Ahad, 15 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Amal hidup sihat punca Pak Man masih sihat pada usia 117 tahun

Posted: 15 Apr 2012 03:23 AM PDT

Mutakhir

BESUT: Amalan pemakanan dan cara hidup sihat membolehkan Abdul Rahman Abu Bakar yang lebih dikenali dengan nama Pak Man dari Kampung Dengir, Bukit Puteri, di sini masih sihat walaupun usianya mencecah 117 tahun.

Dengan berpandukan petua tidak makan makanan manis, masin dan berlemak sejak muda lagi, kini Pak Man masih aktif bergerak tanpa sebarang penyakit kronik.

Bekas tukang rumah yang mungkin layak dinobat warga tertua di negara ini juga tidak memerlukan sebarang alat bantuan seperti tongkat atau cermin mata untuk menjalani kehidupan seharian. "Sejak dari muda ambo (saya) tak suka minum air batu (minuman berais) atau merokok malah lauk-pauk saya pun berasaskan ulam dan sayuran kampung tanpa menggunakan santan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, beliau sejak muda, beliau berpantang daripada mengambil minuman sejuk dan mengamalkan meminum air suam walaupun tidak dapat menahan dahaga bekerja seharian di bawah panas terik ketika membina rumah.

"Kemungkinan dengan cara beginilah agaknya ambo dianugerahkan Allah kesihatan dan jarang ditimpa penyakit-penyakit, kecuali demam sekali-sekala," katanya.

Beliau yang masih mempunyai ingatan baik mendakwa sudah berumur 12 tahun ketika membuat kad pengenalan pada Februari 1907.
Pak Man berkata, sepanjang hidupnya beliau berkahwin dengan lapan wanita tempatan dan daripada perkahwinan itu beliau dikurniakan seramai lima orang anak iaitu seorang perempuan dengan isteri yang kelima dan dua lelaki dan dua perempuan dengan isteri ketujuh.

Beliau kini mempunyai 25 cucu dan enam cicit.

Katanya, buat masa ini beliau tinggal bersama isterinya yang kelapan, Saadiah Hamat, 71, setelah kematian isteri-isterinya yang lain.

Katanya, beliau agak lama berhenti sebagai tukang kayu namun kini masih giat ke kebun setiap petang untuk mengeluarkan peluh.

Beliau berkata, amalan masyarakat kini sangat jauh berbeza dengan orang zaman dahulu, terutama sekali sangat gemar mengambil makanan dan minuman ringan serta berlemak, mungkin menjadi punca mereka mudah diserang penyakit walaupun dalam usia muda.

Katanya, ibu bapa seharusnya menjaga aspek pemakanan terutama di kalangan generasi muda termasuk kanak-kanak lagi bagi mengelak terlalu mudah dihinggapi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau jantung.

"Yang penting jangan sesekali merokok kerana ia juga punca utama segala penyakit," katanya. - BERNAMA

Penyelia balak maut tergelincir di Sungai Galong, Terengganu

Posted: 15 Apr 2012 03:17 AM PDT

Mutakhir

KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia balak Tasik Kenyir mati lemas selepas tergelincir di dalam Sungai Galong, Hulu Terengganu, dekat sini hari ini.

Mayat Wong Kim Hong, 43, ditemui tersangkut di dasar sungai itu oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Hulu Terengganu pada jam 1 petang.

Pemangku Ketua Balai Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru, berkata bapa kepada dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun itu yang berasal dari Wakaf Tapai, Marang, dilapor hilang pada jam 6 petang semalam. "Dia dikatakan tergelincir dan tenggelam ke dalam sungai ketika sedang mencuci pinggan di pelantar rumah kongsi di tebing sungai itu selepas makan bersama rakan sekerjanya.

Beliau berkata, rakan Wong yang ketika itu berada di dalam rumah hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja balak yang ketika itu berada di seberang sungai dan melihat Wong terjatuh ke dalam sungai.

Mayat Wong dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengkebumian. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan