Selasa, 24 April 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Ekuiti Bumiputera meningkat: PM

Posted: 23 Apr 2012 02:22 PM PDT

MukaDepan

Sasaran 30 peratus menjelang 2020 tertakluk kepada iklim ekonomi dalam dan luar negara

KUALA LUMPUR: Pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat kepada 23.09 peratus dengan nilai RM167.7 bilion pada 2010 berbanding 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion pada 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peningkatan ekuiti adalah hasil pelaksanaan program memperkasakan agenda Bumiputera sebagai agenda utama negara yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, dasar itu dapat mengembangkan peranan agensi Amanah Bumiputera dan badan yang layak diiktiraf sebagai Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB). "Ini semua menambah kepada ekuiti Bumiputera dengan peningkatan begitu baik sekali. Kita juga melihat kemampuan syarikat Bumiputera kian bertambah dan mereka menyumbang kepada peningkatan peratusan syarikat Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera yang berlangsung kira-kira dua jam di sini, semalam.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam satu kenyataan menjelaskan pemilikan ekuiti Bumiputera tertinggi mengikut sektor terdiri daripada industri kewangan, insurans dan takaful yang meningkat kepada 37.56 peratus bagi 2009 dan 38.97 peratus pada 2010.

Nilai pemilikan ekuiti Bumiputera dalam industri berkenaan meningkat daripada RM53.35 bilion pada 2009 kepada RM65.37 bilion pada 2010, peningkatan sebanyak 22.5 peratus. Industri perdagangan borong dan runcit adalah industri yang mempunyai bilangan syarikat Bumiputera tertinggi berbanding industri lain.

Mengulas mengenai keyakinan mencapai sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus pada 2020, Najib berkata, ia tertakluk kepada beberapa faktor termasuk suasana dan iklim ekonomi dalam dan luar negara.
"Mengikut analisis kita, jika ekonomi boleh berkembang seperti setahun dua kebelakangan ini dan jika kita dapat meneruskan momentum ini, ada harapan besar... Insya-Allah, matlamat 30 peratus dapat dicapai menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata, peningkatan pemilikan ekuiti pada 2010 adalah berasaskan keseluruhan ekuiti yang berjumlah RM726.4 bilion pada 2010 berbanding RM581.8 bilion pada 2008.

Beliau juga berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera termasuk pemilikan individu, Institusi Kepentingan Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji dan LTAT dan Agensi Amanah (yang diberi mandat oleh kerajaan) seperti PNB, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

Selain itu, beliau berkata, kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan dua syarikat induk di bawah program TeraS, iaitu Ahmad Zaki Resources Bhd dan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn Bhd, bakal membabitkan pemberian kontrak pembekalan bernilai RM500 juta kepada syarikat Bumiputera dalam masa dua tahun.

Di bawah program TeraS, sebanyak 130 syarikat Bumiputera sudah dikenal pasti dan bakal memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat lebih kecil menjadi juara korporat pada masa hadapan.

Ahmad Zaki bakal bekerjasama dengan TERAJU untuk memperkenal program pembangunan rantaian pembekalan dalam industri pembinaan dengan menawarkan kontrak pembekalan.

MITC Ancasa Hotel pula melabur RM100 juta dalam jangka masa tiga tahun untuk merealisasi pelan perkembangan perniagaannya secara agresif yang bakal memberi peluang kepada syarikat Bumiputera lain menerusi pewujudan perniagaan sampingan, termasuk makanan halal, logistik serta persembahan kebudayaan. – BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Saleh FSKSM

23% itu sebenarnya jauh lebih kecil berbanding 77% pegangan ekuiti bukan bumiputra.......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan