Isnin, 16 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Akta baharu benarkan polis bertindak, jamin keselamatan

Posted:

Akta baharu benarkan polis bertindak, jamin keselamatan

Akta baharu benarkan polis bertindak, jamin keselamatan

KLUANG 15 April - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akta baharu bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetap membolehkan polis bertindak dalam menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, akta baharu yang akan dibentangkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pendirian jujur Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sememangnya tidak mungkin kita boleh bentangkan akta baharu ini kalau sekiranya 'pengguna terakhir', pihak yang akan memastikan keselamatan negara, PDRM itu sendiri tidak selesa dengan akta tersebut.

"Jadi saya hendak beri jaminan hari ini bahawa PDRM cukup yakin dengan apa yang akan dibentangkan Datuk Seri Najib esok. PDRM jamin keselamatan negara dan ketenteraman awam akan terus terpelihara," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata demikian kepada pemberita di Dewan Semai Bakti, Felda Ulu Pengeli, dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata, Kabinet yang memutuskan rang undang-undang itu juga bersetuju keupayaan PDRM akan dipertingkatkan dan wujudnya keperluan menambah peruntukan dalam usaha merealisasikan matlamat itu.

"Saya telah minta dan dipersetujui jemaah menteri bahawa usaha meningkatkan keupayaan PDRM daripada segi siasatan, perundangan, risikan, pemantauan, rangkaian dua hala dengan negara-negara jiran dalam konteks keganasan itu perlu ditingkatkan dan peruntukan perlu diberi kepada badan tersebut.

"Ini cara kita ke hadapan, bermakna dengan pindaan itu, ia bersandar juga kepada kesedaran bahawa penambahbaikan, pengupayaan, tambah nilai kemampuan PDRM juga perlu ditingkatkan," katanya lagi.

Sementara itu mengulas isu lain, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO bersetuju sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan beberapa pemimpin pembangkang mempersendakan raja-raja Melayu ketika istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV baru-baru ini.

Katanya, penubuhan itu wajar bagi memastikan duduk sebenar dakwaan tersebut memandangkan 'tuan punya badan' menafikan.

"Kalau kita siasat sendiri, mereka kata tidak adil. Tidak ada sebab mengapa suruhanjaya tidak boleh diadakan kalau itu dapat meyakinkan orang ramai bahawa institusi raja perlu dihormati," katanya yang mengulas cadangan seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong sekalipun ada khabar angin menyatakan beliau akan bertanding di Kota Tinggi.

Katanya, beliau mahu meneruskan tanggungjawab membela nasib masyarakat di Sembrong yang telah mengundinya pada pilihan raya umum lepas.

Jangan cuba permainkan institusi beraja di negara ini – Omardin

Posted:

Jangan cuba permainkan institusi beraja di negara ini – Omardin

Jangan cuba permainkan institusi beraja di negara ini – Omardin

KUALA LUMPUR 15 April – Pengerusi Dewan Perguruan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Omardin Mauju memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu agar jangan cuba mempermainkan institusi beraja di negara ini.

Beliau yang mewakili empat juta ahli mempertahankan diri di seluruh negara berkata, amaran itu sesuatu yang wajar kerana seni mempertahankan diri terutama silat, lahir di istana dan mempunyai kaitan rapat dengan institusi beraja.

"Kita pengamal silat tidak akan berkompromi sama sekali apabila menyentuh soal Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang lain. Pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap mereka yang boleh dikatakan penderhaka.

"Sekiranya mereka tidak boleh menghormati atau suka kepada institusi beraja, sila keluar dari tanah air tercinta ini. Jangan sampai nanti kita turun beramai-ramai ke jalanan bagi menentang mereka yang biadab ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini

Beliau berkata demikian bagi mengulas sikap pemimpin pembangkang yang didakwa menghina dan mempersenda raja-raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Rabu lalu.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang petugas perubatan pada majlis istiadat tersebut, Dr. Rahman Kadir menerusi laman sosial Facebook.

Tambah Omardin yang merupakan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), sebelum ini di Perak juga sudah ada pihak yang tidak menghormati institusi beraja.

"Jika mereka mengatakan sesuatu terhadap Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, mungkin kita boleh katakan ia permainan politik, tetapi apabila soal institusi beraja, ia sudah lebih daripada batasannya.

"Silat dan seni bela diri bukan untuk mencari gaduh, tetapi mempertahankan diri. Sekiranya mereka cuba bermain kasar, kita akan bertindak bagi melindungi dan mempertahankannya demi bangsa, agama dan negara," tegasnya.

Hina raja: 20 NGO buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang

Posted:

Hina raja: 20 NGO buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang

Hina raja: 20 NGO buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang

KOTA BHARU 15 April - Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan mengecam tindakan pemimpin pembangkang yang didakwa mempersenda serta mengejek raja- raja Melayu ketika istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Serentak itu, pertubuhan berkenaan membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Kelantan, Mohd. Fauzi Muhammad kira-kira pukul 10 pagi bagi mewakili NGO terbabit, di Balai Polis Kota Bharu dekat sini.

Mohd. Fauzi ketika ditemui media kemudiannya menyifatkan perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang itu sebagai biadap.

Kata beliau, sebagai pemimpin mereka sepatutnya menunjukkan teladan yang baik agar ia dapat dicontohi oleh rakyat.

"Perbuatan ini secara tidak langsung mencerminkan watak pemimpin pembangkang. Bagi saya perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam majlis yang mulia tersebut," katanya.

Utusan Malaysia 13 April lalu melaporkan kekecewaan seorang petugas perubatan yang turut serta dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara terhadap beberapa pemimpin pembangkang yang didakwa mempersenda dan mengejek raja- raja Melayu.

Dr. Rahman Kadir yang menulis menerusi laman Facebook beliau seorang daripada anggota pasukan perubatan yang bertugas semasa istiadat itu berlangsung.

Beliau mendakwa perbuatan mempersenda dan mengejek itu paling ketara dilakukan apabila tetamu kehormat berjalan masuk ke dalam Balairong Seri.

Mengulas lanjut, Mohd. Fauzi meminta pihak berkuasa supaya menyiasat laporan yang dibuat oleh Dr. Rahman itu secara lebih mendalam terutama kenyataannya berbunyi 'selebihnya saya tidak boleh ulas'.

"Apakah yang dimaksudkan oleh dia (Dr. Rahman) berhubung perkara tersebut. Jadi kami mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan terperinci mengenai perkara itu," tegasnya.

Dalam pada itu, NGO berkenaan turut membakar kain rentang yang tertera perkataan 'Penderhaka' dan gambar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Naib Presidennya, Tian Chua sebagai tanda protes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan