Khamis, 12 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Nahas kemalangan maut meningkat

Posted:

Nahas kemalangan maut meningkat

Nahas kemalangan maut meningkat

ARAU 11 April - Sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar antara penyumbang utama kemalangan maut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, lebih menyedihkan ialah apabila remaja bermotosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar itu pula masih pelajar sekolah menengah dan rendah.

Ekoran sikap sambil lewa segelintir ibu bapa itu pula, titah baginda, ramai pelajar terlibat dalam kemalangan jalan raya yang berakhir dengan nahas maut dan cedera parah.

"Remaja mesti bebas daripada budaya menunggang motosikal tanpa lesen. Gejala ini sebenarnya sudah menjadi amalan biasa, terutama melibatkan pelajar sendiri.

"Perbuatan ini dilakukan kerana menganggap tidak salah dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada sesiapa, termasuk diri mereka sendiri," titah baginda.

Baginda mengutarakan perkara itu sewaktu bertitah merasmikan Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Syed Ahmad, Tambun Tulang di sini, kelmarin.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Ahli Dewan Negara, Senator Khalid Ahmad dan Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa hadir sama.

Sehubungan itu, Raja Muda Perlis mengajak remaja, terutama pelajar bertindak bijak iaitu tidak lagi menunggang tanpa lesen kerana ia memberikan kesan negatif.

Pada masa yang sama, baginda juga berharap ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan dan pergaulan anak-anak supaya tidak terlibat dengan sebarang gejala buruk.

Pihak sekolah pula, titah baginda, perlu menggandakan keberkesanan sistem penyampaian pendidikan secara formal dan tidak formal sambil meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pematuhan undang-undang.

Terdahulu, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berkenan melancarkan Pangkalan Titian Kasih iatu pelantar jeti yang digunakan oleh pelajar untuk sukan kayak serta Taman Teknologi Hijau Fertigasi dan Hidroponik SMK Syed Ahmad.

Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia, 14 April

Posted:

Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia, 14 April

Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia, 14 April

KANGAR 11 April - Kira-kira 3,000 masyarakat Siam di negeri ini dijangka akan memeriahkan Program Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia bersama Masyarakat Siam di pekarangan Kolej Kejururawatan Masyarakat, Jalan Behor Pulai di sini pada 14 April ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, Mohd. Rizal Ismail berkata, program ini dianjurkan oleh JKKN negeri, Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Siam Perlis.

"Sebelum majlis pelancaran, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dan juga Pengerusi Persatuan Siam Perlis, Datuk Siw Chun akan melawat tiga kampung di Kampung Padang Petani untuk memberikan sumbangan kepada penduduk yang telah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, sumbangan berupa barang keperluan harian seperti beras, sardin, minyak masak akan diberikan kepada sembilan penduduk yang mewakili setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Siam, tiga Melayu dan masing-masing seorang dari kaum India dan Cina.

Jelasnya, pada majlis pelancaran pula akan diadakan upacara gimik semburan air sebagai meraikan Pesta Songkran.

Mohd. Rizal berkata, di antara acara menarik di dalam program itu pada sebelah pagi ialah demonstrasi memasak tomyam dan somtam.

"Juga diadakan pertandingan permainan tradisional seperti karom, tuju tin, dam aji, batu tujuh, congkak dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak," katanya.

Tambahnya, selain itu juga diadakan persembahan kebudayaan oleh artis budaya tari JKKN dengan persembahan Selamat Datang yang merupakan tarian Siam, persembahan artis popular tempatan kaum Siam, Emom Esoong dan Nukphanida Pit, persembahan gendang dan tarian menora masyarakat Siam.

Pemuda BN bantu mangsa ribut

Posted:

Pemuda BN bantu mangsa ribut

Pemuda BN bantu mangsa ribut

BAGAN SERAI 11 April - Nasib 17 keluarga di tujuh buah kampung di Parlimen Bagan Serai yang rumah mereka rosak akibat kejadian ribut, Ahad lalu, mendapat perhatian Pemuda Barisan Nasional (BN) kawasan berkenaan.

Berikutan itu dengan diketuai Pengerusinya, Sharudin Ahmad, Pemuda BN menyampaikan sumbangan kepada keluarga terlibat.

"Selain sumbangan berbentuk wang tunai serta barangan dapur, kita juga membantu memperbaiki rumah penduduk yang rosak," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa di sini, semalam.

Beliau berkata, Pemuda BN juga membantu mangsa mendapat bantuan daripada agensi kerajaan yang berkaitan.

"Kejadian itu telah menyebabkan rumah penduduk rosak teruk, justeru kita berhasrat mengurangkan beban mereka dengan turun memberi bantuan," katanya.

Dalam kejadian itu, tujuh kampung yang terlibat ialah Kampung Parit Air Hitam, Parit Mentara Tiga, Parit Haji Ali , Parit Lebai kadir, Parit Haji Ismail Satu dan Dua, Tebuk Panchur dan Sungai Semambu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan