Ahad, 15 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Perhimpunan perlu bersyarat - Hishammuddin

Posted:

Perhimpunan perlu bersyarat - Hishammuddin

Perhimpunan perlu bersyarat - Hishammuddin

IPOH 14 April - Mana-mana kumpulan atau pertubuhan yang mahu berhimpun perlu menyakinkan polis bahawa perhimpunan tersebut akan berlangsung dalam suasana aman dan tidak menyusahkan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan tidak menyekat mana- mana pihak untuk berhimpun tetapi mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh polis selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2011.

"Kalau hendak berhimpun, kita tidak sekat asalkan tidak menyusahkan orang ramai. Ini juga menjadi tanggungjawab penganjur.

"Sekiranya pihak Himpunan Bersih 3.0 hendak lakukan sesuatu, mereka perlu yakinkan polis bahawa perhimpunan itu tidak akan menyusahkan orang ramai, orang lain pun terikat dengan syarat-syarat sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Orang Muda di kediaman Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai permohonan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam untuk berhimpun secara aman bagi membantah usaha terancang pihak tertentu menjayakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks bebas di negara ini.

Permohonan itu dibuat pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) mewakili 30 buah sekolah di Lembah Klang dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai tindakan pembangkang mengadakan Perhimpunan Demo Anti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka hari ini, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan pembangkang sudah bankrap idea.

Katanya, PTPTN merupakan satu produk yang baik tetapi ia telah diekploitasikan oleh pihak tertentu untuk menarik sokongan dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

"Saya tengok mereka terkapai-kapai mencari isu. Isu begini kalau kita silap langkah akan dieksploitasi untuk menimbulkan kemarahan orang ramai," katanya.

Beliau meminta para penyokong BN supaya tidak terikut-ikut rentak pembangkang yang suka mencari pasal.

Felda tidak paksa peneroka

Posted:

Felda tidak paksa peneroka

Felda tidak paksa peneroka

KUALA LUMPUR 14 April - Felda menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Felda memaksa para peneroka mengambil pinjaman untuk membeli saham-saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kebanyakan syarikat membuka peluang kepada pemegang-pemegang berkepentingan membeli saham-sahamnya semasa proses penyenaraian.

Menurut beliau, syarikat-syarikat itu juga kebiasaannya mengaturkan pembiayaan menerusi institusi kewangan terpilih kepada pihak-pihak yang berminat.

"Felda turut melakukan perkara serupa untuk mempermudahkan urusan para peneroka mendapatkan sumber kewangan bagi membeli saham-saham FGVH selepas disenaraikan di Bursa Malaysia kelak.

"Bagaimanapun, peneroka-peneroka yang berkemampuan boleh membeli saham dengan menggunakan wang sendiri," jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Isa mengulas dakwaan PKR yang kononnya peneroka Felda tidak akan menerima 'duriah runtuh' dijanjikan kerajaan sebaliknya mereka dipaksa membuat pinjaman dengan institusi kewangan untuk membeli saham-saham FGVH.

Tambah beliau, peneroka juga boleh memilih untuk tidak membeli saham-saham FGVH sekiranya mereka mendapati 'durian runtuh' yang bakal diterima sudah memadai.

Berhubung tindakan PKR memperkecil-kecilkan pemberian 'durian runtuh' oleh kerajaan, menurut Mohd. Isa, parti pembangkang itu sebenarnya memandang remeh terhadap segala pengorbanan peneroka dalam memajukan Felda.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berulang kali menyatakan para peneroka berhak menerima 'durian runtuh' sebagai ganjaran atas sokongan, kecekalan dan dedikasi mereka terhadap Felda sejak beberapa dekad lalu," ujarnya.

Laman Kasih beri peluang OKU jana pendapatan - Rosmah

Posted:

Laman Kasih beri peluang OKU jana pendapatan - Rosmah

Laman Kasih beri peluang OKU jana pendapatan - Rosmah

PUTRAJAYA 14 April - Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) hari ini melancarkan Laman Kasih iaitu sebuah projek pertanian berteknologi tinggi yang akan melibatkan penyertaan orang kurang upaya (OKU) di negeri itu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, melalui projek tersebut, seramai 30 OKU akan diberi kit fertigasi bagi memulakan projek pertanian masing-masing.

"Seterusnya, mereka akan dilatih oleh Waiz K Bio-Organics supaya dapat mengaplikasikan projek fertigasi berskala sederhana ini secara berkelompok dengan berkesan.

"Peserta program juga akan diberikan sejumlah elaun sepanjang tempoh projek ini berjalan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kasih kali keempat dan Pelancaran Laman Kasih di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Pada majlis itu juga, satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara badan amal tersebut dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenai aktiviti sukarela.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Kasih berkata, usaha projek yang memakan masa selama enam hingga 10 bulan itu tidak akan berhenti di situ sahaja.

"Ini kerana di akhir kitaran projek itu, 30 perintis berkenaan kemudiannya akan menjadi mentor untuk melatih OKU yang lain.

"Mereka terdiri daripada kalangan ahli persatuan, pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), mahupun OKU," katanya.

Beliau berharap, projek Laman Kasih itu bakal dikembangkan di seluruh Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan