Khamis, 19 April 2012

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Legenda dua buah muzium

Posted:

Legenda dua buah muzium

Legenda dua buah muzium

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN dan NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my


Seorang pengunjung melihat artifak aktiviti Parti Komunis Malaya di Muzium Tentera Darat di Port Dickson.


TELOK KEMANG 18 April - Dua buah muzium di daerah ini iaitu Muzium Tentera Darat dan Muzium Lukut di sini terus mencipta nama apabila jumlah pengunjungnya semakin meningkat.

Setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri dengan Muzium Tentera Darat memberi fokus pada bidang ketenteraan manakala Muzium Lukut dengan paparan sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai zaman kegemilangannya bermula daripada pemerintahan Raja Jumaat Raja Jaafar (1847-1864).

Jika menjejakkan kaki ke Muzium Tentera Darat di Port Dickson dekat sini, pastinya penerokaan ke alam keperwiraan dan pahlawan silam membuatkan pengunjung berasa bersemangat mempertahankan tanah air daripada diceroboh musuh.

Muzium Tentera Darat kini menjadi kebanggaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila dikunjungi seramai 558,915 orang dan ia dijangka meningkat kepada 650,000 orang pada akhir tahun ini.

Timbalan Pengarah Muzium Tentera Darat, Leftenan Kolonel Mohamud Mohamad berkata, muzium itu dibina untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan Tentera Darat dalam mempertahankan negara selain memaklumkan rasional penubuhannya.

''Muzium ini telah dikunjungi ramai pelancong asing yang mahu mengetahui sejarah lampau pejuang kemerdekaan, perwira negara dan individu yang memperkasakan pasukan Tentera Darat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Keistimewaan muzium itu adalah ia dibangunkan di dua buah depot lama Tentera Darat dan mempunyai sembilan ruang pameran bermula dari era zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke hari ini.

Paparan bahan sejarah di muzium berkenaan dipecahkan kepada beberapa segmen antaranya Era Kegemilangan Kesultanan Melayu, Era Portugis dan Belanda, Era British di Tanah Melayu sehinggalah kepada Era Tentera Darat hari ini.

Hari ini dengan pelbagai paparan termasuk persembahan audio visual Pepper Ghost bersaiz sebenar, membuatkan pengunjung terpukau. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan bayang-bayang Hang Tuah dan Leftenan Adnan di celah-celah pepohon hutan di satu sudut dalam muzium itu.

Muzium Tentera Darat yang semakin ramai dikunjungi itu pernah mendapat Anugerah Merit Kategori Pelancongan Terbaik (Tarikan warisan) 2005/2006.

Sementara itu seorang pengunjung, Zulkifli Yaacob, 35, berkata, dia sudah empat kali berkunjung ke muzium berkenaan dan setiap kali berada di situ, semangatnya seperti 'telah diperbaharui' dalam aspek mempertahankan kemerdekaan negara.

''Saya tidak pernah bosan untuk berada dalam muzium ini. Banyak maklumat diperoleh dan paling menyentuh ialah kisah lampau perwira negara yang terkorban ketika bertempur dengan komunis," ujarnya.

Bagi Shazlimin Mohamad Noor, 33, dia telah memperoleh jawapan mengenai era kesultanan Melayu Melaka yang dipertontonkan muzium berkenaan.

''Saya tahu ada signifikan untuk kita belajar kisah sejarah lampau dan kesungguhan askar mengawasi keamanan sehinggalah membawa kepada kisah lebih besar ketumbukan pasukan Tentera Darat di negara ini," ujarnya.

Pameran Misteri Sang Buaya dapat sambutan

Posted:

Pameran Misteri Sang Buaya dapat sambutan

Pameran Misteri Sang Buaya dapat sambutan


Replika buaya kerdil (kiri), dua ekor buaya tembaga, buaya Siam (kecil) yang telah diawetkan di Pameran Misteri Sang Buaya di Muzium Lukut.


TELUK KEMANG 18 April - Biarpun kedudukan Muzium Lukut, Port Dickson dekat sini agak terpencil di dalamnya mempunyai banyak kisah yang boleh dibongkar oleh para pengunjung.

Malah bahan pamerannya juga dipelbagaikan dan terkini Pameran Misteri Sang Buaya pula 'mengambil alih' sebahagian dewan pameran itu untuk menarik minat orang ramai.

Pembantu Jabatan Muzium di muzium berkenaan, Razali Hasan berkata, skop pameran kali ini merangkumi sejarah awal kewujudan buaya yang terdapat di negara ini selain kitaran hidup reptilia berkenaan dan sifat semula jadinya.

''Kita mahu mendidik orang ramai terhadap reptilia tersebut selain kaitannya dengan sejarah yang berlaku sehingga membawa kepada legenda seperti kaitan dengan buaya Bujang Senang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pengunjung yang memasuki dewan pameran di Muzium Lukut akan 'disambut' oleh replika gergasi buaya Puchong sepanjang 5.6 meter, yang suatu ketika dahulu menjadi tajuk utama dalam banyak media massa.

''Tentunya orang ramai ingin melihat buaya Puchong yang telah berjaya ditangkap dan kita pamerkan buaya itu pada saiz sebenar," ujarnya.

Menurut Razali, meskipun kewujudannya tidaklah sepopular Bujang Senang yang cukup terkenal ekoran tindakannya membaham manusia di Sarawak, legenda buaya Puchong sering meniti di bibir masyarakat lama.

''Saya menjemput orang ramai untuk melawat Muzium Lukut menyaksikan pameran itu yang telah berlangsung sejak 4 April lalu sehingga 30 Jun ini," katanya.

Tambah Razali, turut dipamerkan adalah aspek perlindungan dan pemuliharaan, konflik antara buaya dan manusia serta keunikannya yang mempengaruhi kehidupan manusia.

Katanya, selain dua legenda buaya - Puchong dan Bujang Senang, turut dipertontonkan kepada umum adalah replika sebenar buaya Kerdil, buaya Tembaga dan buaya Siam yang telah diawet.

Pelan bangun pelancongan Islam

Posted:

Pelan bangun pelancongan Islam

Pelan bangun pelancongan Islam

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

TELOK KEMANG 18 April - Satu pelan pembangunan industri pelancongan Islam strategik sedang dirangka oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) bagi membolehkan ia digunapakai sehingga tahun 2020 bagi mengembangkan industri berkenaan.

Ketua Pengarahnya Abdul Rahman Shaari menjelaskan, bagi melaksanakannya, pihak ITC telah melantik sebuah syarikat perunding bagi membuat kajian mengenainya yang akan mengambil masa enam bulan.

''Berdasarkan kajian itu nanti satu cadangan strategi secara keseluruhannya akan disediakan bukan saja setakat untuk membawa lebih ramai pelancong ke negara ini, malah menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan pelancongan Islam

''Setakat ini pihak kami telah pun menerima laporan pertama hasil kajian itu dan hasil keseluruhan dijangka diterima hujung tahun ini. ITC juga menjangkakan apabila ia dilaksanakan ia akan menjadikan negara ini sebagai pelopor hab pelancongan Islam," katanya kelmarin.

Abdul Rahman berkata demikian selepas menghadiri Seminar Serantau Membangunkan Pelancongan Islam di Klana Beach Resort, Port Dickson yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail.

Jelas beliau, melalui potensi pasaran sebanyak 50 negara Islam yang mempunyai tidak kurang daripada 1.6 bilion penganut agama Islam, peluang adalah sangat besar untuk menarik lebih ramai pelancong Islam ke Malaysia

Mengenai seminar itu, Abdul Rahman berkata, tujuannya adalah untuk mengenal pasti keperluan pelancong yang datang ke negara ini.

''Apa yang kita mahu supaya konsep ini bukan hanya sekadar untuk umat Islam semata-mata, namun ia boleh diperluaskan kepada mereka yang berminat melancong ke negara ini," katanya.

0 ulasan:

Catat Komen