Selasa, 17 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Transformasi undang-undang

Posted: 17 Apr 2012 02:27 PM PDT

Nasional

Pengekalan 3 prinsip dalam kajian semula Akta Hasutan beri kesan positif

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengekalkan tiga prinsip dalam kajian semula Akta Hasutan dilihat sebagai proses transformasi undang-undang yang secara langsung memberi kesan positif terhadap sistem sosial dan hak asasi manusia.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata menerusi kajian semula itu, akta yang dulunya mahu dimansuhkan oleh beberapa pihak, termasuk Majlis Peguam berupaya mengurangkan pertelingkahan, konflik, persengketaan dan peperangan.

Langkah itu dilihat dapat mengelak masa terbuang akibat pertikaman lidah dan perbalahan antara masyarakat, sekali gus menjadi penghalang kepada usaha mencapai misi nasional.

Sehubungan itu, katanya langkah itu dilihat dapat mengelak masa terbuang akibat pertikaman lidah dan perbalahan antara masyarakat, sekali gus menjadi penghalang kepada usaha mencapai misi nasional.

Beliau berkata, Akta Hasutan adalah akta yang baik tetapi belum lengkap, malah ada pihak mendakwa akta itu adalah undang-undang lapuk dan mempunyai elemen penjajahan dan pelanggaran hak asasi manusia.

"Kajian semula ini akan memberi peluang kepada semua pihak termasuk pembangkang untuk duduk berbincang bagi menambah baik akta berkenaan," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan Akta Hasutan yang akan dikaji kerajaan secara menyeluruh akan mengekalkan tiga prinsip dalam akta itu termasuk menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja.
Dua prinsip lain ialah menangani perbuatan atau perlakuan yang akan mengembangkan perasaan niat jahat yang menimbulkan permusuhan antara kaum atau penduduk berlainan dan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif ditetapkan atau dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Majlis Peguam menyambut baik langkah kerajaan mengkaji semula akta berkenaan dengan melakukan beberapa pindaan selepas mendengar pandangan daripada semua pihak berkepentingan.

Presidennya, Lim Chee Wee, berkata pihaknya menggesa kerajaan untuk menunjukkan komitmen kepada kedaulatan undang-undang dan proses demokrasi dengan menggalakkan perbincangan terbuka mengenai isu yang menjadi kebimbangan kepada orang ramai di Malaysia.

Katanya, kebebasan bersuara adalah satu ciri yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana demokrasi dan mesti dilindungi jika Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara demokrasi.

SPR jangka saingan PRU-13 lebih mencabar

Posted: 17 Apr 2012 02:18 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dijangka lebih mencabar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguruskannya kerana pertembungan parti yang bertanding dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya umum sebelumnya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata untuk itu, SPR akan memastikan semua pegawai dan petugasnya memahami serta menguatkuasakan peraturan pilihan raya dengan sempurna bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku pada pilihan raya berkenaan.

"Kita mohon kepada semua parti memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPR. Kita tidak boleh melakukannya sendirian. SPR juga sudah menyediakan kemudahan daripada segi logistik, peralatan dan fasiliti mengundi. Bila dewan (Parlimen) bubar kita telah bersedia," katanya kepada BERNAMA dan RTM di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, semalam.

Kita mohon kepada semua parti memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPR. Kita tidak boleh melakukannya sendirian. SPR juga sudah menyediakan kemudahan daripada segi logistik dan peralatan mengundi. - Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR

Beliau sebelum itu menghadiri sesi temu bual khas lebih sejam bersama radio Klasik Nasional FM bagi membincangkan hal berkenaan SPR dan PRU.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pengundi yang berstatus meragukan dalam daftar pemilih masih boleh mengundi pada PRU-13 sekiranya mereka benar-benar layak.

"Bila mereka datang ke pusat mengundi nanti kita akan bersedia untuk melakukan semakan secara menyeluruh terhadap mereka sebelum kita benarkan mereka mengundi.

"SPR tidak akan menghakis hak mereka sebagai pengundi hanya kerana masalah seperti ini. Namun jadi tanggungjawab pengundi menyemak status mereka di laman web SPR, melalui telefon atau pelbagai cara lagi, bagi menyelesaikan masalah ini lebih awal," katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah pengundi yang meragukan itu, kira-kira 22,000 orang gagal mengambil kad pengenalan yang telah disiapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh melebihi 20 tahun menyebabkan mereka diletakkan dalam status meragukan.

Semalam, Abdul Aziz berkata, hanya 0.3 peratus daripada 12.6 juta pemilih diklasifikasikan sebagai pengundi yang meragukan setelah rekod mereka didapati meragukan oleh JPN.

Berkenaan 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang akan dibincangkan pada mesyuarat anggota panel SPR, hari ini, Abdul Aziz berkata cadangan itu amat baik dalam memastikan PRU di negara ini berjalan dengan baik.

"Cadangan itu ada yang sesuai dilaksanakan bagi tempoh jangka pendek, ada bagi tempoh jangka pertengahan dan ada bagi tempoh jangka panjang. Kita akan teliti cadangan ini sedalamnya," katanya.

Pada 3 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan semua 22 syor yang dikemukakan jawatankuasa itu tanpa dibahaskan. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan