Rabu, 11 April 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Jom Terokai Perak dilancar

Posted:

Jom Terokai Perak dilancar

Jom Terokai Perak dilancar

Oleh ADLINAHANI KHALIL
pengarang@utusan.com.my


ZAMBRY Abdul Kadir meletakkan Labu Sayong sebagai simbolik perasmian Jom Terokai Perak sambil diperhatikan oleh Johan Jaaffar (kiri) pada Majlis Pelancaran Jom Terokai Perak di Sri Pentas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 10 April - Negeri Perak sememangnya terkenal dengan pelbagai makanan lazat seperti kuih pau serta pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi bersama keluarga.

Namun, masih ramai yang belum mengetahui secara mendalam keistimewaan Perak yang sebelum ini lebih dikenali sebagai negeri Bumi Bertuah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersama Tourism Perak bakal menjayakan program pelancongan berjudul Jom Terokai Perak sempena menyambut Tahun Melawat Perak 2012.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, menerusi program tersebut, masyarakat Malaysia akan didedahkan dengan pelbagai maklumat menarik mengenai Perak dan tempat-tempat pelancongan yang menarik.

"Terdapat 10 ikon pelancongan yang terkenal di Perak, antaranya termasuklah Taman Negeri Royal Belum, Hutan Paya Bakau Matang, Gua Tempurung, Pulau Pangkor dan Taman Hutan Batu Kapur di Ipoh.

"Program ini juga bertujuan untuk menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat Perak dan menjadikannya sebagai satu daripada destinasi percutian keluarga," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Jom Terokai Perak di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya dekat sini, hari ini

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Perak, Datuk Hamidah Osman; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen, Media Prima Bhd., Ahmad Izham Omar.

Jom Terokai Perak sebanyak 13 episod akan disiarkan menerusi TV3 pada setiap hari Khamis bermula 12 April ini jam 5.30 petang.

'Art Burger' turun padang dekati rakyat salur bantuan di DUN Penanti

Posted:

'Art Burger' turun padang dekati rakyat salur bantuan di DUN Penanti

'Art Burger' turun padang dekati rakyat salur bantuan di DUN Penanti


IBRAHIM Ahmad mengangkat Mohd. Erwan Zakaria yang spastik selepas menyampaikan bantuan kewangan, kerusi roda dan tandas mudah alih di Sungai Semambu, Bukit Mertajam, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 10 April - Dikenali sebagai 'Art Burger', nama Ibrahim Ahmad sering menjadi sebutan di sekitar Penanti, malah dengan jawatannya sebagai Penyelaras Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu lebih mendekatkan dirinya dengan masyarakat setempat.

Bagi Ibrahim, sebaik dilantik sebagai penyelaras DUN sejak Mac tahun lalu, beliau segera menyusun strategi untuk mendekatkan diri dengan masyarakat serta turun padang bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, berada di DUN yang diperintah oleh pembangkang malah dipimpin oleh Timbalan Ketua Menteri II merupakan satu cabaran yang perlu ditangani dengan baik dan secara bijak.

"Namun, kelebihan sebagai anak tempatan serta dikenali oleh penduduk setempat memudahkan saya menyusun gerak kerja bagi membantu mereka yang memerlukan serta tidak dibatasi oleh kaum atau agama.

"Bagi saya setiap program turun padang yang dibuat akan dijalankan secara adil sama ada kepada orang Melayu, Cina, India dan sebahagian kecil masyarakat Siam di sekitar Penanti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, fokus utama beliau adalah program-program mesra rakyat serta sentuhan kasih kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan pesakit kronik yang memerlukan bantuan segera.

Jelasnya, tanpa mengira fahaman politik, beliau akan hadir menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan sama ada dari segi kewangan, peralatan harian ataupun kelengkapan persekolahan seperti buku, beg dan kasut.

Tambahnya, sudah tentu bantuan yang diberi tidak seberapa nilainya, namun beliau sedaya upaya membantu meringankan beban mereka yang memerlukan terutama pesakit kronik dan warga emas.

"Setakat ini segala program yang saya jalankan mendapat kerjasama baik daripada masyarakat kerana bagi mereka inilah yang diperlukan daripada seorang pemimpin biarpun bukan wakil rakyat mereka.

"Ini kerana saya dimaklumkan mereka tidak mendapat layanan sebegini daripada wakil rakyat kawasan ini yang mungkin sibuk dengan tugasannya sebagai pemimpin kerajaan negeri serta tugas-tugas parti," ujarnya.

Ditanya tentang pembangunan di kawasannya, Ibrahim berkata, kerajaan BN telah banyak menjalankan projek-projek pembangunan seperti tebatan banjir, bekalan air bersih, jalan perhubungan desa, pembinaan rumah baru atau baik pulih, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi.

Menurut Ibrahim, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM170 juta yang memberi kesan besar kepada penduduk di beberapa kampung yang sering dilanda banjir serta menjana pendapatan nelayan sungai di kawasan itu yang siap pada 2009.

Selain itu, katanya, sebanyak 167 buah rumah mendapat bekalan air bersih melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bernilai RM1.2 juta pada tahun lalu dan awal tahun ini dalam projek bekalan air luar bandar.

"Kementerian juga turut membaiki serta menurap jalan sepanjang 10 kilometer di tujuh buah kampung di sekitar Penanti dengan kos RM600,000.

"Sebanyak 14 baharu juga dibina oleh beberapa agensi kerajaan dengan kos bernilai RM462,000 selain 37 lagi dibaik pulih dengan kos RM176,000," katanya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Tambahnya, tidak dilupakan juga peruntukan untuk belia dan beliawanis seperti Liga Bola Sepak DUN Penanti, selain pertandingan boling dan 'paint ball' yang menarik penyertaan ratusan peserta.

Bagi Ibrahim, biarpun Penanti dikaitkan sebagai kubu Mansor, namun baginya, tiada masa untuk memikirkan hal itu kerana beliau sibuk dengan pelbagai program untuk membantu rakyat di kawasan itu.

Air tercemar: Penduduk tahan lori balak

Posted:

Air tercemar: Penduduk tahan lori balak

Air tercemar: Penduduk tahan lori balak

BALING 10 April - Sekumpulan penduduk yang berang kerana mendakwa bekalan air ke rumah mereka tercemar kerana kerja-kerja pembalakan, menahan tiga lori balak di Hutan Gunung Inas Kampung Bukit Palong, Pulai dekat sini hari ini.

Tindakan itu adalah kemuncak kepada kemarahan penduduk terhadap pengusaha balak di kawasan tersebut yang didakwa gagal menyediakan bekalan elektrik dan menggali talian air sejak empat bulan lalu.

Menurut seorang penduduk, Abu Hassan Mahmud, 51, dari Kampung Tok Dolah, dia bersama lebih 30 penduduk bertindak menahan lori yang membawa muatan kayu balak dengan meletakkan batu di kawasan laluan itu.

Abu Hassan berkata, penduduk bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pembalakan sehingga menyebabkan bekalan air masyarakat yang dinikmati sejak 30 tahun lalu bertukar warna dan kotor.

"Pengusaha ini telah mengaut keuntungan, tetapi penduduk ditimpa masalah dengan bekalan air yang tidak bersih dan bertukar warna," katanya ketika ditemui.

Katanya, kira-kira 1,600 penduduk di tiga kampung iaitu kampung Tok Dolah, Kampung Telok sera Ulu, Tok Diah sedang mengalami masalah bekalan air kotor akibat kerja-kerja membalak memandangkan pengusahanya masih gagal menyiapkan telaga tiub dan bekalan elektrik yang dijanjikan.

Seorang lagi penduduk, Rosdi Che Mat, 60, penduduk turut membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

"Malah, penduduk kini turut kecewa kerana lori balak yang keluar masuk di jalan kampung berkenaan telah menyebabkan jalan berkenaan rosak.

"Kami mahu pengusaha balak ini bertanggungjawab dan menjaga nasib penduduk dan bukan hanya mengaut keuntungan sahaja," tegasnya.

Md. Salleh Ahmad,40, pula berkata, lori balak terbabit juga keluar masuk tanpa mengira waktu termasuk pada waktu anak-anak penduduk keluar sekolah yang dikhuatiri membahayakan keselamatan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan balak tersebut mendapati tiga buah lori yang membawa muatan beratus-ratus batang balak masih tersadai dipinggir jalan sambil dikawal oleh beberapa penduduk di situ.

Laluan keluar balak juga telah diletakkan batu-batu besar oleh penduduk termasuk menggantung balang berisi air kotor sebagai bukti kepada pengusaha balak berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan