Khamis, 26 April 2012

Berita Harian: Nasional

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Nasional


7,632 peserta AZAM Tani akhiri kemiskinan

Posted: 26 Apr 2012 09:07 PM PDT

Nasional

NAJIB sambil diperhatikan Noh dan Zahid memetik  Rockmelon  di tapak tanaman Rockmelon teknologi fertigasi selepas majlis pelancaran NBOS 3  Sepang, semalam.

NAJIB sambil diperhatikan Noh dan Zahid memetik Rockmelon di tapak tanaman Rockmelon teknologi fertigasi selepas majlis pelancaran NBOS 3 Sepang, semalam.

Purata pendapatan cecah RM1,500 sebulan: PM

SEPANG: Seramai 7,632 peserta AZAM Tani, program mengakhiri zaman miskin bagi golongan miskin dan miskin tegar, berjaya keluar daripada kelompok itu sehingga tahun lalu dengan pendapatan purata mereka kini mencecah RM1,500 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua peserta itu kini memperoleh pendapatan lebih baik dan menikmati kehidupan lebih selesa, hasil sumbangan, latihan dan peluang yang disediakan menerusi program 1AZAM. Antara contoh kejayaan program itu yang diberikan Najib ialah bagaimana seorang penanam padi di Melaka, Hamzah Husni Mohamad, berjaya meningkatkan pendapatan sehingga RM12,500 bagi semusim padi hasil bantuan kerajaan berbanding pendapatan sekitar RM120 sebulan sebelum itu.

"Beliau tidak berkemampuan untuk terus menanam padi kerana tiada keperluan asas, tetapi selepas menyertai Program AZAM Tani dan berusaha gigih, kini pendapatannya hampir RM12,500 bagi tempoh empat hingga lima bulan atau semusim.

"Banyak lagi kejayaan peserta AZAM Tani lain yang mengusahakan tanaman cili, cendawan, menternak ikan patin, ayam kampung dan pelbagai sayuran lain, yang hari ini memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan dan sudah keluar daripada miskin tegar dan miskin," katanya pada majlis pelancaran Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS 3) Sepang di Jalan Nilai-Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Projek itu membabitkan tanaman Rockmelon teknologi fertigasi di tapak seluas tiga hektar milik Kementerian Pertahanan, manakala khidmat nasihat kepada 400 peserta AZAM Tani yang terdiri daripada penduduk miskin dan miskin tegar disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Perdana Menteri yakin projek NBOS3 Sepang berupaya mengubah taraf hidup peserta, selain menjadi tarikan pelawat dalam dan luar negara bagi sektor agropelancongan.

Program AZAM Tani yang diperkenalkan pada 2010, adalah satu projek di bawah 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mempertingkatkan hidup rakyat berpendapatan rendah yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

NUBE nafi dilanda krisis dalaman

Posted: 26 Apr 2012 08:46 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) yang mewakili lebih 30,000 kakitangan bukan eksekutif bank, semalam menafikan dakwaan berlaku krisis dalaman membabitkan badan induk itu.

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata NUBE yang ditubuhkan lebih 50 tahun lalu bertanggungjawab menjaga kebajikan ahli di seluruh negara dan terus berbuat demikian.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Kesatuan Pekerja Bukan Eksekutif Maybank Berhad (MAYNEU), Wan Ahmad Nazrul Wan Nawi bahawa 4,000 pekerja bukan eksekutif Maybank Berhad bertindak keluar daripada NUBE selepas hilang kepercayaan terhadap kesatuan sekerja itu. Wan Ahmad Nazrul berkata demikian ketika bersama kira-kira 50 ahli MAYNEU menyertai perhimpunan aman di hadapan ibu pejabat NUBE di Brickfields, Selasa lalu, untuk menyerahkan surat pemberhentian keahlian dan menuntut dana simpanan ahli sebanyak RM3 yang dicarum setiap bulan kepada NUBE.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, Solomon berkata, bilangan individu yang menyertai perhimpunan itu hanya sekitar 30 hingga 50 orang dan bukannya 200 orang seperti didakwa Wan Ahmad Nazrul.

Solomon juga mendakwa Wan Ahmad Nazrul yang mengetuai perhimpunan itu di hadapan Ibu Pejabat NUBE sudah digugurkan keahlian daripada NUBE dan tidak boleh mendakwa mewakili ahli kesatuan berkenaan.

Beliau juga kesal dengan tindakan peserta perhimpunan itu yang disifatkannya agresif ketika dihalang daripada memasuki bangunan NUBE dan pihaknya sudah membuat tiga laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada hari sama.
Rabu lalu, Berita Harian memetik Wan Ahmad Nazrul sebagai berkata, pihaknya berkumpul di hadapan Ibu Pejabat NUBE untuk menyerahkan surat pemberhentian 4,000 ahli dan menuntut dana simpanan ahli sebanyak RM3 yang dicarum setiap bulan.

Mengulas mengenainya, Solomon berkata, NUBE akan memproses semua permohonan untuk pemulangan bayaran caruman keahlian jika dokumen sokongan diserahkan dengan betul selain permohonan mestilah yang asli serta diserahkan oleh ahli sendiri.

0 ulasan:

Catat Komen