Khamis, 12 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Jadi warga yang perkasa, dinamik

Posted:

Jadi warga yang perkasa, dinamik

Jadi warga yang perkasa, dinamik


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengucup al-Quran pada Istiadat Pertabalan Yang di- Pertuan Agong XIV di Istana Negara, semalam.


KUALA LUMPUR 11 April – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, rakyat Malaysia perlu menjadi warga yang perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya," titah Seri Paduka pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Istana Negara hari ini.

Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baharu di Jalan Duta di sini.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 semasa berusia 42 tahun dan empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84 tahun.

Seri Paduka bertitah: "Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya."

Titah Seri Paduka, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan rakyat.

"Maka jadilah insan yang mulia sebagaimana yang dituntut oleh agama, iaitu insan yang berilmu dan berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat negara bukan sahaja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.

"Persaingan global yang perlu dihadapi hari ini begitu kompetitif dan serba mencabar. Justeru, setiap dari rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan negara terus maju, aman dan harmoni.

"Perkukuhkan diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air. Sesungguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama. Untuk itu, masa depan negara kita haruslah dicorak dan diadun oleh kita semua," titah Seri Paduka.

"Kemajuan dari segi kebendaan sahaja belum cukup untuk menjadikan kita satu bangsa yang kuat. Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri-ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.

"Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa akan mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara. Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjaga tatasusila dan ciri-ciri hidup ketimuran yang telah diamalkan selama ini," titah Seri Paduka.

Menyentuh mengenai kepimpinan negara dan pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, Seri Paduka bertitah: " Sesungguhnya juga, setelah lebih empat dekad berlalu seperti yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan Beta pada kali dahulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

"Pertamanya semasa zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pula pada kala tampuk kerajaan di bawah pimpinan anakandanya, yakni Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah rakyat negara ini perlu bersyukur kerana negara sejak dahulu sehingga hari ini mengecap nikmat kemakmuran disebabkan adanya kesinambungan pimpinan kerajaan yang berhemah, cekap lagi berwawasan.

"Begitulah juga kita bertuah kerana rakyat daripada pelbagai latar belakang kehidupan, bangsa dan agama, dapat kekal hidup rukun damai," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim juga bersyukur kerana dapat menyaksikan kemajuan negara ini dan menyedarkan Seri Paduka betapa bertuahnya Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

Seri Paduka bertitah kesejahteraan hidup yang dinikmati ini "bukanlah datang secara bergolek. Ia pastinya telah direncana, disusun dan dilaksanakan oleh kerajaan dengan usaha begitu gigih daripada kepimpinan lalu kepada kepimpinan semasa."

Tuanku Abdul Halim bertitah falsafah utama kerajaan yang berlandaskan gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" amat sesuai pada saat yang mencabar ini kerana untuk mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak.

"Paling utama harus ada kesefahaman di setiap lapisan dan kelompok (masyarakat)," titah Seri Paduka. – BERNAMA

Pemimpin, rakyat bangga Tuanku Abdul Halim ditabal

Posted:

Pemimpin, rakyat bangga Tuanku Abdul Halim ditabal

Pemimpin, rakyat bangga Tuanku Abdul Halim ditabal

ALOR SETAR 11 April - Pemimpin dan rakyat negeri ini berbangga dengan pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV apatah lagi Seri Paduka mencatat sejarah ditabalkan buat kali kedua dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di negara ini.

Mereka turut berasa amat bertuah kerana mempunyai Seri Paduka sebagai pemerintah negara ini yang dilihat bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemakmuran Kedah ke tahap lebih tinggi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, rakyat Kedah pasti paling berbangga apabila Sultan Kedah yang sentiasa mengambil berat terhadap hal ehwal pentadbiran dan kebajikan rakyat jelata ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada istiadat hari ini.

Beliau yakin Malaysia akan terus makmur dan maju di bawah naungan Tuanku Abdul Halim yang berpengalaman menjadi Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 selain sebagai ketua pemerintah di Kedah selama lebih 50 tahun.

"Segenap lapisan rakyat khususnya di Kedah dan Malaysia amnya semestinya meraikan pertabalan ini dengan rasa bangga dan syukur," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, Tuanku Abdul Halim pasti dapat menjalankan tugas sebagai Ketua Negara dengan baik dan mampu menjadi inspirasi rakyat menerusi perwatakan baginda yang berhemah tinggi, bersopan santun serta mempunyai nilai-nilai pekerti tinggi.

"Minat mendalam Tuanku Abdul Halim terhadap bidang sukan juga diyakini akan menjadi penggerak kepada pembangunan sukan negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Bendahari Kehormat Majlis Belia Kedah, Shaharol Niza Omar berkata, Tuanku Abdul Halim menjadi inspirasi kepada golongan belia menerusi corak kepimpinan mantap dan penglibatan aktif baginda dalam sukan.

Katanya, golongan berkenaan juga seharusnya menghargai sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di negara yang begitu unik dengan pertabalan Seri Paduka sebagai ketua pemerintah kepada semua lapisan kaum.

"Sistem ini mesti dipertahankan dengan apa cara sekali pun daripada diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

Seorang guru, Zul Ahmad Tarmizi Hussain, 40, pula menyifatkan rakyat amat bertuah apabila dapat menyaksikan Tuanku Abdul Halim ditabalkan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Seri Paduka seorang Sultan berjiwa rakyat. Baginda pasti menjadi ketua pemerintah negara yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat," katanya.

Rakyat Sarawak turut gembira

Posted:

Rakyat Sarawak turut gembira

Rakyat Sarawak turut gembira

Oleh ZAAIN ZIN
utusansarawak@utusan.com.my


JACKSON Joseph (tengah) bersama rakan-rakannya membaca sisipan Utusan Malaysia mengenai kisah hidup Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Kampung Budaya Sarawak, Kuching, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 11 April - Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara hari ini turut membawa kegembiraan kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Buktinya, hari bersejarah tersebut menjadi tajuk perbualan utama orang ramai di bandar raya ini meskipun kebanyakan program yang disusun untuk meraikannya berlangsung di Semenanjung.

Bagi Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak (SCV), Jane Lian Labang, pertabalan itu mengimbau semula kenangan manis yang terpahat dalam memorinya ketika Tuanku Abdul Halim mula-mula datang ke Sarawak sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima sekitar 1973.

Jane, 49, pada masa itu berusia 10 tahun merupakan antara kanak-kanak yang berbaris di sepanjang jalan raya sambil mengibarkan bendera menyambut kedatangan Yang di-Pertuan Agong.

"Ketika itu, saya sangat gembira dan cukup bersemangat untuk melihat baginda biarpun hanya dari jauh, lagipun kami semua tidak pernah menyertai acara sebesar itu.

"Tidak sangka tuanku ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua. Tahniah kepada tuanku dan saya berharap negara akan terus makmur di bawah pemerintahan tuanku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan SCV, Santubong dekat sini hari ini.

Tuai Rumah masyarakat Iban di SCV, Jackson Joseph, 34, pula berkongsi rasa bangga kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan melalui sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong yang unik.

"Kedaulatan raja-raja perlu dipertahankan sampai bila-bila memandangkan ia bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk semua rakyat kerana tuanku adalah tonggak utama pemerintahan negara kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan