Rabu, 18 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


UUM jana kemahiran insaniah

Posted:

UUM jana kemahiran insaniah

UUM jana kemahiran insaniah

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my


TUNKU Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) beramah-mesra dengan pelajar UUM di Dewan Mu'adzam Shah, UUM, Sintok, baru-baru ini.


KUBANG PASU 17 April – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memperkasakan program kokurikulum bagi membangunkan bakat dan menyerlahkan lagi kemahiran insaniah dalam kalangan pelajarnya.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya akan memberi penekanan terhadap aspek itu, sama seperti kursus-kursus akademik lain dalam usaha melahirkan graduan yang memenuhi keperluan negara dan bersaing di pasaran kerja.

"Antara ciri-ciri kemahiran insaniah yang dimaksudkan seperti berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi efektif dan kolaborasi serta inovasi dan kreativiti kerja berkumpulan," katanya pada Majlis Perasmian Hari Kokurikulum Edisi Ke-5 2012 di Dewan Mu'adzam Shah, UUM, Sintok di sini, baru-baru ini.

Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim berkenan berangkat hadir merasmikan program berkenaan.

Mohamed Mustafa berkata, ia boleh digerakkan melalui pendekatan kolaborasi, kaedah penyampaian yang berinovasi, khususnya dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta pengenalan kepada kursus-kursus kokurikulum baharu yang relevan dengan perkembangan semasa.

"UUM bukan sahaja ingin melahirkan modal insan yang biasa dan hanya untuk memenuhi keperluan industri, tetapi sebaliknya mempunyai bakat bagi membantu negara menghadapi persaingan dan menyumbang penyelesaian cabaran semasa dan akan datang.

"Usaha bersepadu pada semua peringkat amat penting memandangkan tahap pembelajaran dalam konteks kokurikulum perlu melangkaui bilik kuliah. Para jurulatih kokurikulum diharapkan dapat memaksimumkan potensi setiap mahasiswa semasa mereka berada di kampus," ujarnya.

Beliau berkata, Pusat Kokurikulum juga boleh memulakan inovasi dengan memanfaatkan kedudukan strategik UUM sebagai universiti awam yang pertama memperkenalkan kursus kokurikulum berkredit.

Menurutnya, dengan cara itu, pusat itu akan muncul sebagai pelopor kepada penawaran modul-modul latihan kokurikulum yang terancang dan berstruktur sama ada bertaraf diploma atau sijil kemahiran kepada mahasiswa mahupun pihak-pihak luar yang berminat.

"Diploma atau sijil yang bakal dikeluarkan nanti perlu diberi pengiktirafan agar ia setanding dengan sijil-sijil kemahiran lain di negara kita. Untuk itu, suka saya mencadangkan agar satu usaha kolaborasi pendidikan dapat dirintis antara Pusat Kokurikulum dengan institusi luar bagi tujuan tersebut," katanya.

140 sertai Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas

Posted:

140 sertai Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas

140 sertai Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas


MOHD. Ali Rustam (tengah) merasmikan PAPK 2012 anjuran UPSI dI Hotel Mahkota, Melaka, baru-baru ini.


IPOH 17 April - Seramai 140 peserta menghadiri Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (PAPK) 2012 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Hotel Mahkota, Melaka, baru-baru ini.

Persidangan dua hari bermula 10 hingga 12 April di bawah kendalian Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia itu bertujuan memupuk dan meningkatkan kualiti pendidikan khas di negara ini.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa berkata, menerusi persidangan tersebut, para ilmuwan boleh berbincang berkaitan isu terkini berhubung pendidikan khas dan perkongsian maklumat dalam bidang tersebut.

Katanya, UPSI sendiri menyumbang kepada kecemerlangan dalam bidang pendidikan khas dengan menghasilkan tenaga pengajar yang cemerlang untuk masa hadapan.

"UPSI kini dalam proses mentransformasikan bidang kurikulum sedia ada untuk menjadikannya yang terbaik dalam negara ini iaitu dengan mengintegrasikan model perubatan dalam program pendidikan khas.

"Malah, kita juga bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Daerah Tanjung Malim dalam menyediakan khidmat terapi yang cekap dan berkesan, selain sedang menaik taraf makmal khas simulasi dan integrasi untuk manfaat guru dan kanak-kanak kurang upaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian persidangan itu yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Sementara itu, Mohd. Ali dalam ucapannya berkata, usaha perlu digerakkan semua pihak untuk memastikan transformasi ke arah kecemerlangan pendidikan khas dapat dicapai.

Tambahnya, bagi memastikan hasrat tersebut dapat dilaksanakan, hak kanak-kanak kurang upaya di negara ini tidak boleh diabaikan kerana mereka berhak menikmati semua peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

"UPSI memainkan peranan penting dalam mendidik dan melengkapkan guru pendidikan khas dengan kaedah pengajaran dan teknologi terkini.

"Saya yakin guru-guru pendidikan khas yang dihasilkan oleh UPSI mempunyai keupayaan untuk melakukan perubahan yang signifikan kepada kehidupan kanak-kanak khas pada masa akan datang," ujarnya.

Lepasan Kolej Komuniti jadi rebutan majikan

Posted:

Lepasan Kolej Komuniti jadi rebutan majikan

Lepasan Kolej Komuniti jadi rebutan majikan


NOR Mohamed Yakcop (tengah) menyampaikan diploma kepada seorang siswazah pada Konvokesyen Kesembilan Kolej Komuniti Kepala Batas di Dewan Millenium Kelapa Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.


KEPALA BATAS 17 April - Sebanyak 75 peratus lepasan Kolej Komuniti di seluruh negara berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas tamat penggajian.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Amir Md. Noor berkata, keyakinan yang ditunjukkan oleh majikan disebabkan pendedahan yang diterima oleh para graduan terlibat dalam pelbagai industri.

Sehubungan itu, beliau yakin sekurang-kurang 85 peratus graduan sedia ada mampu mendapat pekerjaan dalam tempoh yang sama pada tahun ini.

"Kami yakin sasaran ini boleh dicapai kerana Kolej Komuniti kini menjalin kerjasama strategik dengan lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Iskandar, Wilayah Pantai Timur, Wilayah Pembangunan Sabah dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvokesyen Kesembilan Kolej Komuniti Kepala Batas di sini, baru-baru ini.

Seramai 1,557 graduan dari Kolej Komuniti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menerima sijil.

Amir memberitahu, pihaknya juga bekerjasama dengan kira-kira 5,000 syarikat bagi melatih pelajar dalam industri tertentu selama tiga bulan sebelum diserapkan sebagai pekerja.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menyempurnakan majlis perasmian menjelaskan, penubuhan Kolej Komuniti yang kini mencecah 78 buah memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang kurang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran dan vokasional.

Beliau berharap Kolej Komuniti akan menjadi salah satu institusi pendidikan ulung dan pilihan utama belia pada masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan