Jumaat, 20 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pelajar perempuan meninggal dunia di sekolah akibat sesak nafas

Posted: 20 Apr 2012 04:25 AM PDT

JOHOR BAHARU: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia akibat sesak nafas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara 2, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika Nur Farhana Rusli, 16, sedang berada di dalam makmal bagi sesi pembelajaran subjek Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik.

"Guru Nur Farhana, Tam Poh Ngoh dengan dibantu seorang pelajar terus membaringkannya di atas katil sebelum menghubungi ambulans dan bapanya. Anggota paramedik yang tiba kira-kira jam 10 pagi kemudian mengesahkan pelajar berkenaan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zainuddin berkata bapa Nur Farhana yang merupakan seorang pemandu teksi memberitahu anak bongsu daripada lima adik beradik itu tidak pernah menghidap sebarang penyakit sebelum ini.


Beliau berkata pengetua sekolah tersebut, Abdullah Abd Hamid turut mengesahkan Nur Farhana tidak pernah mengalami sebarang penyakit sepanjang bersekolah di situ sejak Tingkatan Satu dan dia merupakan seorang pelajar yang berdisiplin.


"Siasatan awal setakat ini mendapati tiada unsur jenayah berlaku terhadap kematian Nur Farhana. Mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat," katanya. - Bernama




Lelaki maut selepas motosikal terbabas dipercayai diserang penyakit jantung

Posted: 20 Apr 2012 04:23 AM PDT

MELAKA: Seorang kerani sekolah maut selepas motosikal yang dinaikinya terbabas di Jalan Batu Berendam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di sini hari ini, dipercayai kerana serangan penyakit jantung.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Rushidan Mohamad, 42, yang berkhidmat selama tiga tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang di sini, dikatakan dalam perjalanan ke Pejabat Pelajaran, Bukit Baru untuk menghantar dokumen.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mangsa yang berasal dari Paya Rumput Jaya, Sungai Udang dalam perjalanan dari arah Gangsa menuju ke Bandar Melaka.

Beliau berkata mangsa dipercayai mengalami serangan jantung sebelum terbabas di lokasi kejadian dan ditemui mati tanpa sebarang kesan kecederaan di anggota badan dan kepala.


Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan