Ahad, 29 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Rakyat dipelawa sertai dialog Nasional Pendidikan Negara 2012: Muhyiddin

Posted: 29 Apr 2012 02:38 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 bagi memartabatkan sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sesi dialog, rakyat juga boleh menyalurkan pandangan mereka melalui twitter, facebook dan laman sesawang kajian

semula pendidikan bermula hari ini sehingga pertengahan Julai nanti. "Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk
bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang
melangkah memasuki fasa baru transformasi," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan
Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC), hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed; Ketua Pengarah, Datuk Seri Abd Ghafar
Mahmud dan Pengerusi Panel Penilaian Bebas Kajian Semula Pendidikan, Tan Sri Dr
Dzulkifli Abdul Razak.

Muhyiddin berkata, satu laporan awal disediakan selepas kajian itu dilakukan
dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan mereka sebelum
dokumen Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siri dialog tersebut bukan medan
untuk mengutarakan tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas
yang termaktub dalam perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara.

Jelasnya, siri dialog itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah
termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina/Tamil, mubaligh dan sekolah
agama bantuan kerajaan.

"Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang
akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala
sekolah-sekolah yang lain pula terabai," katanya.

Menurutnya, kerajaan menetapkan sembilan bidang utama kajian semula
pendidikan iaitu: memartabatkan profesion keguruan; meningkatkan kualiti
kepimpinan sekolah; meningkatkan kualiti sekolah yang merupakan elemen penting
dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran; memantapkan
kualiti dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.

Seterusnya, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid;
penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam
pendidikan; meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan
tinggi dan pasaran kerja; memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan
sumber dan membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Katanya, transformasi pendidikan penting bagi melahirkan generasi yang
berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui pendidikan bertaraf dunia.

"Kita mensasarkan dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia bakal meraih
kejayaan seperti Korea, Finland, New Zealand dan Singapura yang berada pada
kedudukan teratas dalam pencapaian pentaksiran di peringkat antarabangsa,"
katanya.

Jelasnya melalui usaha berterusan kerajaan, sektor pendidikan terus
mengalami perubahan sejak penggubalan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib
1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979 serta
Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988.

"Jika kita menoleh ke belakang, pada 1970 hanya 75 peratus rakyat Malaysia
boleh membaca dan menulis. Namun hari ini kadar literasi di negara kita telah
meningkat kepada lebih 90 peratus. Demikian juga halnya dengan taraf
sosio-ekonomi rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli
panel dialog nasional pendidikan negara iaitu Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Mohd
Zahid Wan Mohd Noordin yang juga Pengerusi Universiti Teknologi MARA.

Ahli panel lain termasuk Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Prof Datuk Dr
Shamsul Amri Baharuddin; Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd, Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Tan Sri Sulaiman Mahbob, dua bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharudin dan Dr Zahri Aziz.

Mereka juga termasuk Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam
Sarawak, Dr Zulwali Kifli Merawi; Pensyarah Kuliyyah Pendidikan UIA Malaysia, Prof Datuk Dr Sidek Baba; Pengerusi Kolej Yayasan Sabah, Datuk Kamal D E Quadra;
Timbalan Dekan Sekolah Sains Sosial USM, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian;
Timbalan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu UKM, Prof Dr Teo Kok Seong dan
pengurus besar Policy Initiative Telentcorp Malaysia, Agnes Maria San.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, panel khusus itu akan
mengadakan perjumpaan dengan semua pihak yang berkepentingan dan masyarakat di
seluruh negara untuk mengumpul pandangan sebelum ia dijadikan sebagai pelan
tindakan pada Ogos nanti dan menyiapkan laporan lengkap sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Wanita maut, bayi dan suami cedera dalam kemalangan

Posted: 29 Apr 2012 02:32 AM PDT

Mutakhir

KAMPAR: Seorang wanita terbunuh manakala anaknya yang berusia tiga bulan dan suaminya cedera apabila kereta yang mereka naiki mereka terbabit dalam kemalangan di KM 306.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa yang

terbunuh dikenali sebagai Keng Siew Mei, 35, dari Petaling Jaya. Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Abdul Aziz berkata, anak perempuannya, Tang Lee Yen yang mengalami cedera
parah di kepala dan suaminya yang berusia 30 tahun turut dirawat di hospital yang sama.

Beliau berkata, ia berlaku pada jam 11.30 pagi apabila kereta jenis Toyota Camry yang dipandu suami mangsa dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh penghadang di tepi jalan.

"Kereta tersebut remuk di bahagian hadapan dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang
tersepit," katanya.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Komen