USAF, Naib Komander 13 Air Force, Brigadier Jeneral Patrick C. Malackowski.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataannya berkata, program itu melibatkan gotong-royong seramai 40 anggotanya dan USAF membina gelanggang badminton bagi memenuhi keperluan aktiviti sukan penghuni rumah anak yatim.

"TUDM dan USAF juga menyumbangkan beberapa buah penapis air dan peralatan sukan seperti sepak takraw, badminton dan bola jaring untuk anak-anak yatim tersebut," kata kenyataan itu.

Program Jiwa Murni berkenaan merupakan satu kerja amal yang dirancang khas TUDM dan USAF untuk meningkatkan hubungan antara tentera dengan orang awam.

Sempena majlis tersebut, TUDM turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma dan membawa anak-anak yatim melihat dengan lebih dekat pengendalian dua buah pesawat Nuri yang diterbangkan khas ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badlishah, di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan