Isnin, 16 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Bantah rang undang-undang baru demi kepentingan politik pembangkang: Rais

Posted: 16 Apr 2012 03:16 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang membantah Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dibentangkan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai sesuatu yang berlandaskan kepentingan politik semata-mata.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tindakan itu hanyalah berasaskan kepada politik tetapi tidak berasaskan kepada dunia perundangan yang nyata.

"Ini adalah paling besar dan meluas di dalam sejarah hak asasi manusia di negara ini. "Sesiapa yang menampilkan pandangan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ini sebagai sesuatu yang menyeleweng, sebenarnya pemikiran mereka ini tidak lagi menepati apa yang dianggap sebagai adil," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Rais juga menafikan bahawa rang undang-undang baru itu lebih keras daripada ISA serta menyifatkan sesiapa yang mengatakan sebegitu hanya melepaskan pandangan ekstrem serta keterlaluan.

Polis Kelantan siap sedia hadapi pilihan raya

Posted: 16 Apr 2012 03:07 AM PDT

Mutakhir

BACHOK: Kira-kira 3,900 anggota dan pegawai polis di Kelantan sudah bersiap sedia untuk digembleng bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, mereka akan ditempatkan antaranya di lokasi penamaan calon dan pusat pengundian di seluruh negeri.

Sebuah helikopter akan digunakan dalam tugas memantau keselamatan pengundi terutama di kawasan pedalaman yang berbukit dan sukar dilalui kenderaan darat, katanya. "Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya proses (pilihan raya) itu berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival derma darah di Pantai Irama di sini, hari ini.

Mengenai perang bendera parti politik yang kini semakin hangat terutama yang dipasang di tepi jalan, beliau berkata semua ketua polis daerah diarah mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak yang cuba membuang bendera parti lawan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Jalaluddin berkata, setakat ini polis menerima lima aduan mengenai perbuatan mencabut bendera parti lawan termasuk dari Jajahan Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.

"Kita memandang serius perbuatan seumpama itu kerana boleh mengundang perbalahan antara penyokong parti," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan