Selasa, 17 April 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Akta baru kekang keganasan

Posted:

Akta baru kekang keganasan

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 April – Penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan 2012 akan mengekang kegiatan seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara ganas dan tidak berlandaskan Perlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, dengan kata lain jika terdapat mana-mana parti politik yang berhajat merubah teras pemerintahan negara kepada teokratik, maka mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat.

Serentak itu, beliau berkata, kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan akta tersebut dari semasa ke semasa termasuk mengemukakan syor untuk penambahbaikan.

Jawatankuasa itu bukan sahaja akan dianggotai agensi berkenaan, tetapi juga Presiden Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Akta Kesalahan Keselamatan) Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa rupa bentuk kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.

"Lindung jamin terbesar dalam akta ini adalah kuasa dan kehendak rakyat. Kita harus maklum bahawa di tangan rakyatlah kuasa setiap lima tahun untuk mengamanahkan parti atau gabungan parti mana yang hendak diberi kuasa sebagai kerajaan. Itulah teras asas sistem demokrasi berparlimen," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Baru Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Najib, paling utama tiga prinsip perlu kekal dalam sebarang evolusi kerangka perundangan baru itu iaitu untuk menangani perbuatan dan perlakuan berikut yang :-

i) mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.

ii) mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.

iii) mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, sememangnya kerajaan tidak takut dan gentar untuk bersaing dalam gelanggang demokrasi serta juga tidak takut membandingkan idea serta dasar dengan sesiapa pun.

...

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Jangan tunjuk perasaan – Dr. M

Posted:

Jangan tunjuk perasaan – Dr. M

KUALA LUMPUR 16 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelajar yang mahu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan sepatutnya memulangkan pinjaman mereka atau tidak mengambil pinjaman itu, bukan mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka yang mencadangkan agar kerajaan menghapuskan PTPTN pula perlu mencari jalan untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar berkenaan.

Kata beliau, penghapusan PTPTN akan memberi kesan bukan saja terhadap kos pendidikan, tetapi juga dalam pengagihan kemudahan yang turut memberi manfaat kepada golongan berada.

"Kalau anda hapuskannya, anda perlu menggantikannya dengan yang lain, yang mungkin melibatkan kos lebih besar, contohnya memberi pendidikan percuma kepada setiap orang. Dalam hal ini, golongan kaya juga akan menikmatinya," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir mempengerusikan sesi perbincangan strategi peringkat tinggi kumpulan terpilih bertajuk 'Pemacu Landskap Baru Ekonomi Di Persada Negara dan Global - Dilema Sektor Swasta Malaysia' anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, matlamat PTPTN ialah untuk membantu golongan miskin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan itu.

"Idea penubuhan PTPTN ialah membantu orang yang tidak berkemampuan di segi kewangan mendapatkan pelajaran yang baik, tapi jika tiada bayaran yuran dikenakan, yang kaya juga akan menikmati manfaat yang sama dan ini tidak adil kepada yang miskin.

"Kenapa kita perlu bantu yang kaya? Kita sepatutnya menolong yang miskin, PTPTN adalah untuk yang miskin," katanya.

Mengenai penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak dapat memberi komen mengenai undang-undang baru itu kerana belum menelitinya.

Mengenai ISA, beliau berkata bukan ISA yang menjadi masalah tetapi cara ia dilaksanakan.

"Seperti yang anda maklum, Amerika mempunyai ISA yang lebih keras daripada kita, mereka menahan (tahanan) tanpa perbicaran. Mereka di Guantanamo Bay, sejak 10 tahun lepas tidak dibicarakan dan sebagainya... sudahlah begitu, mereka membenarkan penyeksaan ketika ditahan," katanya. - BERNAMA

...

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Model terbaru Preve mampu lonjak syarikat automotif negara ke tahap baru – Najib

Posted:

Model terbaru Preve mampu lonjak syarikat automotif negara ke tahap baru – Najib


Najib Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama lima pemilik pertama Proton Preve ketika pelancaran kereta terbaru itu di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC) Mines Resort City, Seri Kembangan, di Kuala Lumpur, malam tadi. – utusan/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR 16 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pelancaran model terbaru Proton Holdings Berhad (Proton), Preve mampu melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap yang baru.

Kata Perdana Menteri, pelancaran Preve itu juga merupakan sumbangan Proton yang amat signifikan sebagai sebuah syarikat yang menjadi ikon kepada negara serta sebuah badan korporat yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

"Pelancaran ini juga menandakan Proton kini berada di ambang, gerbang dan pembuka tirai kepada usaha menempa sejarah baru dalam memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global seterusnya membawa bendera Jalur Gemilang di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaru keluaran Proton, Preve di Sri Kembangan di sini malam ini.

Pada masa sama, Najib turut melahirkan rasa bangga kerana proses reka bentuk dan kejuruteraan Preve dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar di kalangan anak tempatan itu bertujuan menjadikan Preve sebagai kereta milik seluruh rakyat Malaysia.

"Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua warga Proton yang terlibat dalam pengeluaran kereta ini," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengajak seluruh rakyat Malaysia memandu uji kereta tersebut dan memberi jaminan mereka akan mendapat kepuasan yang tinggi.

"Saya tidak mendapat apa-apa komisen daripada Proton, tetapi saya meminta seramai mungkin rakyat Malaysia untuk cepat-cepat mencuba kereta ini kerana anda semua akan mendapat pengalaman baru seterusnya meyakinkan anda untuk memilih kereta ini," katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama antara DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) dan Proton pula, Najib berkata, ia merupakan kerjasama perniagaan terbaik dalam memacu Proton ke tahap yang lebih unggul.

Katanya, pemilihan DRB-Hicom sebagai pemilik baru Proton dibuat kerajaan menerusi proses dan penilaian yang begitu objektif oleh kerajaan.

"DRB-Hicom memiliki sinergi yang begitu menguntungkan dan perancangan korporatnya adalah yang terbaik.

"Ini adalah satu perkahwinan yang saya kira akan membawa kepada natijah yang begitu menguntungkan Proton dan negara dengan sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat Proton," katanya.

Menurut Najib, dari sudut kerajaan, Dasar Automotif Negara (DAN) sedia ada akan diperkemaskan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya ia dapat bersaing dalam dunia automotif yang semakin kompetitif.

...

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan