Khamis, 19 April 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Tujuh kereta terperangkap dalam air

Posted: 18 Apr 2012 02:25 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih satu jam menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air terutama di Segambut Dalam dan Kepong menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kereta terperangkap, semalam.

Kejadian pada jam 5.30 petang itu menyebabkan tujuh kereta terperangkap di Segambut Dalam dibawa keluar dengan menggunakan trak penunda.


Mangsa, Mark Bay, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan tiga anak di tempat kejadian, keadaan jalan sesak sebelum keretanya terperangkap.

Katanya, hanya dalam lima minit kereta Nissan Serena miliknya dinaiki air separas tayar dan enjin mati.


"Keadaan kelam-kabut dan saya membawa keluar isteri bersama tiga anak untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun, tidak sampai lima minit air naik separas stereng.


"Saya hanya melihat kereta tenggelam dalam air dan dibantu orang ramai yang cuba mengeluarkannya sebelum trak penunda tiba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia yang tinggal di Mont Kiara berkata, air mengalir deras menyebabkan orang ramai mengalami kesukaran untuk bergerak ke tempat lebih tinggi, bagaimanapun semuanya terselamat.


Seorang lagi mangsa, Hassan Abdullah, 40, berkata air naik dengan cepat hingga menyebabkan pengguna jalan raya tidak sempat menyelamatkan kereta.

"Kami minta pihak berkenaan mengambil tindakan kerana arah aliran air naik dengan cepat ekoran sungai berdekatan seperti tersumbat," katanya.




Anak setan

Posted: 18 Apr 2012 02:22 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 69 tahun membuat laporan meminta polis menahan anak lelakinya selepas dia gagal mengawal suspek.

Warga emas itu bertindak demikian selepas anak lelakinya berusia 20-an membelasahnya selain memukul wakil penduduk di sebuah flat di Jinjang, di sini, kelmarin hanya kerana mereka menasihatkannya supaya berubah.


Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek dilaporkan mengamuk dengan memecahkan barangan dalam rumahnya sebelum menyerang bapanya dan wakil penduduk yang menasihatkannya.

Menurut sumber, bapa mangsa yang gagal mengawal anak lelakinya itu meminta wakil penduduk di kawasan perumahan berkenaan menasihatkan suspek dengan harapan nasihat itu didengari suspek.


"Bagaimanapun, tindakan si bapa dan wakil penduduk itu menimbulkan kemarahan suspek sebelum lelaki terbabit memaki-hamun mereka.


"Suspek yang gagal mengawal kemarahan menumbuk dan menyepak bapanya," katanya.

Sumber itu berkata, suspek menyerang wakil penduduk berkenaan dengan menampar mangsa beberapa kali sebelum memukulnya.


"Amukan suspek tidak berakhir apabila dia mengamuk di tempat letak kereta kawasan perumahan berkenaan," katanya.

Difahamkan, suspek memecahkan pasu bunga dan papan kenyataan di kawasan perumahan itu.


Katanya, suspek meninggalkan kawasan itu selepas melihat ramai penduduk menyaksikan kejadian itu.


Sehubungan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang meminta polis menahan anaknya itu kerana gagal mengawalnya selain bimbang suspek mencederakan lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan.


Dalam laporannya, mangsa mengesyaki anak lelakinya mungkin terbabit penagihan dadah hingga gagal mengawalnya.


Difahamkan, mangsa dan wakil penduduk berkenaan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah hospital kawasan itu.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.




0 ulasan:

Catat Komen