Jumaat, 27 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Lawatan Najib ke Kelantan Mei ini suntik semangat baru: Mustapa

Posted: 27 Apr 2012 02:56 AM PDT

Mutakhir

MACHANG: Lawatan sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada 4 Mei ini, amat dinantikan oleh rakyat negeri ini kerana ia akan memberi motivasi baru untuk mereka lebih berjaya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata Perdana Menteri dijangka ke Gua Musang di sebelah pagi 4 Mei ini bagi merasmikan Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan, serta bertemu dengan rakyat di jajahan terbabit.

"Bukan sahaja penduduk Gua Musang sedang menunggu kedatangan Perdana Menteri tetapi juga penduduk seluruh negeri Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,500 penerima di kawasan Parlimen Machang, di sini hari ini. Mustapa berkata Perdana Menteri kemudian akan merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong, Kota Baharu iaitu sebuah pusat yang memberi pelbagai kemudahan kepada peladang, penternak, nelayan, peniaga dan orang ramai.

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri sudah tentu akan menyuntik semangat baru kepada lebih 400 usahawan kecil yang berniaga di situ yang kini merekodkan jualan kira-kira RM700,000 sehari.

"Pembukaan RTC ini adalah program penting untuk kita transformasikan kawasan luar bandar. Ia menjadi kebanggaan kepada kerajaan pusat di Kelantan kerana dapat membantu usahawan kecil," katanya. - BERNAMA

Rakyat tidak dapat hidup hanya atas janji kosong pembangkang: PM

Posted: 27 Apr 2012 02:54 AM PDT

Mutakhir

KABONG (Sarawak): Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat tidak dapat hidup dengan harmoni jika terus terpedaya dengan pembangkang yang hanya pandai menabur janji bagi meraih sokongan undi setiap kali menjelang pilihan raya.

Perdana Menteri berkata, pembangkang hanya mampu memperdagangan janji kosong dan selepas mendapat apa yang dihajati, mereka tidak mampu menunaikan janji kepada rakyat.

"Pembangkang mungkin boleh menjanjikan kita bermacam-macam...pada pilihan raya umum 2008, mereka buat banyak janji di Selangor tetapi hari ini kebanyakan janji itu tidak ditunaikan," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadiri oleh 5,000 penduduk dari sekitar Kabong di sini hari ini. Najib berkata, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana pemimpinnya sentiasa memastikan rakyat tidak kira di bandar mahupun luar bandar mendapat nikmat pembangunan secara adil dan saksama.

Katanya, agenda pembangunan yang dibawa kerajaan BN bukan untuk jangka masa yang singkat sahaja tetapi program yang jangka panjang yang berterusan.

"Agenda ini berpanjangan dan diperkenalkan oleh Allahyarham bapa saya (Tun Abdul Razak), namun ia tidak akan dilaksana jika tiada kesinambungan kepimpinan sebagai mana dalam BN hari ini dan kini sampai giliran saya untuk teruskan," katanya.

Prihatin dengan masalah penduduk luar bandar, Najib berkata, kerajaan sudah meletakkan program pembangunan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air bersih sebagai agenda penting dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Katanya, jika rakyat terus memberikan mandat mentadbir negara kepada BN untuk tempoh lima tahun lagi, kerajaan boleh melaksanakan lebih banyak program memakmurkan rakyat dan ia bukan satu janji kosong.

"Kita minta mandat bukan semata mata kita gila kuasa, kita nak tipu rakyat tapi kerana kita ada agenda besar yang perlu diselesaikan," katanya.

Najib berkata, BN perlukan sokongan yang berterusan daripada rakyat Sarawak yang selama ini telah banyak memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan BN.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan projek pembinaan jalan raya dan perparitan bernilai hampir RM26 juta bagi kawasan Parlimen Saratok.

Projek jalan raya itu membabitkan Jalan Ulu Krian/ULu Awik (RM18 juta), Jalan Ulu Kabong/Station DID Sesang (RM5 juta), naik taraf jalan Kampung Melango dan Pagan Saratok (RM2.5 juta), jalan kawasan padi Lubok Nibong (RM950,000) dan projek perparitan di Kabong dan Nyabor berharga RM200,000.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, hampir 700 kilometer jalan baru dibuat di Sarawak di bawah NKRA dan ia membuktikan kerajaan BN tidak hanya bercakap kosong dengan rakyat. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Komen