Rabu, 11 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


UTeM cipta kenderaan elektrik

Posted:

UTeM cipta kenderaan elektrik

UTeM cipta kenderaan elektrik

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


ZRT-Harimau Biru ciptaan seorang penyelidik dan tiga pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi kegunaan polis pelancong di Melaka.


MELAKA 10 April - Seorang penyelidik dan tiga pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menghasilkan sebuah kenderaan elektrik yang dikenali sebagai 'ZRT-Harimau Biru' bagi kegunaan polis pelancong di negeri ini.

Kenderaan elektrik itu adalah hadiah paling istimewa sebagai tanda penghargaan sempena sambutan ulang tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ke-205 baru-baru ini.

Tiga pelajar tahun akhir dari Jabatan Automotif FKM tersebut ialah Mohd. Nawari Mat Sudin, Muhammad Hafizuddin Ahmad Murad dan Muhammad Asyraf Zulkefli.

Penyelidik, Dr. Muhammad Zahir Hassan berkata, kenderaan elektrik ciptaan UTeM itu dihasilkan atas cetusan idea Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang ingin mempunyai sebuah kenderaan untuk kegunaan polis pelancong.

Beliau yang menjadi pembimbing kepada pelajar tersebut berkata, kenderaan teknologi hijau tiga roda itu menggunakan kuasa bateri untuk menggerakkannya dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 60 kilometer (km) sejam.

''Dengan susuk badan yang kompak, kenderaan tersebut amat sesuai digunakan dalam operasi rondaan pengawasan di kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir yang agak padat dan penuh dengan pelancong pada setiap masa.

''Kenderaan ini mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 40km dan boleh dicaskan semula untuk kegunaan seterusnya," katanya pada satu majlis ringkas pengenalan kenderaan tersebut baru-baru ini.

Prototaip kenderaan tersebut diserahkan kepda wakil IPK, Asisten Supritendan Nor Azlinda Nordin.

Muhammad Zahir berkata, dengan bentuk badan yang moden, ringkas dan berkelajuan tinggi, ZRT-Harimau Biru berupaya menjadi mekanisme baru dalam mencegah jenayah terutama kes ragut yang kian berleluasa terutama kawasan yang padat dengan pelancong.

Katanya, berkonsepkan comel tetapi garang, kenderaan inovasi teknologi hijau ini turut membuka dimensi baru dalam konsep pemantauan dan kawalan keselamatan bagi pihak PDRM kini.

Sementara itu, Mohd. Nawawi berkata, beliau dan rakan-rakannya memulakan projek ini sejak lima bulan lalu.

"Berbekalkan pengetahuan dan kemahiran tinggi dan berkat kesabaran serta usaha bersungguh-sungguh, kami berjaya menghasilkan satu inovasi baru kenderaan mesra alam ini yang turut menepati konsep Melaka Negeri Bandar Teknologi Hijau," katanya.

Ujarnya, penghasilan kenderaan berinovasi tinggi juga adalah menyahut saranan pemimpin tertinggi negara bersempena tahun 2012 yang telah diisytiharkan sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional.

Konvensyen Melaka Bandar Raya Berkembar berjaya

Posted:

Konvensyen Melaka Bandar Raya Berkembar berjaya

Konvensyen Melaka Bandar Raya Berkembar berjaya


SEBAHAGIAN peserta konvensyen yang hadir pada majlis perasmian Konvensyen Antarabangsa Melaka Bandaraya Berkembar Ke-2 di Melaka, semalam.


MELAKA 10 April - Seramai 479 peserta dari 15 buah negara seluruh dunia menghadiri Konvensyen Antarabangsa Melaka Bandar Raya Berkembar Ke-12 di Hotel Equatorial, di sini hari ini.

Konvensyen selama dua hari bertemakan Persediaan Menghadapi Bencana dan Pengurangan Risiko itu dihadiri peserta dari Indonesia, Filipina, Vietnam, Zimbabwe, Thailand, Australia dan Jepun.

Ia diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Kesembilan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada Ahad ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sejak dianjurkan kali pertama 12 tahun lalu iaitu pada tahun 2000, seminar itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara.

"Tahun ini, ia mencatatkan bilangan peserta paling ramai, ini mungkin disebabkan topik perbincangannya yang menarik.

"Saya harap peserta dapat berkongsi pengalaman dalam menghadapi malapetaka ataupun bencana alam dalam pelbagai suasana mengikut negara-negara terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu.

Mohd. Ali berkata, sebanyak lapan kertas kerja akan dibentangkan pada kali ini dan beliau yakin Melaka mampu menjadi lebih popular sebagai pusat pertemuan dunia pada masa akan datang berdasarkan penyertaan menggalakkan pada konvensyen tahunan itu kali ini.

Beliau dalam pada itu berkata, Malaysia bernasib baik kerana tidak berdepan pelbagai bencana alam yang serius seperti gempa bumi dan gunung berapi seperti kebanyakan negara dunia yang lain.

"Kalau ada pun, cuma kena tempias tsunami dan tanah runtuh atau banjir besar tetapi ia tidaklah seteruk seperti di Aceh ataupun Australia dan Jepun yang ada gunung berapi.

"Banjir besar di Melaka pun kita sudah ada pelan induk termasuk membesarkan lagi kolam takungan air baru seluas 0.4 hektar lagi," tambahnya.

Jelas beliau, antara pengalaman lain yang boleh Melaka berkongsi dalam menghadapi bencana ialah penubuhan pusat bencana bersepadu di Kota Cemerlang di Ayer Keroh.

Menurutnya, ia berfungsi sebagai pusat sehenti sekiranya berlaku banjir atau bencana lain di luar jangkaan yang memberi banyak kemudahan kepada orang ramai untuk berkumpul di situ.

Klinik wakaf akan dibuka di setiap daerah

Posted:

Klinik wakaf akan dibuka di setiap daerah

Klinik wakaf akan dibuka di setiap daerah


MOHAMAD Hasan menyampaikan replika cek RM487,200 kepada Abd. Halim Sulaiman (kiri) sambil diperhatikan oleh Johani Hasan (dua dari kanan) pada majlis Penyerahan Bantuan Per kapita, Dermasiswa dan Anugerah Cemerlang Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 2012 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, semalam.


SEREMBAN 10 April - Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah klinik wakaf di setiap daerah dalam usaha membantu rakyat khususnya di kalangan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri membela nasib golongan terbabit terutama membabitkan aspek kesihatan.

"Usaha ini telah kita mulakan di Rembau dan akan diteruskan di setiap daerah secara berperingkat. Selain klinik wakaf, kita juga bercadang membina sebuah pusat hemodialisis khas bagi merawat pesakit buah pinggang di setiap daerah," katanya.

Mohamad berkata demikian pada majlis penyerahan Bantuan per Kapita, Dermasiswa dan Anugerah Cemerlang Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 2012 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pelajaran, Jabatan Agama Islam negeri, Abd. Halim Sulaiman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Johani Hasan dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor.

Jelasnya lagi, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya menjalankan kerjasama dengan Hospital Pakar KPJ Seremban bagi mendapatkan khidmat doktor termasuk jururawat untuk ditugaskan di klinik berkenaan.

"Buat masa ini kita tidak mempunyai tenaga yang berkemampuan untuk mengendalikan klinik ini, maka kita menjalankan kerjasama ini. Apabila penuntut tajaan kita yang mengambil bidang perubatan di luar negara menamatkan pengajian mereka, kita akan minta mereka bekerja di klinik ini kelak," ujarnya.

Tambah Mohamad, segala hal-ehwal termasuk pengurusan klinik tersebut akan diletakkan di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan