Sabtu, 14 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Pertahankan perpaduan - Najib

Posted:

Pertahankan perpaduan - Najib

Pertahankan perpaduan - Najib

KUALA LUMPUR 13 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap, masyarakat Siam di negara ini akan terus menguatkan azam dan tekad untuk mempertahankan perpaduan dan keamanan yang dinikmati.

Beliau berkata, keamanan, kestabilan serta pembangunan yang dinikmati membolehkan kerajaan melindungi setiap kaum tidak kira kaum majoriti atau minoriti.

"Sungguhpun negara ini mempunyai rakyat pelbagai kaum, berbilang agama dan budaya, kita masih berupaya mengekalkan perpaduan serta hidup dalam keadaan aman.

"Dengan itu, kita berpeluang menikmati kemakmuran di negara yang bertuah ini. Semua ini adalah hasil sumbangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Songkran 2012 di laman Facebook beliau hari ini.

Najib turut menyingkap kembali sejarah kewujudan masyarakat Siam di Malaysia, iaitu sejak sebelum termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam pada 1909 yang membawa kepada penyerahan negeri Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan oleh kerajaan Siam kepada Inggeris.

Justeru, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan keempat-empat negeri itu menjadi sebahagian daripada Malaysia, masyarakat Siam masih kekal di negara ini sehingga kini.

Beliau seterusnya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Songkran kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Siam dengan harapan pada Tahun Baru ini akan memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat tersebut.

"Oleh itu, sempena Hari Songkran ini, saya dan keluarga berharap semua anggota masyarakat Siam akan terus menguatkan azam dan tekad mereka untuk terus mempertahankan perpaduan dan keamanan yang kita nikmati sekarang.

"Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk bekerja bagi masa depan negara yang lebih gemilang untuk kita warisi kepada generasi akan datang," katanya.

Hari Songkran atau Tahun Baru bagi masyarakat Siam disambut pada 13 April pada setiap tahun. — BERNAMA

Fahami budaya, perayaan masyarakat Sikh

Posted:

Fahami budaya, perayaan masyarakat Sikh

Fahami budaya, perayaan masyarakat Sikh


Muhyiddin Yassin cuba membuat capati pada Rumah Terbuka Vasakhi di Gurdwara Sahib Sentul di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 13 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh rakyat Malaysia mempelajari budaya serta perayaan masyarakat Sikh bagi meningkatkan lagi kefahaman antara satu sama lain, sekali gus mengeratkan hubungan sesama kaum di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya dengan memahami budaya kaum lain baru perasaan hormat menghormati dapat disemai dan dipupuk dalam sanubari setiap rakyat demi menjamin kelangsungan masa depan sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Menurut Muhyiddin, beliau sendiri tertarik dengan keunikan budaya masyarakat Sikh di negara ini seperti sambutan Hari Vaisakhi yang bakal berlangsung esok, kerana ia menonjolkan keistimewaan kaum berkenaan berteraskan nilai serta budaya yang tersendiri.

"Seperti perayaan kaum lain, sambutan Vaisakhi yang diadakan sekali setahun tentunya menimbulkan kemeriahan bukan sahaja kepada kira-kira 100,000 masyarakat Sikh di negara ini, malah kegembiraan itu turut dirasai oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Lebih penting lagi, saya percaya sambutan Vaisakhi dapat memperkukuh ikatan persaudaraan penganut Sikh dan marilah kita bersama-sama mengekalkan keharmonian ini," katanya dalam perutusan sempena sambutan Vaisakhi di sini hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sambutan Hari Vaisakhi penting bagi masyarakat Sikh kerana ia bertujuan memperingati penubuhan Akal Khalsa (tentera abadi) oleh Guru Sikh ke-10, Guru Gobind Singh pada tahun 1699.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hari Vaisakhi merupakan satu lagi perayaan di Malaysia yang melambangkan keistimewaan serta keharmonian penduduk berbilang kaum dan agama.

"Sememangnya sudah menjadi amalan kita sebagai rakyat Malaysia, perayaan-perayaan seperti ini adalah masa untuk kita lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain demi mengukuh dan menyuburkan lagi perpaduan nasional.

"Kehadiran penganut Sikh sebagai sebahagian daripada masyarakat majmuk di negara ini tetap mendapat pengiktirafan dan sentiasa dihormati sama seperti rakyat yang menganut agama-agama lain," katanya.

Kerajaan peruntuk RM43j setahun untuk pelajar kita di Ireland

Posted:

Kerajaan peruntuk RM43j setahun untuk pelajar kita di Ireland

Kerajaan peruntuk RM43j setahun untuk pelajar kita di Ireland

Oleh Azman Anuar

DUBLIN 13 April – Kerajaan Malaysia membelanjakan kira-kira RM43 juta setahun untuk membiayai yuran dan kos sara hidup pelajarnya di sini.

Seramai 1,300 pelajar Malaysia kini menuntut dalam bidang perubatan, perakaunan dan perniagaan di empat buah universiti utama di Republik Ireland. Mereka terdiri daripada pelajar ijazah pertama dan ijazah lanjutan antaranya sarjana dan doktor pakar.

Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam memberitahu Utusan Malaysia, seramai 300 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 200 pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dihantar ke sini setiap tahun.

"Bayangkan RM43 juta setahun...hubungan antara Malaysia dan Ireland lebih berat kepada mereka.

"Kerajaan kita juga memperuntukkan RM1.4 juta untuk membiayai perbelanjaan pengajian seorang pelajar sepanjang lima tahun pengajian di sini. Sebab itu mereka perlu belajar dengan tekun," kata beliau selepas menerima kunjungan rombongan Program Pengantarabangsaan Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) 1Malaysia ke Dublin 2012.

Rombongan seramai 13 orang itu diketuai Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir.

Bagaimanapun, kata Ramli, ramai bekas pelajar Malaysia berkhidmat di Ireland selepas tamat pengajian kerana kekosongan yang ditinggalkan oleh golongan profesional tempatan terutama bidang perubatan yang berhijrah ke negara lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan New Zealand.

Ini kerana, ekonomi Ireland lembap dengan pertumbuhan 0.1 peratus setahun manakala dilaporkan kira-kira 5,000 warganya berhijrah ke negara lain.

Kini, terdapat kira-kira 4,000 rakyat Malaysia menetap di Ireland. Di Dublin sahaja, terdapat 37 keluarga dan ada antaranya telah berada di sini sejak 30 tahun lalu.

– UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan