Ahad, 22 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Mutakhir


Mangsa dera Mohd Danish Aiman kini stabil setelah jalani pembedahan

Posted: 22 Apr 2012 01:29 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Kanak-kanak malang yang dipercayai mangsa penderaan teman lelaki ibunya selamat menjalani pembedahan bagi membuang pendarahan pada otak mangsa petang semalam.

Mohd Danish Aiman Abdullah, tiga tahun kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata pihaknya masih giat mengesan suspek berumur 31 tahun yang merupakan teman lelaki ibunya yang berasal dari Kampung Tualang, Manir, di sini.

Pihaknya percaya suspek yang tidak bekerja itu telah menghilangkan diri dan bersembunyi setelah mengetahui pihak polis sedang memburunya.


"Setakat ini kita telah menjalankan siasatan dan turut mengambil keterangan ke atas beberapa orang termasuk ibu mangsa berumur 22 tahun namun belum menemui petunjuk di mana suspek bersembunyi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau turut meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat berkaitan suspek yang bernama Azhar Jusoh, dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Kanak-kanak itu koma setelah dipercayai didera dengan ditampar oleh teman lelaki ibunya dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham di antara ibu mangsa dengan lelaki berkenaan di rumah milik keluarga suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. - BERNAMA




Wanita dakwa dipukul polis semasa ditahan

Posted: 22 Apr 2012 01:24 AM PDT

ALOR SETAR: Seorang wanita mendakwa dipukul sekumpulan anggota polis ketika dalam perjalanan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana premis tempatnya bekerja, rumah urut di Taman Rakyat di sini tidak mempunyai lesen sah perniagaan.

Lay Suet Peng, 42, mendakwa pada 14 April lepas kira-kira pukul 5.30 petang, sembilan anggota polis termasuk seorang wanita telah datang untuk memeriksa tempat kerjanya sebelum menahan Lay kerana mendapati rumah urut itu tidak mempunyai lesen.

Lay yang bekerja sebagai tukang urut kaki di premis itu sejak dua bulan lalu berkata sebagai pekerja dia tidak tahu mengenai status lesen perniagaan kedai itu.

Dia mendakwa telah dipukul dalam keadaan bergari sehingga mengalami kecederaan di bahagian tangan, kepala serta belakang bahu selepas cuba melarikan diri ketika kenderaan polis itu berhenti di lampu isyarat akibat ketakutan kerana ditahan polis.


"Waktu bergelut nak cuba lari, saya tertepis mulut seorang polis dan luka sikit, kemudian mereka gari saya dan pukul saya banyak kali sambil maki saya ketika berada dalam pajero sampai ke balai," kata Lay kepada pemberita di sini hari ini.


Lay mendakwa selepas sampai di IPD Kota Setar dia terus dipukul dan ditahan selama lebih kurang lima jam sebelum dibebaskan dan berikutan itu tangannya kebas dan sukar untuknya bekerja.

"Saya telah dapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan telah buat laporan di IPD Kota Setar pada 19 April lalu," katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan wanita berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kita juga akan siasat laporan berkenaan tingkah laku wanita itu yang bertindak menghalang tugas polis semasa serbuan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Polis serbu sebuah rumah urut tidak berlesen. Semasa wanita itu hendak dibawa ke balai, dia bertindak agresif dan menyebabkan seorang anggota polis lelaki dan anggota polis wanita yang mengandung cedera ringan," katanya. - BERNAMA




0 ulasan:

Catat Komen