Khamis, 12 April 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Tuanku Abdul Halim selamat ditabal

Posted:

Tuanku Abdul Halim selamat ditabal



KUALA LUMPUR 11 April – Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu Perang bergema di Balairong Seri dan para hadirin berdiri dan melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali, diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84 tahun.

Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong V, Perdana Menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.

Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu "Belayar" oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.

Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.

Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu "Palu".

Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.

Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.

Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri. Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

...

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Yakin rakyat kini bersedia – Najib

Posted:

Yakin rakyat kini bersedia – Najib


Najib Tun Razak berucap sempena Istiadat Pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Balairong Seri, Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 11 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah membatalkan tiga proklamasi darurat adalah kerana yakin rakyat kini telah bersedia untuk memasuki era baru.

"Kerajaan percaya bahawa setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi.

"Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin," kata beliau dalam ucapannya pada istiadat pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Istana Negara di sini hari ini.

Najib berkata: "Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan."

Kata beliau, bersesuaian dengan iltizam itu, kerajaan melalui Parlimen telah pun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuasa dan akan membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan Rela, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.

Menurut beliau, pada Isnin ini, beliau akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di persidangan Dewan Rakyat.

"Pada hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak berjasa kepada negara, ia telah pun melampaui jangka hayat kegunaannya. Kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks," katanya.

Najib juga berkata, di bawah undang-undang baru, kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Negeri, manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan.

"Kuasa semakan kehakiman pula akan dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin bahawa tidak ada seorangpun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya," katanya.

Beliau menambah, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas, yang dibacakan buat pertama kali di persidangan Dewan Rakyat semalam, bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berparlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warganegara. – BERNAMA

...

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Gempa kuat di Lautan Hindi

Posted:

Gempa kuat di Lautan Hindi


SUASANA kelam kabut dan kesesakan di sebatang jalan di Banda Aceh dengan penunggang-penunggang motosikal yang panik berikutan laporan berita mengenai gempa bumi sekuat 8.7 pada skala Richter di luar perairan Aceh, semalam. – REUTERS


BANDA ACEH 11 April – Satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter melanda luar pantai Sumatera, petang ini mencetuskan panik di kalangan penduduk, yang bergegas keluar dari kediaman masing-masing bimbang tsunami pada 2004 berulang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, tiada kecederaan dan kerosakan harta benda dilaporkan akibat bencana itu yang berlaku pada kira-kira pukul 4.38 petang waktu tempatan.

"Tidak ada ancaman tsunami, walaupun kita berjaga-jaga," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang dalam rangka lawatan ke Indonesia.

Cameron turut memberi jaminan, Britain bersedia membantu jika diperlukan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami di kawasan sekitar Lautan Hindi, namun memaklumkan ancaman itu telah berkurangan tetapi ia masih dikuatkuasakan.

''Ia (gempa) tidak membawa tsunami yang besar. Namun, kita masih memantau keadaan itu kerana tsunami terbentuk menerusi ombak,'' kata seorang Geofizik, Victor Sardina yang beribu pejabat di Hawaii.

Gempa sekuat 8.2 pada skala Richter menyusul pada pukul 6.43 waktu tempatan.

Tsunami setinggi 0.6 meter dan 0.8 meter dilaporkan di pantai Sabang dan Meulaboh pada kira-kira pukul 6 petang (7 petang waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas gempa bumi kuat itu.

Di Thailand, tsunami kecil berukuran 10 sentimeter melanda kawasan Koh Miang dekat Phang Nga.

Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik itu kemudiannya menarik balik amaran tsunami di Lautan Hindi tidak lama kemudian.

Indonesia, Thailand, Malaysia, Sri Lanka dan India yang pernah terjejas akibat tsunami ekoran gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 2004 kemudiannya bertindak mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa berlaku.

Gempa itu berlaku 500 kilometer dari barat daya Banda Aceh, Sumatera pada kedalaman 33 kilomter, kata tinjauan Geologi Amerika Syarikat.

Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, bekalan elektrik di Aceh terputus akibat bencana itu, manakala orang ramai berkumpul di kawasan tanah tinggi selepas siren amaran tsunami dibunyikan.

''Bekalan elektrik tiada, terdapat kesesakan lalu lintas berhampiran kawasan yang lebih tinggi.

''Bunyi siren dan bacaan al-Quran kedengaran di masjid-masjid," kata jurucakap agensi itu, Sutopo.

Susilo berkata, beliau telah mengarahkan pasukan bencana untuk terbang ke Aceh bagi menghulurkan bantuan.

– REUTERS

...

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan