Rabu, 18 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Longgok tanah lolos diri

Posted: 17 Apr 2012 03:15 PM PDT

IPOH: Seorang pemandu lori hantu nekad merempuh kenderaan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebelum membuang muatan tanah ke atas jalan raya bagi meloloskan diri dalam kejadian berhampiran Taman Gemilang, di sini, pagi semalam.

Tindakan suspek berusia 20-an membuang muatan tanah merah seberat tiga tan itu menyebabkan laluan Jalan Kuala Kangsar menuju ke Sungai Siput di sini, sesak teruk.


Ketua Unit Operasi JPJ Negeri, Hashim Md Ali berkata, kejadian berlaku ketika pihaknya menjalankan operasi pemeriksaan kenderaan awam melalui Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran Jelapang, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, suspek enggan memberi kerjasama memberhentikan lori berkenaan untuk pemeriksaan selepas diarah sepasukan 20 anggota JPJ Perak.


"Tindakan suspek itu memaksa kami mengekori lori berkenaan sejauh lebih empat kilometer sehingga ke jalan Kuala Kangsar.


"Anggota JPJ yang menaiki kenderaan pacuan empat roda cuba memintas dan menghalang lori itu daripada terus melarikan diri. Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan bertindak agresif melanggar sisi kanan belakang kenderaan pacuan empat roda model Toyota Fortuner milik JPJ," katanya. Menurutnya, suspek memberhentikan lori tidak jauh dari lokasi pelanggaran sebelum sengaja menuangkan semua muatan tanah dibawa ke atas jalan raya.

"Tindakan luar biasa suspek menyebabkan laluan dan mencetuskan kesesakan hampir satu kilometer," katanya.


Menurutnya, pemandu itu kemudian melarikan diri ke kawasan kampung berhampiran dengan meninggalkan lori di lokasi kejadian mengelak daripada ditangkap. "Pihak JPJ percaya, suspek lelaki itu tiada lesen memandu dan lori dipandu dipercayai mempunyai cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharudddin Wan Omar yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu jam 9.30 pagi semalam.




‘Kau kahwin atau nak mati?’

Posted: 17 Apr 2012 01:50 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kahwin atau dibunuh itu kata dua diberikan seorang bapa kepada anak perempuannya yang dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihannya ketika berbincang di rumah mereka di Kepong Baru, dekat sini Ahad lalu.

Malah, lebih kejam wanita berusia 27 tahun terbabit turut dipukul sebelum dihalau keluar selepas mangsa tidak bersetuju dengan rancangan bapanya berusia 50-an yang ingin menjodohkan dengan lelaki tidak dikenalinya.


Akibatnya, mangsa menumpang di rumah rakannya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

Mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Jinjang.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang pulang ke rumah jam 9 malam dipanggil ibu bapanya ke ruang tamu untuk berbincang sesuatu.


"Mangsa pada mulanya menolak secara baik permintaan keluarganya itu tambahan dia tidak mengenali bakal suami. Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila si bapa memarahinya," katanya.

Sumber berkata, terkejut dengan sikap bapanya itu, mangsa memberitahu dia tidak bersedia untuk berkahwin tambahan belum mengenali hati budi bakal suaminya.


"Geram anaknya enggan bersetuju dengan rancangan perkahwinan itu, lelaki terbabit yang gagal mengawal kemarahan menampar pipi mangsa beberapa kali.

"Malah, bagaikan dirasuk, anaknya dipukul menyebabkan mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan," katanya.


Menurutnya, mujur ibu mangsa membantu dan meminta suami bersabar dan memujuk anaknya supaya bersetuju dengan perkahwinan terbabit.


"Si bapa yang masih marah memberi kata dua kepada mangsa sama ada dia bersetuju untuk berkahwin atau dibunuh.


"Namun, mangsa berdegil dan memberitahu dia enggan berkahwin menyebabkan bapanya menghalaunya dari rumah," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan