Ahad, 15 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sakit tiga jam dek cincin RM5

Posted: 14 Apr 2012 09:26 AM PDT

SEBERANG JAYA: Seorang ibu terpaksa menahan sakit hampir tiga jam selepas cincin dipakainya gagal dikeluarkan sehingga menyebabkan jari tangan kanannya membengkak di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, A Devika, 22, menahan kesakitan selepas kakitangan hospital turut gagal membantunya sehingga mereka terpaksa minta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Devika berkata, dia memakai cincin itu sejak seminggu lalu sebelum jari telunjuknya membengkak empat hari kemudian.

"Selepas jari membengkak, saya cuba menanggalkan sendiri cincin itu dengan pelbagai cara tetapi gagal," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.


Menurutnya, tidak mampu menanggung kesakitan, dia ke HSJ jam 4 petang kelmarin untuk mendapatkan rawatan, namun kakitangan hospital juga gagal menanggalkan cincin sehingga terpaksa meminta bantuan bomba.


Katanya, cincin berharga RM5 itu dibeli di pasar malam berhampiran rumahnya di Butterworth dan dia tidak menyangka kejadian itu berlaku akibat memakainya.

"Mula-mula pakai cincin ini, saya rasa selesa, jadi saya tidak sangka lama-kelamaan jari saya membengkak," katanya.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Perai, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.15 malam dan tiba beberapa minit kemudian.

"Kita terpaksa menggunakan 'ring cutter' untuk memotong cincin dan jari mangsa juga membengkak," katanya.




Tiga maut tersepit

Posted: 14 Apr 2012 08:48 AM PDT

TAWAU: Kegembiraan tiga sekawan yang baru balik dari pusat bandar bertukar tragedi selepas kenderaan dipandu terbabas ke dalam parit sehingga menyebabkan semua mangsa maut akibat tersepit di Batu 4, Jalan Apas, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, tiga mangsa dikenali sebagai Tan Tee Khong, 24, Wong Lian Churn, 31, dan seorang lagi wanita berusia 20-an yang gagal ditemui identitinya maut di tempat kejadian.


Kenderaan dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabit dipercayai hilang kawalan lalu menyebabkan mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa dari pusat bandar menuju ke arah lapangan terbang dipercayai dipandu laju.


Katanya, ketiga-tiga mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 24 tahun dan dua penumpang termasuk seorang wanita berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya.


"Kenderaan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan, menyebabkan mereka terbabas lalu menjunam ke dalam parit di tepi jalan terbabit.

"Polis masih menjalankan siasatan penuh terhadap insiden ini bagi mengenal pasti sama ada pemandu memandu dalam keadaan mabuk," katanya, semalam.


Menurut Ibrahim, ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan