Rabu, 11 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Hentakan kuat kekasih sejenis

Posted: 10 Apr 2012 11:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati dipercayai dibunuh kekasih sejenisnya sebelum mayat mangsa ditinggalkan dalam keadaan bogel dalam sebuah bilik hotel empat bintang di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang, ditemui dengan kesan kecederaan serius di belakang kepalanya oleh pekerja hotel berkenaan kira-kira jam 3 petang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa sepatutnya mendaftar keluar dari hotel itu jam 12 tengah hari, tetapi gagal berbuat demikian menyebabkan pekerja hotel itu memeriksa bilik mangsa menginap.

Menurutnya, selepas dipanggil beberapa kali dan tidak berjawab, pekerja berkenaan membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua sebelum mendapati mangsa terbujur kaku di dalam bilik berkenaan.


"Siasatan awal mendapati mangsa yang mendaftar masuk kira-kira jam 6 petang kelmarin keluar dari biliknya jam 12 tengah malam sebelum kembali ke biliknya jam 1 pagi bersama seorang wanita dipercayai warga tempatan.


"Berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di hotel itu, wanita terbabit keluar dari bilik mangsa sejam kemudian sebelum mangsa didatangi seorang kenalan lelakinya pada jam 2.30 pagi yang berada bersama-sama mangsa hingga jam 12 tengah hari," katanya.

Katanya, pemeriksaan awal Unit Forensik Polis Kuala Lumpur mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan objek tajam pada kepalanya.


"Kami percaya lelaki terakhir berusia awal 40-an yang berada bersama mangsa adalah suspek utama yang melakukan pembunuhan.

"Polis turut menolak kemungkinan kejadian bermotifkan samun berikutan semua barang berharga mangsa tidak diambil dan siasatan kini menjurus sama ada mangsa mempunyai hubungan songsang dengan suspek terbabit," katanya.


Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu polis dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di 03-21159999 atau balai polis berhampiran.




CaRE kutip dana bantu pesakit kanser

Posted: 10 Apr 2012 11:12 AM PDT

SERDANG: Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya akan menganjurkan program Healthy Lifestyle Day 2012 pada 21 April depan bagi mengutip dana bagi pesakit kanser.

Pengarah CaRE, Prof Dr Mazanah Muhamad berkata, dana yang dikutip menerusi jualan meja makan malam amal itu masih dibuka kepada organisasi atau individu berminat.


"Program bermula dari jam 7 pagi hingga 10 malam itu turut menganjurkan senaman QiGong pada sebelah pagi untuk memperkenalkan keunikannya dalam memelihara kesihatan, terutama penyakit kronik seperti kanser," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Mazanah, peserta berpeluang menyertai perbincangan kumpulan rakan sebaya mengenai kanser.


"Satu pusat rujukan akan diwujudkan supaya memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan jenis penyakit, cara rawatan dan perubatan," katanya.


Selain itu, katanya, tiga aktiviti utama akan dijalankan sepanjang program iaitu saringan kesihatan, pameran poster dan program kesedaran.

Saringan kesihatan termasuk ujian dan tekanan darah, indeks jisim tubuh (BMI), pemeriksaan paras glukos, pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan kempen menderma darah.


Tempahan jualan meja dibuat dengan menghubungi 1-800-22-2233 atau 03-89472706 atau laman web www.cancereducation.org my atau www.care.upm.edu.my.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan