Rabu, 25 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tuduhan Nizar terhadap PM keterlaluan, bersifat hasutan: Zambry

Posted: 25 Apr 2012 02:40 AM PDT

Mutakhir

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menyifatkan tuduhan ketua pembangkang negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, kononnya Perdana Menteri mengadakan perjumpaan dengan pemimpin serta pengawai kanan tentera berhubung pilihan raya sebagai melampau, keterlaluan dan bersifat hasutan.

Beliau berkata, Mohammad Nizar dalam ceramah di Taman Desa Pakatan, Pengkalan Isnin lalu, menggambarkan seolah-olah Datuk Seri Najib Razak sudah meminta pemimpin tentera melakukan "sesuatu" sehingga tercetus pertikaman lidah antara mereka.

"Dia (Mohammad Nizar) begitu celupar melemparkan tuduhan, dia tidak kisah mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan, dia tidak fikir implikasinya dan dia menggambarkan satu perkara yang menakutkan. "Ini keterlaluan dan melampau," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO mingguan kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Mohammad Nizar bahawa Najib sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan pegawai kanan angkatan tentera dan meminta mereka melakukan sesuatu jika BN tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ceramah itu, Mohammad Nizar turut mendakwa pemimpin dan pegawai kanan tentera itu enggan berbuat demikian dan akan tetap bersama-sama rakyat jika BN tewas dalam pilihan raya itu.

Sehubungan itu, Zambry meminta Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa menyiasat dan meneliti perkara itu kerana Mohammad Nizar sudah membuat tuduhan yang berat terhadap Perdana Menteri.
"Dia menggambarkan seolah-olah berlaku pertikaman lidah antara Perdana Menteri dengan ketua-ketua dalam angkatan tentera. Ini satu perkara yang serius, kita tidak boleh keluarkan kenyataan seperti ini jika tidak ada faktanya," katanya.

Zambry berkata, Mohammad Nizar tidak berasa bersalah dengan perbuatan seperti itu asalkan beliau dapat memperdayakan masyarakat serta meraih sokongan politik.

"Dia tidak rasa bersalah asalkan dia boleh memperdayakan orang, saya tidak faham watak dia yang sanggup lakukan apa sahaja. Ia serius apabila anda buat tuduhan BN cuba membuat 'kudeta' jika tidak menang, ini kenyataan yang melampau," katanya. - BERNAMA

Manchester City lawan Harimau Malaya 30 Julai

Posted: 25 Apr 2012 02:20 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City Football Club (Manchester City), akan mengadakan kunjungan julung kali ke Malaysia dan dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya pada 30 Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Ketua Pegawai Jenama Komersial Manchester City, Ian Cafferky, berkata pasukan yang menjadi pencabar pilihan Liga Perdana Inggeris itu berjanji akan membariskan pemain utama mereka dan ini adalah peluang untuk peminat pasukan Sky Blues.

"Kami akan membawa setiap pemain yang ada ke Malaysia. Lawatan ini sangat mengujakan pasukan Manchester City FC. "Ini jelas membuktikan terdapat satu keghairahan ketara terhadap Liga Perdana (Inggeris) di Malaysia dan kami sangat teruja untuk membawa pasukan kami menemui peminat di Asia Tenggara dan menyaksikan sendiri keterujaan peminat adalah suatu pengalaman yang menarik," katanya pada sidang media mengenai Jelajah Kelab Bola Sepak EPL oleh ProEvent International di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal; Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad; Ketua Jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pro Events International Sdn Bhd (Pro Events), Julian Kam.

Sementara itu, Rajagobal berkata kehadiran pasukan Sky Blues ke negara ini dan mengadakan perlawanan persahabatan adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kerana Malaysia sekali lagi dipilih oleh satu daripada kelab utama Inggeris sebagai sebahagian daripada latihan persediaan pramusim pasukan.

"Ini adalah peluang skuad negara untuk bermain bersama pasukan bertaraf dunia. Tumpuan kita adalah persiapan Piala AFF Suzuki. Saya nak beri peluang kepada mereka (Harimau Malaya) bermain dengan pemain kegemaran mereka.
"Saya harap skuad negara dapat belajar sesuatu daripada mereka, kita kena fikir secara positif daripada menyatakan perlawanan ini tidak sesuai untuk skuad," katanya.

Beliau berkata, dua perlawanan persahabatan dengan skuad antarabangsa iaitu Arsenal FC dan Manchester City sudah diatur pada bulan Ramadan ini adalah tepat dan perlu dilihat dengan positif.

"Kita cuba fikir, mengapa kelab-kelab ini datang ke Malaysia, kemungkinan dia tahu kemudahan di Malaysia terbaik dan mereka melihat pasukan kita ada peningkatan. Ini penghormatan pada kita.

"Wakil mereka juga memberitahu bahawa Manchester City serius membawa pemain yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan," katanya.

Skuad Harimau Malaya turut dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan menentang satu lagi pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada 24 Julai nanti.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan