Isnin, 16 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


RM1j benih ikan, udang dilepas

Posted:

RM1j benih ikan, udang dilepas

RM1j benih ikan, udang dilepas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 15 April - Jabatan Perikanan negeri memperuntukkan lebih RM1 juta nilai benih ikan dan udang air tawar untuk dilepaskan di 26 sungai sekitar negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, kos tersebut meliputi 1,205,050 benih ikan dan udang termasuk ikan matang yang dilepaskan ke perairan umum (sungai) di seluruh negeri ini.

''Langkah itu bertujuan menambah stok ikan air tawar di sungai-sungai di negeri ini selain menyediakan sumber protein kepada penduduk setempat.

''Inisiatif tersebut juga secara tidak langsung diyakini dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk berhampiran sungai terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, sehingga bulan ini, hampir 490,000 benih ikan air tawar pelbagai jenis telah dilepaskan ke sungai di beberapa daerah seperti Jelebu, Tampin, Rembau termasuk daerah ini.

''Antara jenis ikan air tawar yang telah dilepaskan adalah seperti krai, lampam, baung dan jelawat," ujarnya.

Menurut beliau, program pelepasan tersebut akan dijalankan secara berperingkat membabitkan semua daerah mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Muhammad Aznan turut menegaskan kepada orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan melalui kaedah terlarang.

''Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak meracun, menuba atau menggunakan bom bagi menangkap ikan.

''Ini kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya akan merosakkan kitaran hidupan akuatik dan menjejaskan alam sekitar sekali gus mensiasiakan inisiatif ini," tegasnya.

Pesta Gendang Nusantara pukau 10,000 pengunjung

Posted:

Pesta Gendang Nusantara pukau 10,000 pengunjung

Pesta Gendang Nusantara pukau 10,000 pengunjung


SEBAHAGIAN peserta Pesta Gendang Nusantara membuat persembahan dengan menari bersama pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun MBMB Ke-9 di Ayer Keroh, Melaka, malam semalam.


MELAKA 15 April - Sambutan ulang tahun kesembilan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) disambut penuh meriah dan gilang-gemilang dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung termasuk pelancong asing di Dataran MBMB malam tadi.

Ribuan pengunjung terpukau dengan persembahan hebat daripada 25 pasukan kebudayaan yang mempersembahkan kehebatan masing-masing memalu gendang pada Pesta Gendang Nusantara ke-15 yang turut diadakan malam tadi.

Pesta yang disertai oleh hampir 700 peserta tempatan dan luar negara termasuklah Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Jordan dan Mesir itu diselang-seli dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan.

Sambutan penuh warna-warni itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad dan Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu.

Pelbagai kepakaran dan gelagat memalu gendang dipertontonkan oleh kesemua pasukan, sekali gus memaksa penonton untuk tidak berganjak biarpun terpaksa menunggu persembahan kemuncak pada pukul 1 pagi.

Sambutan yang diadakan saban tahun itu dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian dua lagu daripada Papa Rock, Ramli Sarip.

Tirai sambutan dilabuhkan dengan persembahan bunga api yang berlangsung selama 15 minit.

82 kanak-kanak dipilih sertai Program Pearl Kids Selam Skuba

Posted:

82 kanak-kanak dipilih sertai Program Pearl Kids Selam Skuba

82 kanak-kanak dipilih sertai Program Pearl Kids Selam Skuba

SEREMBAN 15 April - Potensi tinggi dalam bidang selam skuba mendorong Program Pearl Kids Selam Skuba peringkat negeri ini dilancarkan sebagai usaha awal mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti selam skuba pada usia muda.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali berkata, buat permulaan, seramai 82 kanak-kanak dari seluruh negeri ini dipilih bagi menyertai program tersebut.

Beliau berkata, program selama tiga bulan yang bermula semalam dijalankan di Kolam Renang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, dekat sini.

"Kanak-kanak ini akan dilatih setiap hari Sabtu dan Ahad selama tiga bulan mengenai asas selam skuba oleh jurulatih yang bertauliah.

"Pendedahan awal ini adalah satu usaha mempromosi dan mengembangkan aktiviti selam skuba serta mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang itu," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan program tersebut di sini semalam.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri dengan kerjasama Persatuan Kecergasan Negeri Sembilan.

Menurutnya, aktiviti selam skuba mempunyai potensi yang tinggi serta pendapatan yang lumayan terutamanya dalam bidang pelancongan.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan dalam aktiviti itu pada masa ini menelan belanja yang agak tinggi dan ramai yang tidak mampu menampung kos tersebut.

"Sebab itu, kita melaksanakan program ini secara percuma untuk para peserta dengan matlamat memberi pendedahan awal kepada seramai mungkin kanak-kanak di semua lapisan peringkat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan