Khamis, 12 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lari separuh bogel rumah diserbu

Posted: 11 Apr 2012 11:15 AM PDT

KAJANG: Ada yang melarikan diri dalam keadaan separuh bogel, ada pula bersembunyi di dalam almari pakaian sebaik menyedari rumah sewa mereka diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu 6P di Kg Abu Bakar Baginda, Bangi, awal pagi semalam.

Difahamkan, sebahagian warga asing yang tinggal di perkampungan terbabit turut melarikan diri dan cuba berlindung di dalam semak berhampiran kerana bimbang dicekup.


Usaha seorang remaja berusia 20 tahun menyorok di dalam almari pakaian di dalam sebuah bilik gagal apabila dia akhirnya ditemui dan dicekup pegawai penguat kuasa sebaik kawasan perkampungan itu digempur kira-kira jam 2 pagi.

Selain tidak mempunyai dokumen yang sah, pendatang asing tanpa izin terbabit dikatakan tidak menjalani proses pemutihan seperti diarahkan dan hanya berdaftar untuk memiliki slip berkenaan.


Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya, Marie Ajeng, pihaknya sudah menjalankan intipan sejak dua minggu lalu sebaik menerima maklumat daripada orang awam.


"Lebih 800 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dan daripada jumlah itu, 126 ditahan. Bagaimanapun, hanya 83 orang saja yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Operasi ini dilakukan bagi memeriksa dan menahan warga asing yang tidak menjalani proses pemutihan yang berakhir 10 Mac lalu. Mereka berdaftar dan memiliki slip sementara tetapi tidak menjalani proses pulang ke negara asal," katanya.


Beliau berkata, mereka yang menjalani proses pemutihan itu akan memiliki slip pendaftaran yang mempunyai nombor siri sekali gus mengesahkan kemasukan mereka adalah sah.

Operasi yang tamat kira-kira empat jam kemudian disertai kira-kira 140 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Rela.




Libas belakang, tekap seterika

Posted: 11 Apr 2012 11:13 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 28 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia bukan saja dilibas dengan tali pinggang oleh kekasihnya, malah belakangnya turut ditekap dengan seterika panas dalam kejadian di Jalan Pantai Murni, di sini, kelmarin.

Lebih kejam, dalam kejadian antara jam 3 hingga 5 petang itu, mangsa yang menggelupur kesakitan di ruang tamu rumah kemudian disimbah pula dengan air panas oleh lelaki berusia lewat 20-an itu.


Kekejaman teman lelaki mangsa dikatakan berlaku ketika mereka bertengkar dengan teman lelakinya itu bagi menebus semula barang kemas miliknya yang digadaikan.

"Mangsa mendesak teman lelakinya supaya menebus semula barang kemas miliknya itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.


"Lelaki itu yang hilang pertimbangan bertindak memukul mangsa," katanya.


Sumber berkata, lelaki terbabit yang bagaikan dirasuk kemudian melibas mangsa menggunakan tali pinggang.

"Mungkin tidak berpuas hati, lelaki itu kemudian menekap pula seterika panas ke atas belakang mangsa. Akibatnya mangsa menggelupur kesakitan di ruang tamu rumah.


"Sebaik mangsa menggelupur, lelaki terbabit bertindak lebih kejam dengan menyimbah pula air panas ke atas badan mangsa," katanya.

Katanya, melihat teman wanita menggelupur kesakitan, lelaki itu terus meninggalkan rumah.


Mangsa kemudian menghubungi rakannya sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.


Difahamkan, sebaik laporan dibuat, pihak berkuasa berusaha mengesan suspek, namun gagal. Bagaimanapun, pihak berkuasa percaya suspek akan ditahan dalam masa terdekat.


Wanita terbabit yang mengalami kesan lecur teruk di seluruh tubuh terutamanya belakang badan kini masih dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan