Rabu, 18 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Galakkan pelajar hasil produk baru

Posted:

Galakkan pelajar hasil produk baru

Galakkan pelajar hasil produk baru

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


LATT Shariman Abdullah (kiri) sambil diiringi Dr. Mizan Hitam melawat pameran seni pada Program Pameran Tunas Ilham ke-9 di Dewan Taming Sari, UiTM, Lendu, Alor Gajah, baru-baru ini.


ALOR GAJAH 17 April - Kemampuan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka menghasilkan beberapa produk untuk pengkomersialan dilihat memenuhi hasrat kerajaan bagi meningkatkan pendapatan negara.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata, kelebihan pelajar UiTM adalah menerusi hasil pameran grafik, seni halus, fotografi dan seni reka perindustrian.

Menurutnya, hasil penemuan, penerokaan teknologi dan produk yang dicipta bukan semata-mata untuk pameran sebaliknya ia boleh dikomersialkan.

''Jika kita mahu terus mendapat pulangan, keuntungan dan menambah pendapatan diri maka bersainglah di pasaran tempatan dan global," katanya ketika berucap merasmikan program Pameran Tunas Ilham ke-9 di Dewan Taming Sari, UiTM, Lendu, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Rektor, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), Prof. Madya Sabariah Mahat dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Norazam Harun.

Kira-kira 600 warga fakulti Seni Lukis dan Seni Reka menghadiri program tersebut.

Latt Shariman turut memuji usaha Mizan yang berjaya membudayakan pemikiran dan idealisme inovasi di kalangan pelajar UiTM.

''Saya kagum dengan usaha serta kepimpinan Rektor UiTM menerusi anjakan pradigma dan transformasi inovasi daripada kalangan pelajar jurusan Seni Lukis dan Seni Reka," katanya.

Beliau berkata, penerokaan budaya berasaskan ruang dan masa adalah pencetus kepada pembentukan nilai estetika tinggi di samping pengembangan ekspresi kreatif dengan penjelmaan imej-imej dan reka bentuk baru.

"Kita yakin dengan kemampuan pelajar UiTM cawangan Melaka dalam merealisasikan hasrat kepimpinan kerajaan untuk beralih kepada peningkatan pendapatan negara menerusi penciptaan produk untuk dikomersialkan," katanya.

Sementara itu, Mizan berkata, kemampuan pelajar menghasilkan pelbagai produk terkini adalah hasil bantuan daripada kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Universiti As-Sofa penyambung tugas para anbia

Posted:

Universiti As-Sofa penyambung tugas para anbia

Universiti As-Sofa penyambung tugas para anbia


TUANKU Muhriz Tuanku Munawir merasmikan Universiti As-Sofa (UAS) pada majlis pemasyhuran penubuhan universiti itu di Dataran Sentral Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 17 April - Penubuhan Universiti As-Sofa di negeri ini begitu istimewa kerana dilihat sebagai penyambung tugas para anbia khususnya Nabi Muhammad SAW dalam mendidik manusia mengenal penciptanya, mengabdikan diri serta mematuhi suruhannya.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, jika dahulu para anbia menjalankan misi mereka dengan didukung oleh para sahabat, hari ini usaha yang sama dipikul dalam pelbagai bentuk institusi dan organisasi, terutama yang bersifat pendidikan dan dakwah.

''Alhamdulillah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang beta naungi telah banyak mengorak langkah yang bernilai dalam konteks ini," titah Tuanku Muhriz pada majlis pemasyhuran penubuhan Universiti As-Sofa di sini baru-baru ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua putera, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin.

Hadir sama Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Baginda yang juga Canselor universiti berkenaan bertitah lagi, universiti ini telah dirangka dan diasaskan khusus sebagai sebuah 'Universiti Ahli Sunnah wal Jamaah'.

''Penegasan ini penting kerana hakikatnya hari ini, terdapat pelbagai kecenderungan dan aliran yang saling bersaing dalam meneruskan misi pendidikan Islam dan beta yakin, sebagai sebuah universiti yang berteraskan Ahli Sunnah wal Jamaah, institusi ini perlu menghayati beberapa ciri khusus.

''Ia perlu dipimpin dan dipandu oleh para ulama yang benar-benar menepati pewaris para anbia dan memastikan bahawa gagasan Islam yang mahu dibentuk akan menepati acuannya yang sebenar," titah baginda.

Tuanku Muhriz bersyukur kerana Universiti As-Sofa telah pun memperlihatkan beberapa aspek kepada ciri ini dan kehadiran tokoh-tokoh terpilih ulama dunia Islam bersama-sama dalam majlis ini adalah salah satu manifestasinya.

''Beta berasa sukacita dan bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan usaha murni ini yang menambahkan makna kepada diri beta sendiri, selain satu usaha yang sangat bermanfaat kepada negeri ini," titah baginda.

Lepasan Kolej Komuniti disaran bantu pelancongan negeri

Posted:

Lepasan Kolej Komuniti disaran bantu pelancongan negeri

Lepasan Kolej Komuniti disaran bantu pelancongan negeri


MOHD. Ali Rustam bersama sebahagian wakil pelajar menunjukkan replika cek wang saku pada program ramah mesra dan dialog bersama pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang dan Kota Melaka, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 17 April - Pelajar lepasan Kolej Komuniti di negeri ini disaran membantu kerajaan melahirkan idea baru dalam usaha merancak dan mempromosikan industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pelajar dari kolej berkenaan mempunyai kemahiran tertentu dalam pelbagai bidang termasuk yang berkaitan pelancongan.

Menurutnya, golongan pelajar dialu-alukan untuk menyumbangkan idea, cadangan atau pendapat untuk menambah baik sektor pelancongan di negeri ini atau mewujudkan produk baru yang boleh menarik pelancong.

"Pelajar di sini mempunyai ilmu dan kemahiran kerana mereka telah didedahkan dengan selok-belok perniagaan, baik pulih kenderaan dan bot, penyediaan makanan dan pengurusan hotel serta boleh menjadi pemandu pelancongan dengan baik.

"Dengan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar Kolej Komuniti ini, kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan, bantuan serta idea-idea baru dalam memajukan sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ramah mesra dan dialog bersama pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang dan Kota Melaka, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo; Pengarah Kolej Komuniti Kota Melaka, Ramli Yahya dan Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang, Abdul Razak Sabtu.

Dalam majlis itu, Mohd. Ali turut menyampaikan wang saku berjumlah RM250 seorang kepada 500 pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang yang kurang berkemampuan dan pendapatan keluarga RM3,000 ke bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan